Monday, June 21, 2010

GERAKAN ISLAM: MENOLEH MASA LALU, MENYOROT MASA DEPAN

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Menoleh Masa Lalu

1961 PKPIM lahir dengan matlamat yang sangat sederhana iaitu untuk memperjuangkan “kepentingan pelajar-pelajar Islam”. Menjelang dekad 70’an PKPIM memasuki era kematangannya dengan memperlihatkan komitmen terhadap idealisme perjuangan “cita-cita Islamiah” dan “aspirasi nasional”. Hujung 60’an dan awal 70’an adalah era tumbuhnya kesedaran kemahasiswaan. Para aktivis PKPIM menyebut diri mereka sebagai “elemen yang sedar dari masyarakatnya” di samping sebagai the conscience of the majority. Kesedaran tersebutlah yang melatari pelbagai aksi kemahasiswaan termasuk demonstrasi tentang pelabagai isu semasa. Tetapi yang lebih penting adalah kegiatan-kegiatan yang beresensi pemikiran dan keilmuan seperti Kongres Kamajuan Islam di Malaysia, Seminar Peradaban Islam, Seminar Pendidikan di Malaysia, dan Kongres Universiti Islam.

1971 ABIM lahir sebagai wadah pelanjut perjuangan pasca kemahasiswaan. Kemunculan ABIM ternyata suatu yang cukup fenomenal. Justeru, ABIM adalah badan dakwah yang pertama berciri dan berjati diri sebagai gerakan Islam (harakah Islamiyah) dengan keanggotaan yang merakyat dan bersifat nasional dalam erti meratai seluruh negara. ABIM berjaya menempa sejarah kepeloporannya dalam merealisasikan fenomena the rising tide of Islam atau kebangkitan Islam di Malaysia kerana pelbagai faktor, termasuk:

Kekuatan wadah pesediaan (PKPIM)

Ketepatan waktu kemunculannya (sebagai wadah penyambut era kebangkitan Islam)

Karisma pemimpin utamanya

Kepimpinan jama`iy yang memadukan pelbagai latar pendidikan

Keupayaan memanfaatkan dinamika keislaman dan kepemudaan

Kekuatan fikrah (budaya ilmu)

Keberkesanan skema tarbiyah (ilmiah-rohaniah-harakiah).

Keberkesanan mekanisme dan kekuatan keorganisasian.
Keterbukaan dan toleransi terhadap kepelbagaian aliran mazhab dan pemikiran.

Komitmen yang tinggi terhadap misi perjuangan amar makruf nahi munkar.

Tidak benar mempersepsikan ABIM sebagai wadah pelarian penderita penyakit rendah diri pelajar-pelajar aliran Melayu yang gagal menguasai bahasa Inggeris. Perlu dicatat bahawa sebahagian yang tidak kecil daripada barisan pimpinan awal ABIM adalah mereka yang berlatar pendidikan Inggeris. Demikian juga tidak benarnya anggapan bahawa ABIM adalah jelmaan keresahan kaum Melayu yang berasa jati dirinya sedang terhakis. Dengan kata lain, fenomena keislaman yang dipromosikan oleh ABIM itu hanyalah suatu usaha pemantapan jati diri Melayu. Hakikatnya, fenomena keislaman di Malaysia adalah sebahagian daripada fenomena global al-sahwah al-Islamiayyah. Yang membentuk pemikiran para aktivis ABIM bukan tokoh-tokoh racist Melayu, tetapi karya tulis para pemikir dan pemimpin gerakan Islam seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Maududiy, an-Nadwi, Fathi Yakan, Sa’id Hawwa, Muhammad Natsir, Malik Bennabi, Isma’il R.al-Faruqi dan lain-lain lagi. Dari kalangan ilmuwan-pemikir tempatan yang turut berperanan membentuk pemikiran para aktivis tersebut termasuklah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau sangat berjasa dalam konteks pengukuhan idea Islamisasi dan dewesternisasi. Kritiknya terhadap Barat, tamadun dan kesarjanaannya, telah meruntuhkan hegemoni pemikiran Barat di kalangan generasi muda terpelajar. Penyerlahannya terhadap peranan besar Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu memberikan cultural confidence dalam perjuangan pendaulatan Islam dan tamadunnya di Malaysia. Selain beliau, Prof. Syed Husein Alatas adalah public intellectual yang turut memberikan sumbangan besar dalam membangkitkan kepedulian sosial dan pemikiran kritis. Kritiknya terhadap Dasar Ekonomi Baru dan idea kapitalistik buku Revolusi Mental mendapat perhatian luas di kalangan pimpinan dan warga ABIM.

Dalam pembinaan tradisi keilmuannya ABIM bersikap terbuka, sedia memanfaatkan ilmu dari siapa sahaja termasuk dari kalangan bukan Islam seperti Paulo Freire, pemikir dan pejuang pendidikan kaum tertindas dari Brazil. Bagaimanapun ABIM tidak pernah terikat dengan sesiapa. Dengan demikian khazanah keintelektualannya menjadi lebih kaya dan beragam. Kekayaan dan keragaman seperti itu memang sangat diperlukan untuk pengentalan mesej dan misi perjuangan membina masyarakar yang religious dan sekaligus rakyat yang cerdas dan berfikiran kritis. Latar keintelektualan sedemikian itulah juga yang membawa pencitraan ABIM bukan hanya sebuah badan dakwah dalam pengertian sempit, tetapi juga suatu kekuatan sosial dan agen perubahan yang tidak boleh diremehkan.


Menyorot Masa Depan

Demikianlah pengkisahan ringkas sebuah gerakan yang menjadi ikon dalam sejarah kebangkitan Islam di Malaysia. Kehadirannya selalu dikitari kontroversi, yang mendukung menyintainya sepenuh hati, yang menentang membencinya setengah mati. Kita adalah pewaris dan pelanjut sebuah gerakan besar. Yang kita warisi bukan cuma kebesarannya, tetapi juga beban memelihara kebesarannya dan mempertahankan kerelevanannya.

Apabila dikatakan bahawa quality means survival bererti kualiti kader gerakan adalah penentu kerelevanan dan survival. Kerana itu dalam keadaan bagaimana sekalipun, kualiti (khususnya kualiti kepimpinan jamaah) tidak seharusnya dikompromikan. Justeru, pemimpin adalah imej gerakan/jamaah keseluruhannya. Kerana itu kepimpinan Jamaah harus memiliki sejumlah kriteria keunggulan terutama keperibadian yang inspiring, integriti moral dan ketaatan beragama, kompetensi keilmuan yang tinggi, kemampuan mengartikulasikan fikrah dan gagasan keislaman dengan petah, indah dan meyakinkan; juga ketrampilan berorganisasi termasuk kemampuan menjadi problem solver.

Kepimpinan gerakan ini harus kaya dengan idea dan gagasan. Peranan tradisi gerakan ini sebagai opinion leader perlu dipertahankan. Demikian juga dengan peranan kepeloporannya dalam menghasilkan gagasan-gagasan baru seperti konsep pembangunan, pendidikan bersepadu, Islam dan masyarakat majmuk dan lain-lain lagi. Dalam konteks hari ini seharusnya kita mampu memasyarakatkan gagasan-gagasan yang kemaskini seperti Islam dan pluraliti, pendidikan demokrasi, ekonomi kerakyatan, pendidikan liberatif dan seumpamanya. Gagasan-gagasan besar ini tidak hanya untuk diwacanakan sesama sendiri, tetapi harus diangkat menjadi wacana nasional dan seterusnya diarusperdanakan

Kehadiran kita selama ini bukan sekadar bak melukut di tepi gantang, tetapi sebagai suatu kekuatan, sebagai a formidable force. Kekuatan ini harus dipertahankan dan ditingkatkan. Justeru, ada ketikanya kita perlu berbicara dan bertindak dengan kekuatan. Hanya dengan memiliki kekuatan yang secukupnya kita dapat berperanan sebagai agen perubahan, sebagai kekuatan pengimbang, sebagai jambatan dan sebagai kekuatan penentu.

Kegiatan pendakwahan yang selama ini menjadi core business kita perlu ditinjau semula keintensifan dan keberkesanannya terutama dalam konteks krisis moral akibat keleluasaan budaya hiburan dan kegiatan maksiat. Dalam kaitan inilah timbulnya kewajaran melihat kemungkinan memanfaatkan keanggotaan gerakan ini dalam Majlis-Majlis Belia untuk meningkatkan gerakan mendidik dan membina generasi muda umat dengan budaya ilmu dan nilai-nilai keagamaan.

Memang banyak yang memerlukan tinjauan semula, termasuk institusi-institusi pendidikan yang telah kita bangunkan sebagai memenuhi tuntutan dakwah bi ‘l-hal dengan menawarkan alternatif keislaman atau al-bada’il al-Islamiyyah. Yang harus ditinjau semula adalah kerelevanannya dalam konteks masa kini, kualitinya sebagai program alternatif yang memakai label Islam. Institusi-institusi ini seharusnya berkembang kuantiti dan kualitinya, tidak membeku pada tahap eksperimental yang serba seadanya. Perlu diambil ingatan bahawa pihak-pihak lain telah juga telah mendirikan institusi-institusi yang hampir sama, yang kualitinya mungkin lebih baik.

Konsolidasi Dalaman

Keperluan semerta yang paling mendesak adalah konsolidasi dalaman, pemantapan dan pemapanan rangkaian jamaah yang telah kita bina dengan susah-payah. Untuk tujuan itu langkah-langkah yang perlu segera diambil harus meliputi:

Pengukuhan institusi syura.

Pemantapan amalan qiyadah jama`iyyah dan budaya amal jama`iy

Penegasan sikap menolak gejala pemecahan jama`ah (splinter group)

Pengemaskinian skema tarbiyah harakiyah jama`iyah dan pelestarian tradisi belajar bersama.

Penyegaran nilai-nilai luhur perjuangan: keikhlasan, persaudaraan, kasih-sayang dst.


