Monday, August 25, 2014

Legasi Tunku Dalam Politik

Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke 57 banyak seruan-seruan dibuat bagi menimbulkan kemeriahan sambutan dan menaikan semangat patriotik. Orang ramai digalakan mengibarkan bendera sebagai tanda penglibatan dan patriotik. Upacara di pagi hari dengan perbarisan dan di malam hari dengan acara kesenian dan bunga api.
 
Ada beberapa sisi dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan yang boleh dikembangkan atau ditonjolkan dengan lebih ketara lagi. Antaranya menghayati polisi-polisi atau tindakan-tindakan yang dibuat oleh pendiri atau pengasas kemerdekaan. Mereka inilah yang telah meletakan asas kukoh bagi membolehkan kemajuan dan kemakmuran Malaysia seperti yang dicapai sekarang. Dalam erti kata yang lain memahami dan menghayati legasi-legasi peninggalan mereka. Terutamanya legasi-legasi pandang ke hadapan yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini.
 
Sudah tentu tokoh utama yang perlu ditonjolkan ialah Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Bapa Kemerdekaan. Legasi Tunku sebagai tokoh utama mendapatkan kemerdekaan sering ditonjolkan. Namun banyak lagi legasi-legasi Tunku yang lain perlu dihebahkan untuk mendapat pengiktirafan. Sehinggga ke hari ini setelah 57 tahun merdeka kita boleh lihat dengan jelas legasi Tunku yang masih hidup bahkan diperkembangkan mengikut peredaran masa.
 
Dari segi politik kejayaan Tunku membentuk Perikatan banyak diperkatakan. Konsep Perikatan kemudiannya dikembangkan oleh Tun Razak menjadi Barisan Nasional (BN). Satu konsep keluarga besar yang berlandaskan parti-parti mengikut kaum. Walaupun terdapat badai dalam mengharungi gagasan itu dengan cabaran-cabaran masa kini. BN masih lagi kekal memerintah Malaysia dan berjaya mengharungi Pilihan Raya Umum terkini pada 2013.
 
Suatu konsep muafakat politik dan pengkongsian kuasa antara kaum-kaum yang berada di Semenanjung, Sabah dan Serawak. Pakatan Rakyat (PR) sendiri menggunakan konsep muafakat politik dengan menunjukkan kejayaan. Terutamanya mereka telah berjaya mendapat undi popular melebihi daripada apa yang diperolehi oleh BN dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini.
 
Umumnya di Semenanjung dalam pembahagian kerusi, bagi kerusi yang pengundi majoritinya orang Cina akan diberikan kepada MCA. Kawasan pengundi bercampur diberikan kepada Gerakan atau MIC dan kawasan pengundi yang majoritinya Melayu diberikan kepada UMNO. Begitu juga PR kawasan-kawasan yang pengundinya majoriti orang Melayu diberikan kepada PAS. Kawasan yang bercampur diberikan kepada PKR dan majoriti Cina diberikan kepada DAP.
 
Legasi Tunku dalam membentuk keluarga besar dan perkongsian kuasa di terima oleh kedua-dua BN dan PR,
 
Selepas mencapai kemerdekaan Tunku tidak meniru apa yang dilakukan di Thailand dan Indonesia. Kedua Negara itu dalam membina negara bangsa telah mewajibkan seluruh penduduk mereka menggunakan bahasa kebangsaan, tulisan kebangsaan dan nama     Dengan demikian semua penduduk tidak mengira latar belakang telah diasimilasikan ke dalam budaya negara itu. Tunku memberi kebebasan kepada orang Cina dan Orang India terutamanya yang baru diterima sebagai warga negara meneruskan bahasa, tulisan dan nama mengikut identiti bangsa masing-masing. Asalkan mereka menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Legasi inilah yang menjadikan masyarakat Malaysia satu masyarakat yang majmuk.
 
Legasi ini juga menolak pendapat yang sempit menonjolkan seolah-olah Malaysia hanya terdiri daripada satu bangsa sahaja.