MUZAKARAH QIYADAH 2

30 JANUARI 2010

MENELAAH SEJARAH, MENAFSIR KISAH -Dato Dr Siddiq Fadzil

pada 09hb November 2009 pukul 7.03 pagi
MENELAAH SEJARAH, MENAFSIR KISAH



Prof. Madya Dr. Siddiq Fadzil

Sejarah : Perspektif Agama

Makalah ini tidak bermaksud untuk memasuki medan falsafah sejarah dengan segala alirannya. Yang akan dibahaskan di sini bukan sejarah dalam erti sekadar catatan peristiwa, tetapi tafsiran, makna dan iktibar sesuatu peristiwa. Pendekatan ini serasi dengan gaya al-Qur’an yang apabila membicarakan sesuatu peristiwa, ia tidak memberikan pemerincian tentang tanggal dan saat terjadinya. Yang dipaparkan adalah tafsirannya, termasuk pengajaran dan petunjuk buat khalayaknya. Pendekatan al-Qur’an umumnya bersifat holistik dalam erti sorotannya tidak terpusat hanya pada gerak adegan lahiriah di pentas sejarah, tetapi menerobos hingga ke pendalaman jiwa dan minda pelaku-pelakunya. Dengan demikian pemeriannya adalah utuh dan menyeluruh, tidak terbatas dan tidak cuma bersifat serpihan.

Sejarah juga bukan peristiwa-peristiwa kebetulan, yang tidak dapat difahami hujung pangkal sebab dan akibatnya. Sesuatu peristiwa sejarah tidak terjadi secarasewenang-wenang, tetapi berlaku menurut aturan tetap ketuhanan, aturan Ilahi yang terjelma dalam hukum sebab akibat. Itulah yang dinamakan sunnatu ‘Llah, undang-undang Tuhan yang tidak berubah. Apabila segala faktor telah terkumpul, maka berlakulah kehendak Allah. Memang perilaku manusia sendiri merupakan faktor utama terjadinya peristiwa sejarah, bagaimanapun penentunya bukanlah faktor-faktor itu sendiri. Penentu yang mutlak adalah kehendak Allah. Kerana itulah apabila al-Qur’an memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang ditonjolkan adalah kehadiran Allah, kudrat dan iradat-Nya.

Al-Qur’an adalah sumber petunjuk bagi manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya dengan secara langsung berbentuk perintah dan larangan. Tetapi tidak sedikit pula yang disampaikan secara tidak langsung. Misalnya menerusi kisah dan sejarah. Ini bererti fungsi kisah dan sejarah dalam al-Qur’an bukan untuk lipur lara atau sekadar untuk diketahui (knowledge for the sake of knowledge), tetapi untuk menyampaikan mesej petunjuk. Al-Qur’an banyak sekali membawakan ayat-ayat yang mengajak khalayaknya merenung untung nasib umat terdahulu sambil menilai diri dengan keinsafan bahawa nasib yang sama boleh menimpa siapa sahaja yang memiliki ciri dan faktor yang sama.

Kerelevanan al-Qur’an adalah universal dan abadi. Dengan demikian petunjuk-petunjuk dari kisah dan sejarah dalam al-Qur’an sentiasa relevan bila-bila dan di mana-mana pun. Memang tabiat manusia tetap sama, tidak berubah di sepanjang zaman. Demikianlah misalnya kedurjanaan dan petualangan manusia apabila merasa kecukupan, merasa serba mampu kerana memiliki kekayaan dan kekuasaan.


Watak-watak dalam al-Qur’an seperti Namrud, Fir’aun, Qarun dan lain-lainnya, sebagai individu memang semuanya merupakan watak-watak masa lalu yang sudah ribuan tahun menghilang dari pentas sejarah. Tetapi watak-watak manusia yang mirip atau persis seperti mereka akan sentiasa bermunculan di sepanjang zaman. Dengan ungkapan lain, fenomena sosial-budaya kenamrudan, kefir’aunan dan keqarunan mungkin timbul dari semasa ke semasa.

NAMRUD

Al-Qur’an memberikan pemerian tentang Namrud sebagai raja yang sezaman dengan Nabi Ibrahim (a.s.). Kerana terlalu lama berkuasa ia menjadi lupa diri. Nafsu besarnya menyebabkan ia tidak puas sekadar menjadi raja. Ia mahu menjadi tuhan, lalu meminta rakyat mengakui dan menyembahnya sebagai tuhan mereka. Rasa serba mampu telah mendorongnya berlagak bagai tuhan. Tanpa malu-malu Namrud mendakwa mampu melakukan sesuatu (menghidup dan mematikan) yang pada hakikatnya hanya Tuhan yang sebenar mampu melakukannya.

Dalam dialognya dengan Namrud, Nabi Ibrahim (a.s.) mengatakan bahawa Tuhanya adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa menghidupkan dan mematikan. Namrud yang ingin menjadi tuhan merasa perlu memiliki ciri ketuhanan yang sama. Nafsu ingin menandingi Tuhan Ibrahim (a.s.) itulah yang mendorongnya mendakwa, "aku juga mampu menghidupkan dan mematikan" (ana uhyi wa umit). Untuk membuktikannya ia menghadirkan dua orang pesalah yang telah dijatuhi hukuman mati, yang seorang dibebaskan, manakala yang seorang lagi diperintahkan menjalani hukuman (mati). Itulah yang ia tahu tentang erti menghidupkan dan mematikan. Dengan sangkaan ia sudah menang, ia berkhayal menjadi "tuhan". Pada hakikatnya yang terserlah dari cara berhujah dan pembuktian sedemikian itu bukan kuasa "ketuhanan"nya tetapi kuasa "kediktatoran"nya berbuat semahunya, bertindak ke atas seseorang sesuka hati untuk kepentingan diri.

Mungkin kerana merasa tidak ada gunanya berdebat tentang erti sebenar "menghidup dan mematikan" dengan orang tolol, maka Nabi Ibrahim mengubah cara berhujahnya dengan mengatakan, "Tuhanku menerbitkan matahari dari sebelah timur, cuba anda terbitkannya dari sebelah barat pula" (al-Baqarah: 358). Kali ini Namrud tidak dapat menjawab, ia kebingungan, terpinga-pinga bercampur marah. Selama ini tidak siapa pun berani berkutik di hadapannya sekarang ia dibantah dan dicabar secara point-blank. Namrud terjerat dalam kesombongan dan ketololannya sendiri.

FIR’AUN

Watak lain yang memperlihatkan pola fikir dan mentaliti yang sama ialah Fir’aun. Raja Mesir yang bermaharajalela dengan kuasa dan kekayaan itu merasa tergugat dengan kemunculan Musa (a.s) sebagai pemimpin yang kian popular di kalangan kaumnya. Untuk membendung arus sokongan rakyat dari terus mengalir ke pihak Musa (a.s.), Fir’aun bertindak dengan mengeksploitasi kebodohan rakyat, mengabui mata mereka dengan mempamerkan kehebatannya sebagai pemilik kerajaan dan bumi Mesir dengan segala sungai-sungainya. Sementara itu Nabi Musa (a.s) dihinanya sebagai orang yang tidak punya apa-apa, malah berbicara pun tidak petah. (al-Zukhuf: 51-56)

Rakyat yang berfikiran singkat dan telah rosak jiwa dan mindanya memang mudah terpedaya dengan propaganda gaya Fir’aun itu. Apa lagi Fir’aun memang selamanya menggunakan kuasa dan kekayaannya untuk melaksanakan dan membiayai program-progam menyesatkan rakyat. Memperbodoh dan mengelirukan rakyat masa memang menjadi amalan lumrah kalangan penguaas diktator zalim di mana-mana. Ini mereka lakukan dengan cara menguasai media dan menutup semua saluran maklumat sehingga mereka tidak mengetahui fakta-fakta yang sebenar dan tidakberminat untuk mencarinya, cukup dengan menelan apa sahaja yang disogokkan. Dengan demikian mudahlah mereka dibuli dan diperalat, dikerah dan diarah mengikut telunjuk para penguasa.

Tidak cukup dengan mengongkong pemikiran rakyat massa, Fir’aun berusaha untuk menguasai dan memperalat golongan "cendekiawan" yang terdiri dari kalangan ahli-ahli sihir. Ini lakukan dengan menawarkan ganjaran yang lumayan kepada mereka yang sedia memberikan khidmat memperkukuh kekuasaan Fir’aun. Dengan motif merebut ganjaran lumayan itulah mereka menyanggupi tugas melawan mu’jizat Nabi Muasa (a.s). Tetapi setelah kalah dalam perlawanan itu mereka membuka mata, menginsafi bahawa mereka berhadapan dengan kebenaran dan kuasa Tuhan yang sebenarnya, lalu mengambil keputusan untuk menerima hakikat tersebut. Mereka beriman dengan Nabi Musa (a.s.) dan bersedia menghadapi risikonya iaitu kemurkaan dan penganiayaan Fir’aun.

Seperti yang memang telah diduga, Fir’aun menjadi berang apabila mereka mengambil keputusan memihak kepada Musa (a.s) tanpa terlebih dahulu mendapatkan izinnya. Tetapi siksaan kejamnya tidak juga dapat mengubah pendirian ahli-ahli sihirnya itu (al-A‘raf: 113-126). Rupa-rupanya masih ada kelompok yang tidak dapat diperbodoh kerana memang mereka tidak bodoh. Meskipun tadinya mereka berhasrat mencari untung, tetapi apabila berhadapan dengan isu hak dan batil, benar dan salah, mereka tidak sanggup mengkhianati suara nuraninya sendiri. Mereka masih setia kepada etik keilmuan bahawa kebenaran tidak harus ditundukkan kepada kemahuan politik (penguasa).

Demikianlah kuasa sebesar manapun dan harta sebanyak manapun tidak dapat memuaskan nafsu seorang Fir’aun. Setelah tidak puas menjadi raja, Fir’aun seperti Namrud, bernafsu menjadi tuhan. Ia mahu agar rakyat tidak hanya merajakannya, tetapi mempertuhankannya. Kepada para pendukungnya ia selalu berkata, "aku tidak nampak ada tuhan lain bagi kamu selain aku!" (al-Qasas:38). Para pengampu yang mengamalkan politik "asal bapak senang" memang tidak pernah keberatan memberikan sokongan, malah tepukan gemuruh kepada kata-kata seperti itu meskipun tidak masuk akal.

Selama masa yang barangkali cukup lama Fir’aun bermaharajalela sehingga Nabi Musa (a.s.) yang banyak menderita akibat angkaranya, pada suatu ketika mengadu kepada Tuhan, "Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah berikan segala macam perhiasan dan kekayaan kepada Fir’aun dan orang-orangnya, Ya Tuhan kami, mereka (telah menyalahgunakan anugerah-Mu) untuk menyesatkan (dan menyelewengkan orang) dari jalan (petunjuk)-Mu" (Yunus:98). Kesempatan yang berikan kepada Fir’aun untuk merajalela tidak bererti Tuhan merestuinya. Sebaik-baik sahaja kezalimannya mencecah tahap yang ditentukan, Tuhan merentapnya tanpa sebarang amaran lagi. Tiba-tiba dalam sekelip mata Fir’aun hilang tenggelam diperut laut. Kisahnya diabadikan dalam al-Qur’an sebagai tugu sesuatu puncak kezaliman dalam sejarah kemanusiaan, untuk dijadikan iktibar buat generasi zaman mendatang.

QARUN

Situasi era tersebut digawatkan lagi oleh kemunculan satu watak lain iaitu Qarun yang tampil dengan citra kerakusan hartawan lupa dataran. Al-Qur’an memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal dari kaum Nabi Musa (a.s.). Meskipun datang dari kaum yang sama (Bani Isra’il), mereka tidak sehaluan. Sementara Musa (a.s.) adalah pemimpin-pembela kaumnya, Qarun pula adalah penindas dan pemeras kaumnya sendiri. Qarun memang kaya luar biasa. Kunci-kunci khazanahnya sahaja tidak terpikul oleh sejumlah orang perkasa. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil kemahirannya sendiri, tetapi sebenarnya ia diperoleh secara zalim dengan memeras dan merampas hak bangsanya sendiri. Andainya pemerian al-Qur’an ini dilihat dari perspektif sosio-ekonomi-politik kontemporer, ia merupakan pendedahan tentang sejenis fenomena "penjajahan" ekonomi oleh golongan kapitalis peribumi. Ia bukan penjajahan kuasa luar, tetapi "penjajahan" kuasa dalaman yang tidak kurang bahayanya.

Qarun juga dikatakan mempunyai posisi politik yang cukup strategik. Sebagai salah seorang anggota kabinet Fir’aun, tentu sahaja beliau telah menggunakan posisi politiknya itu untuk mengaut keuntungan peribadi. Selain itu ia juga mempunyai cita-cita politik mengambil alih kedudukanMusa (a.s.) sebagai ketua kaum Bani Isra’il. Kerana itu ia menggunakan kekayaannya untuk membiayai rancangan memusnahkan pemimpin Musa (a.s.), termasuk mengupah seorang wanita agar membuat pengakuan palsu pernah melakukan hubungan sex dengan Musa (a.s.). Bagaimanapun percubaan itu telah gagal. Dalam keterangannya sewaktu diadakan proses pembuktian, wanita tersebut mengaku telah diupah oleh Qarun.

Al-Qur’an memberikan pemerian tentang penampilan Qarun yang suka mempamerkan kebesaran dan kekayaannya. Kebiasaan ini dilakukan bukan tanpa motif tertentu. Ia adalah suatu strategi menarik perhatian ramai agar ia dikagumi sebagai wira dan idola. Dengan mempamerkan kekayaannya ia juga bermaksud menghantar mesej bahawa ia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli dan membiayai apa sahaja dan berapa sahaja. Seolah-olah ia mahu memberi amaran kepada sesiapa sahaja, jangan cuba-cuba mencabar aku!.

Dalam pemerian selanjutnya al-Qur’an menyebut tentang adanya kelompok yang memang mengagumi Qarun; iaitu golongan mata duitan yang terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan cara apa sahaja. Bagi kelompok materialistik ini, Qarunlah yang menjadi idola pujaan. Mereka ingin menjadi Qarun, kerana ia adalah lambang kejayaan seorang usahawan, kejayaan yang hanya diukur dari jumlah yang tertimbun, tanpa mengambil kira dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.

Qarun memang diidolakan oleh para pengagumnya, tetapi pada hakikatnya fenomena keqarunan adalah gejala kehancuran. Kerana itu Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragik, hancur luluh ditelah bumi. Al-Qur’an memberikan gambaran, bagaimana Qarun terbenam ke dalam bumi bersama rumahnya sekali. Dari sekian banyak hartanya yang turut musnah, al-Qur’an secara khusus menyebut rumahnya. Mungkin rumah mewahnya (pintu-pintunya diperbuat daripada emas) itulah yang menjadi simbol kekayaan dan kebanggaannya selama ini. (al-Qasas: 76-81). Qarun memang bersalah kerana memeras, menyalahgunakan kekayaan untuk membiayai kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lain lagi. Tetapi ada lagi yang wajar disalahkan, iaitu sistem yang mengizinkan fenomena keqarunan itu berlaku.

ZAMAN EDAN

Fenomena keqarunan – kegilaan merebut kekayaan dan penyalagunaanya – adalah fenomena yang seringkali berulang dalam sejarah. Yang berbeza hanya rupa dan skalanya. Dalam konteks rantau ini kita menemukan sejumlah catatan tentang babak-babak zaman kebejatan, kegilaan, kezaliman dan lain-lain yang semakna. Pujangga terakhir dalam sejarah kepustakaan Jawa tradisional, Ronggowarsito (1802-1873) misalnya telah merakamkan situasi zamannya (abad 19) yang disebutnya sebagai jaman edan (zaman gila). Penanaman tersebut memang menepati realiti zaman itu yang memang dicirikan oleh kegilaan memperebutkan kekayaan dan kedudukan dengan apa jua cara, termasuk cara-cara yang curang. Dalam situasi tersebut hanya yang gila dan yang mahu ikut gila sahaja yang mendapat habuan dan menyapu bersih semuanya sehingga tidak ada yang tersisa buay yang tidak gila dan yang tidak mahu ikut gila. Dalam bukunya Kalatidha (Zaman Cacat) Ronggowarsito menjelaskan situasi jaman edan itu menerusi ungkapan-ungkapan puitis seperti berikut :-

Hidup di zaman edan

Gelap jiwa bingung pikiran

Turut edan hati tak tahan

Jika tidak turut

Batin merana dan penasaran

Tertindas dan kelaparan

Tapi janji Tuhan sudah pasti

Seuntung apa pun orang yang lupa daratan

Lebih selamat orang yang menjaga kesadaran.

(Ahmad Norma 1998)

Jaman edan adalah semacam kutukan zaman atau jaman kena pekewuh yang ditandai oleh pelbagai gejala keruntuhan, "negara yang kehilangan wibawa, penguasa yang kehilangan etika, masyarakat yang kehilangan pranata dan alam yang terus melahirkan bencana." Untuk bersikap lurus dan murni dalam budaya gila seperti itu memang tidak mudah. Namun demikian, sebagai pujangga pemegang amanah keilmuan, Ronggowarsito tetap setia dengan tugas dan missinya menegakkan nilai-nilai murni menerusi mesej kepujanggaan yang cukup tajam, "sak beja bejane wong kang lali, luweh bejo wong kang eleng lan waspada" (seuntung-untung orang yang lupa, lebih untung lagi orang yang beringat dan berwaspada).

Sebenarnya fenomena zaman gila seperti yang digambarkan itu tidak timbul secara mendadak dan tiba-tiba. Ia sudah lama mengejala sebelum era kepujanggaan Rongowarsito. Sejak zaman datuknya, Yosodipuro II yang juga seorang pujangga kerajaan Surakarta, situasinya sudah cukup parah. Dalam karyanya Wicara Keras, dengan nada marah, pujangga Yosodipuro II merakamkan keprihatinannya terhadap tingkah dan olah sewenang-wenang para penguasa zamannya,

Jika tidak demikian,

pasti tertukar iblis,

ketika ibunya bersenggama dengan bapaknya dulu,

setan ikut bersenggama,

jika bukan hantu,

karenanya bertindak sesat,

berlaku bejat

menindaskan sesama bangsa.

Memuja nafsu diri,

ingin dipuji, sebagai pandai (bistari),

perempuan lacur, nampak bidadari,

jika merasa tersinggung, sesama bangsa lalu berkelahi,

tanpa tenggang rasa, mengancam-mengintimidasi,

apakah akan begitu kalau memang berani.

Beraninya dengan bangsa sendiri,

sampai rela mengorbankan jiwa,

biasanya orang yang memang pemberani,

seperti sultan mangkubumi,

pertapa dan rendah hati,

selalu pandai membawa diri,

segala perselisihan dihindari,

berkata baik tak pernah menyakiti,

sederhana tapi mumpuni,

tidak mau memusuhi bangsa sendiri.

(Poerbatjaraka, 1954).

KEJATUHAN MELAKA

Dalam sejarah kita sendiri, tidak sedikit ilmuwan pujangga yang mencatatkan keprihatinanya terhadap gejala penguasa bernafsu besar yang sanggup melakukan apa sahaja demi melayani keserakahannya. Dalam karya agungnya Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud yang setelah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan puteri raja biasa kerana ia bererti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya, "…yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang, kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;……." (A.Samad Ahmad, 1984: 213)

Dalam jawapannya terhadap peminangan tersebut Puteri Gunung Ledang meletakkan syarat-syarat yang sangat berat. Katanya, "Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu." (A. Samad Ahmad, 215).

Soal status kesejarahan peristiwa tersebut tidak menjadi persoalan. Yang perlu direnung adalah mesej pengarangnya yang merupakan sindiran simbolik tentang nafsu besar sang penguasa yang ingin menjadi orang unik dan terunggul sehingga sanggup berbuat apa sahaja termasuk memeras rakyat dan memunggah khazanah negara. Penguasa yang sudah bertuhankan nafsu, sanggup mengorbankan apa sahaja, berapa sahaja dan siapa sahaja kecuali satu: kepentingan anak-pinaknya. Itulah sebenarnya yang tersirat di sebalik jawapan Sultan Mahmud, "Semua kehendaknya itu, dapat kita adakan, mengeluarkan darah anak kita itu juga apatah daya, kerana tiada sampai hati kita." (A.Samad Ahmad : 215). Selain darah anak sendiri, segala syarat lain disanggupinya walaupun implikasinya adalah derita rakyat dan pembaziran wang negara membiayai "projek mega jambatan kembar emas-perak dari Melaka ke puncak Gunung Ledang yang bererti jambatan terpanjang, tertinggi dan termahal di dunia. Mengenai kisah ini Hamka menyimpulkan, Meskipun Tun Sri Lanang mencantumkan kisah ini dalam Sejarah Melayu sebagai suatu dongeng yang disangsikan kebenarannya namun dongeng ini adalah kias yang dalam tentang laku perangai Sultan." (Hamka, 1981 : 167).

Hamka adalah ilmuwan Melayu yang cukup gigih menekuni bidang persejarahan. Dalam catatannya tentang kejatuhan Melaka pada abad ke-16m, beliau menyebut tentang budaya fitnah yang membawa kepada tragedi nasional pembunuhan Bendahara Sri Maharaja. Menjelang saat kejatuhannya Melaka dirajai oleh Sultan yang telah kehilangan wibawa terutama kerana kebejatan perilakunya. Namun demikian Melaka masih bernasib baik kerana ".… mempunyai orang kedua yang sangat disegani orang, baik di dalam negeri Mekala sendiri, atau oleh orang luar negeri, iaitu Bendahara Sri Maharaja." (Hamka : 167). Kebijaksanaanya digambarkan oleh Hamka dengan ungkapan, "Tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih bila tangan beliau yang memegang." (Hamka : 167).

Malangnya Sultan tidak merasa dibantu, malah sebaliknya merasa digugat. Baginda tidak senang, …"Bendahara lebih dikenal orang di luar negeri daripada dirinya sendiri….." (Hamka : 176). Rasa tidak senang Sultan itu segera diekspliotasi oleh kelompok berkepentingan dengan menyebarkan pelbagai fitnah sehingga"…setiap hari hanyalah kebusukan dan keburukan Bendahara yang menjadi buah mulut dalam istana. Banyaklah menjadi pembicaraan tentang pengaruh Bendahara, tentang kesombongan Bendahara, tentang kekayaan Bendahara." (Hamka : 168).

Gerakan anti Bendahara itu akhirnya memuncak dengan fitnah kononnya Bendahara mahu merampas kuasa, menumbangkan Sultan dan mengambil alih tempatnya. Fitnah tersebut dapat menyakinkan Sultan lalu baginda bertindak menitahkan agar Bendahara dibunuh. Demikianlah Melaka kehilangan putera terbaiknya apabila Bendahara Sri Maharaja dibunuh dengan tusukan keris istana. Tragedi ini digambarkan oleh Hamka dengan kata-kata, "Muramlah Melaka sejak kejadian itu. Orang-orang yang jujur dan sudi berkorban kian lama kian hilang dan habis. Yang ada hanyalah buih-buih yang merapung seketika ombak besar! Yang ada hanyalah orang-orang yang menyembah ‘Ampun Tuanku! Segala titah patik jujung!"( Hamka : 168).

Ketika Hamka menulis catatan tersebut pada tahun 1956, beliau ditanya oleh anaknya, apa gunanya sejarah kejatuhan Melaka itu diungkapkan semula. "Apakah ayah percaya akan teori sejarah mengulangi dirinya?". Hamka menjawab, "Tidak nak! Sejarah tidaklah mengulangi dirinya. Tetapi perangai manusia di segala zaman, baik dalam nama feudalisme, atau demokrasi, atau diktator adalah sama saja..." (Hamka: 169).


Rujukan

Al-Qur’an al-Karim

Al-Barawiy, Rashid, 1978. Al-Qasas al-Qur’aniy: Tafsir Ijtima’iy. Kaherah: Dar al- Nahdah al-‘Arabiyyah.

A. Samad Ahmad (pnyt.), 1984. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamka, 1981. Dari Perbendaharaan Lama. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

‘Imad’ al-Din Khalil, 1994. Al-Manzur al-Tarikhiy fi Fikr Sayyid Qutd. Dimashq: Dar al-Qalam.

Ronggowarsito (terj. Ahmad Norma), 1998. Zaman Edan Yogyakarta: Yayasan Bentang Budaya.



Parkroyal,
Kuala Lumpur,
10 Julai 1999.

Wednesday, June 16, 2010

Adakah Jepun akan Mengalami Masalah seperti Greek

Krisis kewangan Greek telah menimbulkan kejutan kepada pasaran di seluruh dunia. Dalam masa dua tahun bujet deficit telah melonjal daripada 4 % kepada 13 %. Sekarang ini negara-negara Eropah yang lain juga menerima ancaman ini dan Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa cuba menanggani krisis ini sebelum negara-negara lain ikut tumbang.

Tetapi problem hutang negara yang sangat berlebihan itu tidak hanya tertumpu kepada negara Kesatuan Eropah. Bahkan Jepun juga yang mempunyai nisbah hutang kepada GNP kira-kira 170 % - iaitu lebih tinggi daripada Greece yang dikatakan angkanya disekitar 110 %. Walaupun kelihatan seperti masalah yang sama, kerajaan Jepun tidak berfikir yang ianya perlu menanggani masalah itu secara bersungguh-sungguh.

Pada pilihan raya tahun lepas kerajaan Jepun bertukar, Yukio Hatoyama Parti Demokrat Jepun (PDJ) mengalahkan Parti Demokrat Liberal yang memerintah hampir setengah abad. Tetapi kerajaan Hatoyama menidakkan pengurusan macroekonomi dengan menghapuskan polisi yang membincangkan ekonomi dan fizikal.
`
Sebagai ganti kerajaan memberi fokus kepada meningkat pembelanjaan bagi mematuhi janji-janji pilihanraya yang besar, temasuk jumlah yang besar grant baru kepada isirumah dan petani. Hasilnya nisbah kutipan cukai kepada perbelanjaan fizikal telah turun 50 % buat pertama kali dalam sejarah Jepun pasca perang. Sekiranya kerajaan meneruskan cara ini ramai berpandangan bujet deficit tahun depan akan lebih membesar.

Walaupun kedudukan fiskal Jepun lemah, pasaran untuk Bond-Bond Kerajaan Jepun (BKJ) masih stabil sekurang-kurangnya sekarang. Japan mempunyai pengalanan yang sama dalam tahun 1990 an di mana negara itu di kenali sebagai “kehilangan abad”. Pada masa itu bujet deficit Jepun melonjak selepas negara itu mengalami “bubble burst” harta benda yang menyebabkan ekonomi menjadi terhenti. Tetapi BKJ biasanya dibeli oleh organisasi-organisasi tempatan dan isirumah. Dalam perkataan lain, sektor persendirian mempunyai simpanan yang besar kewangan kerajaan yang defisit, jadi perjalanan kapital tidak akan berlaku seperti yang berlaku di Greece, walaupun mengulami situasi bujet yang genting

Tetapi suasana ini menjadi bertambah merosot kerana dua sebab.Pertama jumlah BKJ menjadi tersangat tinggi berbanding dengan net isirumah asset, kira-kira Yen 1,100 trillion. Tetapi dalam masa tiga tahun jumlah KJB melebihi jumlah ini. Ini menunjukkan asset pembayar cukai tidak lagi boleh menolong hutang kerajaan di mana titik keyakinan kepada pasaran KJB kemungkinan akan menjadi hancur.

Keduanya, masyarat Jepun adalah masyarakat orang-orang yang berumur- sebagai hasilnya simpanan isi rumah akan menurun secara dramatik membuatnya semakin sukar untuk private sektor menanggung bujet deficit. Sebagai populasi yang berumur menunjukkan tekanan kepada perbelanjaan fisikal kerana pencen yang tinggi dan kos penjagaan kesihatan yang tinggi, “baby boomer” pula akan mencapai 65 tahun dalam masa lima tahun. Meningkatnya kos-kos kebajikan sosial dianggarkan bermula pada tahun 2013, tiga tahun daripada sekarang.

Melihat kepada faktor-faktor ini, pasaran BKJ yang mana stabil setakat masa ini akan mengalami kesukaran yang serious pada tahun-tahun akan datang. Selepas memalingkan mata sejak memegang kuasa, kerajaan baru Jepun akhirnya mula berbincang tentang kenaikan cukai. Satu daripada kemungkinannya ialah kenaikan cukai penggunaan yang mana sekarang ini 5 % lebih rendah dibandingkan dengan negara-negara industri yang lain.

Tetapi kenaikan cukai semata-mata tidak akan dapat menutup lubang hutang fisikal Jepun. Apa yang paling diperlukan ialah konsisten dan pengurusan macroekonomi.

Pengurusan yang sedemkian adalah harus. Antara 2001 dan 2006 Perdana Menteri Junichiro Koizumi secara aggesif cuba menanggani masalah fisikal Jepun. Koizumi mengwujudkan kerajaan yang lebh kecil dan menetapkan number yang jelas kepada kosolidasi fizikal termasuk mandapatkan bajet yang seimbang dalam masa 10 tahun.

Memeranjatkan, Koizumi hampir-hampir berjaya, deficit Yen 28 trilion dalam tahun 2002 dikurangkan kepada Yen 6 trilion dalam tahun 2007. Sekiranya usaha ini diteruskan untuk dua tahun, bajet lebihan mungkin dapat diperolehi. Tetapi disepanjang 3 tahun itu, Perdana Menteri bertukar setiap tiga tahun dan trend yang popular berbelanja mengambil tempat.

Apa yang diperlukan sekarang ialah PDJ untuk melatakkan pengurusan ekonomi yang komprehensif. Kenaikan cukai sebahagian daripadanya. Tanpa strategi untuk berkembang, usaha-usha untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan polisi untuk memberhentikan deflasi, kenaikan cukai tidak akan menolong menyelesaikan masalah. Sesungguhnya setengah ahli ekonomi takut yang krisis fizikal boleh meletop walaupun selepas kenaikan cukai diluluskan.

Apabila ini berlaku, kesannya kepada negara-negara jiran dan ke atas ekonomi dunia sangat besar sekiranya dibandingkan dengan masalah Eropah sekarang. Sebenarnya, Jepun masih kekal sebagai kuasa ekonomi kedua iaitu kira-kira satu per tiga GDP Asia dan 8 % ouput global di mana GDP yang dikongsi oleh Greece dalam Kesatuan Eropah hanyalah 3 %.

Setengah-setengah negara perbelanjaan ketenteraan yang rendah dan kadar faedah boleh menolong kedudukan fizikal yang lemah. Tetapi dalam kes Jepun perbelanjaan ketenteraannya memanglah rendah dan kadar faedahnya juga rendah. Ini menunjukkan menyelamatkan fizikal menjadi lebih sukar sekiranya ianya bermula – ini menunjukkan akan keperluan yang mendesak untuk kepimpinan politik sekarang.

Heizo Taenaka, “Is Greece Japan’s Future ?’ Terjemahan daripada Project Syndicate, 2010.

Thursday, January 28, 2010

Amanat Terakhir Pemimpin Umum IM ke 7

From: Wan Ahmad To: isma-net@yahoogroups.com


Assalamualaikum,

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kemuliaan khusus kepada hamba-hamba- Nya yang beriman dengan kesatuan dalam agama dan menganugerahkan mereka untuk memikul amanah risalah reformasi dan pengislahan ke seluruh penjuru dunia serta memberikan janji berupa taufiq dan kemenangan di dunia dan pahala yang berganda di akhirat kelak.

Solawat dan salam serta keberkatan kepada pemimpin para nabi, contoh tauladan bagi para pendakwah dan mujahidin, beserta keluarga dan para sahabatnya serta para pengikutnya yang mengikuti petunjuk dan kebaikan serta orang-orang yang berjalan meneladani mereka hingga hari kiamat. Amma ba’du…

Inilah risalah terakhir saya, semoga dalam setiap patah perkataan terkandung makna yang berharga kerana ini merupakan risalah yang saya tulis dalam kedudukan terakhir saya sebagai “qiyadah" (pemimpin) dalam tubuh jamaah yang penuh berkat ini dan dalam rangka memenuhi prinsip dan komitmen yang telah saya umumkan sejak Jamaah Ikhwanul Muslimin memberikan kehormatan, amanah dan tanggung jawab ini kepada saya sebagai orang pertama dalam jamaah dakwah yang sentiasa dinaungi Allah berupa kemenangan dan agar diketahui oleh mereka yang jauh dan dekat bahwa Ikhwanul Muslimin tidak terjejas dan tidak berubah serta mereka tidak berkata kecuali dengan apa yang mereka lakukan.

Keperluan Dunia Pada Dakwah Ikhwanul Muslimin

Wahai Ikhwan yang tercinta…

Wahai para pemilik ruh yang mulia, pendamping liku-liku perjalanan dan rakan kongsi dalam berbagai aspirasi dan inspirasi…

Sungguh dengan berkat taufiq Allah yang telah dianugerahkan kepada saya sejak awal dalam hidupku sebagai qiyadah dan hampir tujuh puluh tahun berlalu; yang telah memperkenalkan saya dengan dakwah yang penuh berkat ini, memberikan kehormatan kepada saya untuk dapat bertemu dengan seorang mursyid dan pengasas jamaah Ikhwanul Muslimin iaitu Imam Syahid Hasan Al-Banna (semoga Allah merahmatinya) dan hidup bersama para generasi pertama dari orang-orang besar yang dikenali dalam sejarah moden samada mereka itu dari Mesir atau negara lainnya.

Begitu pula dengan berkat taufiq Allah jua yang telah menganugerahkan kepada saya keteguhan sekalipun berada dalam tekanan dan ancaman serta memohon kepada Allah semoga sentiasa menganugerahkan keteguhan berada dalam hidayah-Nya sehingga kelak dapat dipersatukan dan dipertemukan dengan Rasulullah saw dan para pendakwah selepasnya hingga hari kiamat….!!

Saya sangat menyedari dan yakin bahwa dakwah merupakan keperluan utama bagi warga Mesir, keperluan bagi warga Arab dan umat Islam seluruhnya, bahkan keperluan bagi umat manusia di seluruh dunia.

Ini adalah kerana yang dipikul oleh dakwah adalah :

1. Prinsip-prinsip pembaharuan Islam yang mulia.

2. Petunjuk terhadap kemuliaan dan keagungannya.

3. Memperbaiki pemahaman terhadap risalahnya.

4. Risalah pembaharuan menyeluruh terhadap semua aspek kehidupan.



Ini bersesuaian sepertimana firman Allah swt :

“Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam”. (QS Al-An’am : 162)

Setelah tersebar banyak kekeliruan dan kesalahan yang menganggap bahwa Islam hanya terbatas kepada bentuk-bentuk ibadah dan amalan kerohanian semata-mata, maka dakwah Ikhwanul Muslimin datang untuk menyatakan bahwa :

1. Islam adalah agama yang komprehensif.

2. Islam menyelesaikan dan mengatur berbagai urusan hidup.

3. Islam memberikan jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi oleh manusia.

4. Islam menempatkan sistem yang ketat dan berhati-hati padanya serta tidak terbelenggu di hadapan berbagai masalah dan sistem yang mesti dihadapi dan diperbaiki untuk kemaslahatan manusia.



“Islam adalah negara dan bangsa atau pemerintah dan rakyat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan kehakiman, material dan harta atau keuntungan dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia merupakan aqidah yang benar dan ibadah yang sahih secara bersamaan”.

Dunia ketika ini sangat memerlukan pemahaman Islam yang seperti ini sehingga dengan demikian akan mampu :

1. Mewujudkan harapan ramai orang.

2. Menghadapi berbagai kerosakan.

3. Memberikan jalan penyelesaian terhadap perdamaian yang sempurna dan kesejahteraan yang mententeramkan.


Alangkah indahnya, sekiranya umat Islam secara keseluruhan mahu menyedarinya! .

Manhaj Perubahan Menurut Ikhwanul Muslimin

Ikhwanul Muslimin menyedari bahwa cara untuk mencapai pemahaman yang benar terhadap Islam di tengah realiti kehidupan ini adalah dengan menghilangkan terlebih dahulu dalam realiti kehidupan bangsa tersebut berupa :

1. Perasaan yang terabai.
2. Akhlak yang rosak.
3. Kekikiran yang ditaati.

Oleh kerana itu perkara pertama yang mereka arahkan adalah “tarbiyah ruhiyah” iaitu :

1. Pembinaan terhadap jiwa.
2. Memperbaharui ruh.
3. Memperkukuhkan akhlak dan perilaku.

yang disasarkan tepat ke dalam hati setiap bangsa berdasarkan beberapa perkara berikut :

1 – Meletakkan “manhaj al-aqdi” (sistem aqidah) bagi Ikhwanul Muslimin yang berasal dari Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya saw yang sahih, tidak terkeluar darinya barang sedikit pun sehingga membuatkan Islam hidup di setiap persendian umatnya; memiliki kesedaran pada akal dan hati nuraninya dalam setiap gerakan dan perilakunya.

2 – Meletakkan “manhaj tarbawi” (sistem tarbiyah) untuk Ikhwanul Muslimin sehingga dengannya akan mampu mewujudkan komitmen yang benar dalam berbagai aspek Ibadah Islam dan syiar-syiarnya; di mana perkara tersebut berperanan sebagai cara yang efektif dalam membersihkan jiwa dan mensucikan hati.

3 – Meletakkan “manhaj tsaqafi al-mutakaamil” (sistem budaya yang bersepadu dan sempurna) yang mampu memberikan pemahaman Islam yang benar dan sederhana sesuai dengan realiti Islam tanpa berlebihan dan tidak ada kekurangan, melindunginya dari salah faham dan penghinaan serta membentuk landasan yang kuat dan bersih untuk kesatuan dunia Arab dan Islam sejagat.

4 – Meletakkan “manhaj al-ilmi” (sistem ilmiah); agar dapat diterapkan prinsip-prinsip Islam dan etika-etikanya dalam berinteraksi, berperilaku dan bersosial. Ikhwanul Muslimin menghadirkan (walau di manapun mereka berada) contoh tauladan yang baik dalam segala bidang profesional dan sosial yang bermanfaat dan produktif.

5 – Meletakkan “manhaj haraki wa as-siyasi” (sistem harakah dan politik) yang diilham dan bersumber dari Islam. Oleh kerana itu, Ikhwanul Muslimin sentiasa menyeru untuk melakukan pengislahan atau reformasi yang komprehensif dan bersepadu, bekerjasama dengan berbagai komponen dan kekuatan bangsa tanpa terkecuali dengan menarik penyertaan rakyat dalam berbagai bentuknya, mencakupi berbagai keadaan yang merosakkan untuk dilakukan perubahan dan pembaikan atas dasar agama, bangsa dan identiti budaya serta peradabannya di mana mereka akan sentiasa turut serta dan terus aktif berperanan secara positif dalam setiap tindakan atau bertujuan untuk mengangkat kehormatan bangsa dan tanah air di segala bidang, samada di peringkat tempatan mahupun global.

6 – Meletakkan “manhaj al-jihadi as-shahih” (sistem jihad yang benar) yang dapat membezakan antara jihad melawan penjajahan ke atas negara melalui penentangan bersenjata dan jihad dengan cara damai. Mujahadah untuk memperbaiki sistem pemerintahan nasional yang rosak dan korup melalui nasihat, bimbingan dan arahan serta pembetulan konsep serta sentiasa turut serta secara aktif dalam bebragai kegiatan dan aktiviti; samada sosial, ekonomi dan politik yang jauh dari tindakan kekerasan dan mengangkat senjata serta menyebarkan kedamaian di tengah-tengah masyarakat.

7 – Meletakkan carta-carta peraturan untuk kelengkapan struktur, persiapan rancangan, mengenalpasti strategi, pengambilan keputusan, pengembangan mekanisma, mengendalikan gerak kerja, penilaian pencapaian tujuan, memantau aktiviti dan perubahan serta memperbaiki kesalahan di bawah naungan ukhuwah, mahabbah (cinta), tsiqah (rasa percaya diri) dan indhibat (disiplin).

Selain dari itu, Ikhwanul Muslimin sentiasa melakukan :

1. Kajian semula terhadap sistem dan peraturan mereka dari masa ke semasa.

2. Mendiskusikan apa yang mesti diperbaiki dari suatu kesalahan lalu diluruskan.

3. Menyemak orang yang memberikan nasihat di samping mencintai mereka.

4. Berusaha memperolehi manfaat dari para pengkritik dan penentang dakwah mereka.

5. Tidak pernah berhenti berusaha untuk meninjau berbagai perkembangan pada sikap dan pendapat sesuai dengan suasana baru yang mereka hadapi dan dari berbagai sikap dan idea-idea ini ditanggapi secara fleksibel selagi tidak ada pertentangan dengan tsawabit (unsur-unsur tetap) serta prinsip-prinsip yang mereka yakini.

Mereka memahami bahwa Ikhwanul Muslimin akan tetap berjalan baik selama mana ia menerima nasihat dan saranan dan semoga Allah swt merahmati Umar bin Al-Khattab yang telah mendoakan orang yang menunjukkan aib dirinya, beliau berkata:

“Semoga Allah merahmati orang yang menunjukkan aib diriku”.

Dakwah Ikhwanul Muslimin Adalah Dakwah Bagi Menyelamatkan Umat Tercinta

Melalui mimbar ini, tidaklah salah jika saya katakan :

Sesungguhnya dakwah Ikhwanul Muslimin jika difahami oleh umat, ia merupakan sebahagian dari usaha penyelamat, baik dalam manhajnya yang jika diikuti oleh sesuatu bangsa merupakan suatu keuntungan dan dalam perjuangan mereka jika mahu dibantu merupakan harapan dan bahwa mereka sentiasa berjuang untuk berada dalam perjalanan yang mereka tempuh demi memberikan perkhidmatan bagi agama dan bangsa mereka, insya Allah, tidak gentar terhadap orang yang menyakiti dan memencilkan mereka, sampai Allah memberikan kepada bangsa ini dan dunia dalam meraih kebahagiaan melalui kebaikan yang mereka tebarkan.

Oleh kerana itu, saya merasakan amat sesuai jika saya dapat mengingatkan bangsa dan yang merasa mendapat amanah pada dakwah kami lebih-lebih lagi mereka yang ragu dan bersikap skeptikal terhadap prinsip-prinsip dan nasionalisma kami bahwa ketika kami terlibat di atasnya, seperti yang diungkapkan oleh Imam syahid Hasan Al-Banna dalam Risalah “dakwatuna” ketika ia berkata:

” Kami ingin agar umat mengetahui bahwa mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Sungguh, jiwa-jiwa kami ini senang gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu yang diperlukan atau melayang untuk membayar kejayaan, kemuliaan, agama dan cita-cita mereka, jika memang mencukupi.

Tidak ada yang membawa kami bersikap seperti itu kepada mereka, kecuali kerana kasih sayang yang telah menambat hati kami, menguasai perasaan kami, menghilangkan perasan mengantuk kami dan mengalirkan air mata kami. Sungguh, kami benar-benar sedih melihat apa yang menimpa dan terjadi pada umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah pada kehinaan, keridhaan pada kerendahan dan pasrah pada keputusasaan.

Sungguh kami bekerja di jalan Allah untuk kemaslahatan bagi seluruh manusia lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik kamu semua wahai saudara-saudara tercinta, bukan untuk orang lain. Sesaat pun kami tidak akan pernah menjadi musuh kamu.

Kami tidak merasa berjasa dengan sesuatupun dan tidak pula menganggap diri ini lebih utama. Kami hanya meyakini akan firman Allah swt :

“….Sebenarnya Allah, dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar.” (QS Al-Hujurat : 17)

Kami sering berangan-angan (andaikata angan-angan itu bermanfaat) bahwa hati kami terbuka di hadapan mata dan telinga umat ini, sehingga saudara-saudara kami dapat melihat sendiri. Adakah mereka melihat sesuatu dalam hati kami, selain menginginkan kebaikan untuk mereka, rasa kasih sayang terhadap mereka serta rela mati untuk kemaslahatan mereka?

Apakah mereka menemui dalam hati kami selain kepedihan mendalam atas apa yang kita alami?

Namun cukuplah bagi kami bahwa Allah swt mengetahui itu semua. Hanya Dia-lah yang menjamin dukungan yang tepat agar kami sentiasa berada dalam kebenaran. Di tangan-Nya-lah berada semua kendalian dan kunci hati. Siapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiada yang dapat menyesatkannya. Dan siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada yang dapat menunjukinya. Cukuplah Allah bagi kami. Dialah sebaik-baik tempat bergantung. Bukankah Allah yang mencukupi seluruh hanba-Nya?”

Masa Depan Yang Cerah Bagi Dakwah Yang Dipikul Oleh Ikhwanul Muslimin

Wahai Ikhwanul Muslimin, ketahuilah bahwa masa depan yang cerah adalah bagi jamaah, dakwah dan agama kamu.. Perkara ini adalah disebabkan oleh beberapa alasan berikut:

1. Allah berjanji kepada mereka yang gigih dan ikhlas berjuang untuk agama mereka


“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan aku”. (QS An-Nuur : 55)

dan firman Allah swt lagi :

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa, (iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. Dan Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.” (QS Al-Hajj : 40 - 41)

2. Bahwa projek peradaban dalam rangka melakukan reformasi peradaban yang kamu pikul telah menunjukkan realiti sejarah dan realiti fikiran, dan dalam kenyataannya lebih bermanfaat bagi umat manusia dan menjadi penyelamat dari kehancuran, kerana itu ia memegang rahsia penerusan hidup; walabagaimana keadaan dan situasi serantau dan dunianya.

“Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; Adapun yang memberi manfaat kepada manusia, Maka ia tetap di bumi”. (QS Ar-Ra’d : 17)

3. Bahwa projek kebangkitan dan penyelamat yang kamu tetap berpegang teguh padanya telah banyak mengalirkan darah suci dari para syuhada’, pejuang dakwah ini, dimulai dari Imam Syahid Hasan Al-Banna dan mujahid Asy-syahid Izzuddin Al-Qassam, kemudian diteruskan dengan mengalirnya darah para syuhada pejuang dakwah yang berada di penjara kezaliman seperti : Muhammad Farghali, Abdul Qadir Audah, Muhammad Yusuf Hawasy, Ibrahim Tayyib, Hindawi Duwair, Mahmud Abdul Latif, Sayyid Quthb, Abdul Fattah Ismail, Kamal As-Sananiry, Abdullah Azzam, dan lain-lainnya.

Dan di akhir-akhir ini syahidnya para syuhada’ di bumi Palestin yang tercinta seperti: Ahmad Yaasin, Abdul Aziz Rantisi, Solah Shahadah, Fathi Asy-Syiqaqi, Yahya Ayyash , Nizar Rayyan, Said Siyam dan para pahlawan lainnya dari para pejuang dan pasukan penentang serta puluhan ribu warga yang tetap bersabar dan bertahan serta teguh di Palestin yang sedang mengalami berbagai jenis ketidakadilan dan dijerumuskan di dalam penjara ketidakadilan dan kezaliman atau di bawah kongkongan tawanan di penjara dan mereka yang telah menorehkan sejarah terbaik akan keteguhan jamaah Ikhwanul Muslimin melalui beberapa dekad jihad dan dakwah di Mesir, Palestin dan lain-lain.

Inilah darah dan pengorbanan yang tidak akan hilang dan sia-sia Insya Allah, dan kamu telah melihat buahnya berupa beralihnya perhatian umat terhadap dakwah kamu serta berkumpulnya mereka dalam dakwah kamu, memberikan dokongan yang penuh untuk projek kamu sampai akhirnya dakwah ini menjadi bahan perbincangan dan perhatian umat dan memenuhi pendengaran dan penglihatan puluhan negara-negara Arab dan Islam.

4. Bahwa dakwah dan jamaah kamu mampu menyatukan sejumlah besar dari para insan terbaik dan elit dari kalangan para intelek, ilmuwan, ahli akademik, ahli ekonomi, ahli politik dan profesional yang jujur dan tulus serta sangat sedikit kelompok yang mampu menandingi jamaah seperti ini (samada secara kuantiti atau kualiti) dari berbagai kelompok lain atau dakwah lain di dunia ini, terlepas dari semua tekanan yang diperlakukan oleh rejim-rejim otoritarian dan korup, maka ini semua menandakan bahwa dakwah kamu merupakan kunci masa depan insyaAllah.

5. Bahwa projek kebangkitan dan reformasi mampu menggabungkan antara keaslian dan pembaharuan, kelenturan dan kesan positif, kerana sentiasa menjaga dan memelihara simbol-simbol suci dan unsur-unsur tetap dalam syari’ah yang tidak pernah ragu dalam menangani semua idea-idea baru yang bermanfaat dan sejahtera, slogannya adalah hadits Nabi saw :

“Kata-kata hikmah merupakan sesuatu yang hilang dari orang yang beriman, di mana ia berada maka ia lebih berhak mendapatkannya.” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah).

Jadi kita wahai Ikhwanul Muslimin sentiasa mencari hikmah dengan penuh kesungguhan dan ketulusan sepertimana seseorang yang sedang mencari sesuatu yang hilang oleh kerana terlepas darinya dan jika menemuinya maka akan lebih bersemangat untuk memanfaat dan melaksanakannya.

Begitu pula Ikhwanul Muslimin tidak akan pernah lengah sedikitpun dalam menyebarkan kebenaran demi kesejahteraan bangsa dan umat serta tidak akan pernah terlambat dalam menerima kebenaran dan kembali kepadanya lalu menjunjung tinggi kebenaran tersebut, dan itu merupakan penyebab yang paling utama dalam menuju kejayaan dan kekuatan mereka.

6. Bahwa mereka yang kamu hadapi dengan penentangan dari rejim-rejim yang menekan dan pemerintahan yang korup dan jahat tidak akan mampu berdiri di tanah yang kukuh kerana :

a. Mereka tidak memiliki unsur-unsur yang kukuh sepertimana kemuliaan kamu dan kelapangan dada serta kebersihan tangan kamu dan tidak akan mendapatkan penerimaan yang hakiki dari suatu bangsa, sehingga mereka berusaha melindungi dan mempertahankan kedudukan mereka dengan tongkat kekerasan dan kediktatoran.



b. Mereka tidak memiliki kemampuan untuk menghalang kamu melalui ideologi dan politik serta kesetiaan kamu kepada bangsa.



c. Mereka tidak memiliki jalan penyelesaian lainnya dalam menghadapi kerja kamu kecuali dengan menangkap dan berusaha menggagalkan projek kamu, memecahbelahkan antara kamu dengan umat sehingga membuatkan kamu dan umat terasing dan berusaha dengan kuat untuk menghancurkan agama kamu serta memutarbelitkan jihad kamu.



Namun itu semua telah membuktikan bahwa segala usaha yang mereka lakukan tidak mampu diwujudkan kecuali semakin meningkat persatuan barisan kamu, memperteguh prinsip-prinsip kamu dan menambah rasa cinta rakyat dan bangsa kamu.

Hal ini sepertimana yang diungkapkan oleh Abu Tayyib al-Mutanabbi :

“Jika datang kepada saya orang yang mencela # Maka itu merupakan kesaksian akan kesempurnaan saya”

7. Bahwa projek Ikhwanul Muslimin adalah projek untuk melakukan kebangkitan dan reformasi yang bertujuan untuk memerdekakan negara Arab dan Islam dari berbagai bentuk kekuasaan asing di semua bidang seperti ekonomi, politik, budaya, kerohanian dan pembebasan tanah Arab dan Islam dari kongkongan penjajahan.

Oleh kerana itulah projek mereka terfokus pada melakukan penentangan terhadap projek Zionis Amerika yang melakukan penentangan terhadap Ikhwanul Muslimin dan menyelewengkan wajah mereka yang bersih serta memerangi projek Islam sebagai tujuan mereka.

Sebenarnya projek mereka hari demi hari mulai menampakkan kelemahan dan hilang kekuatannya serta mengikis keyakinan pendukungnya dan bahkan mulai terhakis pula (akibat sikap mereka yang salah) pada setiap harinya populariti mereka di hadapan bangsa dan masyarakat mereka sendiri dan mulai beralih kepada projek peradaban Islam yang terus menarik perhatian dan meningkatnya penerimaan dan dukungan yang luar biasa dari umat yang mendambakan kemerdekaan dan kemuliaan, terutama pemuda yang memiliki jiwa semangat.

“Dan Sesungguhnya kamu akan mengetahui (kebenaran) berita Al Quran setelah beberapa waktu lagi”. (QS Shaad : 88)

Wahai Ikhwan Marilah Bekerja Kuat

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada Ikhwanul Muslimin untuk tetap berpegang teguh pada dakwah dan prinsip kamu dan genggamlah dengan erat dan jangan ragu-ragu atau takut meskipun :

1. Harus berhadapan dengan tindakan sewenang-wenangnya bagi kemerdekaan dan kebebasan kamu.

2. Berhadapan dengan peperangan yang tidak seimbang atas kamu.

3. Diskriminasi secara keji atas hak kamu dalam mencari rezeki.

4. Putarbelit yang jahat atas dakwah dan simbol-simbol kamu.



Itu semua merupakan cukai di atas jalan dakwah yang mesti kamu bayar dan tanda kemenangan sudah dekat mengalahkan segala bentuk ketidakadilan dan kezaliman insya Allah.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, Padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, Maka Sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim”. (QS Ali Imran :139-140)

Hadapilah masa depan yang ada di tangan kamu dengan iman yang teguh dan tenaga kerohanian, material dan moral yang agung dan dengan apa yang kamu miliki dari berbagai unsur keberkatan, baik dari laki-laki mahupun wanita, pemuda mahupun pemudinya, bersatulah dalam kasih sayang kerana Allah, ukhuwah Islam dan kesetiaan terhadap manhaj yang bijaksana tanpa mengenal rasa putus asa, tidak ada keluhan dan tidak terlambat dalam mempersembahkan pengorbanan demi agama dan bangsa mereka.

Ketika ini saya ingin mengumumkan kepada kamu dan kepada dunia keinginan saya untuk mewujudkan apa yang telah saya janjikan kepada kamu iaitu melepaskan jawatan dan kedudukan saya sebagai qiyadah kepada darah segar dan jiwa baru yang penuh bertenaga kerana saya yakin bahwa jamaah yang memiliki banyak tenaga dan keahlian sangat layak mencapai dan mewujudkan harapan dan pilihan yang terbaik anasirnya insya Allah.

Jangan takut akan suatu perubahan kerana di dalamnya ada keberkatan yang mulia, berhati-hatilah dari bersekutu atau berhenti melakukan pembaharuan darah segar; kerana itu akan mengganggu tenaga dan potensi serta menunda perjalanan menuju tujuan yang dicita-citakan.

Adapun kepada ikhwan tercinta yang berada di sebalik penjara dan tembok penindasan dan ketidakadilan, di sebalik pengadilan tentera yang zalim atau dalam penangkapan yang tidak bertamadun dan jahat atau dalam peristiwa-peristiwa palsu dan lemah yang ditujukan kepada mereka, saya sampaikan kepada mereka salam dan penghargaan yang tulus kerana kesabaran dan keteguhan mereka, sebagaimana saya sampaikan kepada ayah, ibu, isteri dan anak-anak mereka dan saya berharap dan memohon, semoga Allah memberikan kebebasan dan kemerdekaan segera dan untuk dakwah sebuah kemenangan yang dekat.

Menuju Kesatuan Dan Kekuatan Islam, Nasionalisma Dan Patriotisma Bangsa

Ikhwanul Muslimin sedar sepenuhnya bahwa mereka tidak akan mampu secara bersendirian mewujudkan harapan bangsa dalam bentuk kebangkitan dan reformasi.
Mereka tidak melihat diri mereka kecuali sebagai salah satu komponen penting yang memiliki tugas dan jamaah yang besar dan setia dari berbagai komponen dan kekuatan penting lainnya, bahwa kemenangan tidak akan tercapai kecuali dengan menyeragamkan potensi dan menyatukan kekuatan.

Oleh sebab itulah mereka terus membentangkan tangan mereka menjangkau setiap orang yang memiliki kesetiaan dan kejujuran dari semua sisi dan arah; samada dari kalangan yang bersimpati, ahli politik dan para intelek untuk turut serta dan bekerjasama dalam amal-amal demi kemaslahatan bangsa.

Dengan wujudnya mereka-mereka yang ikhlas dari semua pihak dan juga dari Ikhwanul Muslimin, telah tersedia berbagai aktiviti dan agenda yang sedang menunggu berlakunya genggaman tangan dengan tangan lainnya dalam satu kesatuan dan berpadunya kekuatan dan potensi dengan kekuatan dan potensi lainnya, sebagai usaha untuk memberikan kebaikan dan manfaat untuk semua, dan kami telah melakukannya, maka apakah kamu juga telah melakukannya?

Saya akan ulangi kandungan ungkapan yang sentiasa dilontarkan oleh Ikhwanul Muslimin:

Kami adalah jamaah Ikhwanul Muslimin yang tidak bekerja secara mutlak untuk menjatuhkan seseorang (individu) atau mengurangkan peranannya, sebagaimana kami juga menolak orang lain yang bekerja dengan penuh kekuatan untuk menjatuhkan kami atau menghadkan aktiviti kami.

Kami melihat dengan penuh kejujuran dan ketulusan bahwa negeri yang mulia ini yang kita jadikan sebagai bahtera bagi semua orang yang sangat memerlukan adanya usaha dari semua pihak dengan menampakkan wawasan yang berbagai untuk menyelamatkan bahtera ini dari tenggelam serta memastikan ianya di bawah naungan demokrasi yang bersih dan syura yang bijaksana berdasarkan prinsip rakan perkongsian di antara anak-anak bangsa; bukan prinsip untuk saling mengalahkan dan menjatuhkan seseorang atau dengan mengorbankannya untuk kepentingan orang lain.

Adapun mereka yang terus menentang dan memusuhi kami, enggan bekerjasama kecuali memusuhi dan memfitnah atas kami dan memandang kami dengan penuh kecurigaan dan ketidakpercayaan atau dengan pandangan yang angkuh penuh kesombongan, tidak ada yang dapat kami sampaikan kepada mereka kecuali

“Bagi Kami amal-amal Kami dan bagimu amal-amalmu, Kesejahteraan atas dirimu, Kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil”. (QS Al-Qashash : 55)

dan kami doakan untuk mereka seperti yang pernah dilantunkan oleh Nabi saw dalam doanya :

“Ya Allah, Ampunilah kaumku, kerana mereka belum memahami”. (Muttafaq alaih)

Ucapan Terimakasih Dan Penghargaan

Sungguh, saya telah diberikan amanah tanggungjawab menjadi qiyadah pada jamaah yang penuh berkat ini selama enam tahun, penuh dengan peristiwa dan kerja dan di samping saya ini ramai para Ikhwan anggota Maktab Irsyad yang mulia, dan mereka adalah sebaik-baik pemberi dokongan dan sandaran bagi saya dan bagi dakwah yang penuh berkat ini.

a. Di antara mereka ada yang berhasil menunaikan tugasnya dengan baik dan sempurna hingga meninggal dunia dan kami memohon kepada Allah semoga mereka kelak dinaungi rahmat Allah.

b. Di antara mereka ada yang masih tertahan di tangan kezaliman dan berada di sebalik tembok penjara.

c. Di antara mereka ada juga yang terus menerus berhadapan dengan penindasan, penyiksaan dan penahanan secara berulang.

Namun meskipun demikian, mereka tidak pernah merasa lemah dan lesu, apalagi ragu-ragu untuk melaksanakan tugas, berkorban masa dan waktu istirehat serta jiwa mereka, semoga mereka mendapat pahala dan ganjaran yang besar dan berganda dari Allah dan saya ucapkan terima kasih yang tulus dan penghargaan dan saya berharap semoga Allah memberikan limpahan rahmat dan taufiq untuk kebaikan dakwah dan bangsa.

Saya juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada para Ikhwan yang mulia para mas’ul jamaah ini samada yang berada di dalam dan di luar negara yang :

1. Teguh dalam keimanan.

2. Teguh dalam dakwah.

3. Amanah dalam menunaikan tugas risalah.



Saya memohon kepada Allah semoga memberikan kepada dakwah dan para pemikulnya ganjaran dan pahala yang terbaik.

Akhir sekali yang ingin saya sampaikan adalah bahwa seluruh manusia pasti melakukan kesalahan dan kekeliruan dan saya bukanlah manusia terbaik di dalamnya dan semua anak cucu Adam pasti melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah yang mahu bertaubat (mengakui kesalahannya) .

Oleh kerana itu, saya memohon semoga Allah menerima amal saya, memaafkan dan mengampuni kesalahan saya dan mengakhiri hidup saya dengan pengakhiran yang baik seperti para hamba-hamba- Nya yang soleh, dan akhir dari doa kami adalah segala puji hanya untuk Allah.

Allahu Akbar Walillahilhamd

Solawat dan salam semoga sentiasa tercurah kepada Nabi Muhammad saw beserta keluarga dan para sahabat semua.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Muhammad Mahdi Akif
Mantan Mursyid Am Ikhwanul Muslimin ketujuh

Susunan

WAS

Sumber : Ikhwan webnetonline

Tuesday, January 26, 2010

Perutusan sulung Mursyid Ikhwan Muslimin ke-8, Dr. Mohammed Badee’


Perutusan sulung Mursyid Ikhwan Muslimin ke-8, Dr. Mohammed Badee’
Posted by: ustazrahim on: January 20, 2010 dari http://ismapenang.wordpress.com/

In: Isu Semasa dan FikrahComments Off

Dr. Mohammed Badee’(kiri) bersama Ustaz Mahdi Akef

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah dan selawat serta salam bagi Rasulullah, para sahabatnya dan semua yang mengikutinya.

Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan,
Saya dahulukan dengan sapaan Islam yang mulia: Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Dengan kehendak Allah, saya mengambil tanggungjawab yang besar ini, yang telah Allah tetapkan untuk saya, dan dengan permintaan dari gerakan Ikhwan Muslimin (IM) yang saya sahut dengan sokongan dari Allah. Dengan sokongan anggota IM, saya berharap untuk mencapai tujuan-tujuan besar yang kami curahkan seluruh tenaga kami, semata-mata kerana Allah.

Ikhwah dan akhawat,
Saya dahulukan ucapan saya dengan memberi penghormatan kepada guru kita, abang, dan ketua kita yang mulia Ustaz Muhammad Mahdi Akef, Mursyid Am IM yang ketujuh, seorang yang tegas, berdedikasi dan bersemangat tinggi yang telah mengetuai perjalanan pergerakan ini di tengah-tengah ribut dan badai dan telah melepasi segala rintangan, yang mana telah menghasilkan model dan contoh yang baik dan unik kepada semua pemimpin dan pegawai tinggi di dalam kerajaan, pertubuhan dan parti, dengan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kepimpinan selepas hanya satu penggal.

Tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaan kami kepada pemimpin hebat yang juga murabbi kami dan kami hanya boleh mengucapkan ”Semoga Allah membalas jasa anda dengan balasan sebaiknya dan Allah anugerahkan dengan pahala para Siddiqin”.

Kami ucapkan kepada ikhwah dan akhawat yang dikasihi di seluruh dunia, alangkah baiknya sekiranya anda berada bersama-sama kami semasa peristiwa besar ini berlaku, namun ianya tidak berlaku oleh kerana pelbagai sebab yang di luar kawalan kita, namun kami tetap merasakan kehadiran ruh anda yang sedang mengukir senyuman dan getaran yang jujur dan ikhlas.

Kepada mereka yang kami kasihi yang menghuni penjara kezaliman dan penindasan hanya kerana menegaskan bahawa Allah tuhan kami dan kerana mengangkat maruah, kehormatan dan kemajuan negara mereka, kami berikan sanjungan dan hormat kepada mereka di atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan, yang mana kami yakini tidak sia-sia. Kami doakan hati nurani para penzalim dan penindas sekalian akan tersentuh dan anda berpeluang untuk kembali bersama-sama menyokong usaha kita, semoga Allah merahmati dan melindungi anda semua.

Ikhwah dan akhawat,
Sepertimana yang diketahui semua, matlamat utama Ikhwan Muslimun (IM) ialah perubahan yang menyeluruh dan lengkap, yang akan membetulkan segala kerosakan menerusi islah dan perubahan. ”Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah) sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah” (Hud: 88) dan dengan kerjasama semua punca-punca kuasa dan mereka yang mempunyai semangat tinggi yang tulus terhadap agama dan negaranya.

IM percaya Allah telah meletakkan semua asas yang perlu untuk pembangunan dan kebajikan negara dalam ajaran Islam; maka Islam mestilah menjadi sumber rujukan dan titik tolak bagi pembaharuan, yang dimulakan dengan proses tarbiyah dan melatih disiplin individu muslim, diikuti dengan pembentukan keluarga dan masyarakat muslim dengan mengukuhkan mereka, seterusnya dengan membawa keadilan dan berjihad untuk memerdekakan negara dari segala bentuk penguasaan asing atau penjajahan intelektual, spiritual dan kebudayaan serta penjajahan ekonomi, politik dan ketenteraan. Seterusnya membawa negara ke arah kemajuan, kemakmuran dan meletakkan negara di persada dunia.

Dengan kefahaman Islam yang komprehensif ini, IM telah digambarkan sebagai pergerakan dakwah salafi, pengamal sunnah (toriqah sunniyah), hakikat sufi (haqiqah sufiyyah), parti politik (hai’ah siyasiyah), kumpulan sukan (jamaah riyadhiyyah), persatuan kebudayaan dan ilmiyah (rabitah ilmiyyah thaqafiyyah), dan syarikat perekonomian (syirkah iqtisodiyyah) dan idealisma sosial (fikrah ijtima’iyyah), sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran: ”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas:77).

IM memahami bahawa Quran dan Sunnah merangkumi semua peraturan, yang digunapakai dalam segenap aspek kehidupan dan ummah ini perlu memilih yang terbaik untuknya berdasarkan peraturan ini, di mana alternatif dan pilihan fikah boleh berubah mengikut adat kebiasaan, masa dan tempat.

Ikhwah dan akhawat,
Walaupun idea, matlamat dan objektif kami adalah jelas, banyak pihak cuba untuk menggambarkan kami dengan gambaran yang lain, meletakkan matlamat dan objektif yang berbeza terhadap kami; oleh kerana itu, kami selalu memperkenalkan kembali diri kami, prinsip dan pendirian kami terhadap isu semasa.

Saya ingin menyatakan kepada mereka yang mendokong kesatuan jamaah, bahawa mereka yang bekerja untuk Tuhan mereka, agama dan negara haruslah bekerja sebagai satu unit, walaupun memiliki perbezaan pandangan. Mereka yang mengatakan bahawa perbezaan pandangan akan menyebabkan perpecahan atau memberi kesan kepada ukhuwwah, sebenarnya tidak benar-benar memahami IM. Anggota IM telah berjanji dengan Allah untuk bekerja keras demi Allah sebagai satu unit seperti sebuah binaan yang tersusun.

IM bergerak berdasarkan peraturan dan disiplin, yang sentiasa diperbaharui dan diperkemas tanpa melanggar prinsip-prinsip yang asas, dan dalam hal ini IM sentiasa menerima nasihat dan pandangan semua pihak kerana mereka mengikut pepatah ”Allah merahmati mereka yang menunjukkan kekurangan kami”.

Ikhwah dan akhawat,
Saya mahu menyorot dan menekankan beberapa perkara berikut:

• Kami adalah satu Jamaah dari umat Islam dan bukan Jamaatul Muslimin, kerana satu kumpulan tidak boleh memonopoli Islam. Dan alhamdulillah, IM sangat popular di semua negara Arab dan negara Islam kerana pendiriannya yang sederhana yang berpaksikan Qur’an dan Sunnah.

• Dakwah dan pergerakan kami adalah bersangkutan dan saling bersandar antara satu sama lain. Pergerakan kami adalah berdasarkan dakwah kami dan motto kami seperti yang telah disebutkan dalam Qur’an: ”Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” (al-Hasyr: 10)

• Kami percaya dengan proses islah secara berperingkat, yang mana ini boleh dicapai dengan perjuangan yang damai dan mengikut lunas undang-undang berdasarkan pujukan dan dialog dan sekali-kali bukan melalui paksaan. Maka kami menolak keganasan dan segala bentuknya samada di pihak kerajaan mahupun individu, daripada organisasi atau institusi.

• IM percaya bahawa sistem undang-undang perlu memberi ruang kepada kebebasan individu, syura atau demokrasi, mendapatkan kedaulatan kuasa dari suara rakyat, mengenalpasti kuasa dan pemisahan antaranya, kerana inilah sistem yang paling hampir dengan Islam dan IM tidak akan menerima alternatif yang lain. Dengan perspektif ini, mereka mengambil bahagian dalam politik negara dan menuntut perubahan sistem politik melalui jalan yang sedia ada dan aman seperti melalui parlimen dan kerja kemasyarakatan yang mereka anggap sebagai satu kewajipan sepertimana kefahaman mereka terhadap agama mereka dan ketulusan mereka terhadap ummah.

• Berkenaan pendirian kami terhadap rejim Mesir, kami menekankan bahawa IM tidak pernah menjadi musuh kepada rejim, walaupun rejim selalu memberi sekatan ke atas mereka, merampas wang mereka dan sering menangkap pemimpin-pemimpin mereka. Walaubagaimanapun IM tidak pernah sedikitpun mengurangkan usaha menentang dasar-dasar yang mendatangkan kerosakan dari segala sudut dan terus menerus memberi pandangan dan nasihat untuk mengharungi krisis yang berterusan ini, yang disebabkan oleh rejim ini. IM membesarkan anak-anak bangsa dengan memberi nilai akhlak, moral dan sentiasa membantu orang lain, yang mana semuanya memberi manfaat kepada ummah, rakyat dan institusi negara.

• IM menekankan bahawa pendirian mereka terhadap apa jua sistem adalah berdasarkan mendokong yang baik dan menolak yang buruk, maka mereka tidak menolak sesuatu semata-mata kerana tidak sukakannya.

• Kepada saudara Kristian kami di dunia Arab dan dunia Islam, pendirian kami sangat jelas bahawa mereka adalah rakan kongsi dan peserta dalam membina tamadun ummah, rakan sekerja kami dalam mempertahankannya, rakan karib dalam pembangunannya, maka berurusan dan bekerjasama dengan mereka adalah satu kewajipan dalam Islam. ”Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (al-Mumtahanah: 8).

• IM percaya bahawa kerakyatan sesuatu negara adalah berdasarkan kerjasama dan kesaksamaan dalam hak dan tanggungjawab, kecuali dalam hal peribadi, yang mana mengikut kepercayaan masing-masing.

• IM menolak dengan keras dan mengutuk segala bentuk keganasan atas dasar agama yang sering terjadi dan menyatakan penolakan terhadap peristiwa yang menyakitkan ini, kerana penganut Kristian dan Muslim adalah satu komuniti dari segi struktur sosial dan budayanya. IM juga menyeru untuk diadakan perbincangan yang telus berkenaan sebab di sebalik ketegangan ini dan mencari penyelesaian untuk menghilangkan sensitiviti keagamaan dan mengembalikan negara menjadi satu unit.

• Berkenaan isu wanita, IM telah dengan jelas selama ini memperjuangkan hak-hak wanita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. ”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya” (at-Taubah: 71). Kami menyeru wanita muslim untuk memainkan peranan mereka dan sentiasa mengambil tahu isu semasa kerana ini akan memberi manfaat kepada ummah Islam dan Arab.

• Syura (atau demokrasi) adalah wasilah asas kami, kami bersungguh-sungguh melaksanakannya dan mengukuhkannya. Semua institusi dalam pergerakan ini meletakkan syura dan demokrasi sebagai asasnya, bermula dari majlis di peringkat cawangan sehingga pejabat Maktab Irsyad sendiri. IM menekankan bahawa syura atau demokrasi tidak menghilangkan suara pandangan pihak yang lain, dan mengambil pendapat majoriti sebagai keputusan untuk semua.

• Berkaitan dengan Islam, kerajaan, parti politik, intelektual dan elit budaya, IM percaya bahawa setiap orang harus mengambil bahagian dalam pembangunan dan pembaharuan dan menolak sebarang usaha meminggirkan individu atau persatuan mahupun peranan mereka. Mereka menerima kepelbagaian parti dan kebebasan untuk membentuk sebarang parti tanpa sekatan selagimana ianya masih dalam rangka perlembagaan negara. Mereka percaya dengan peralihan kuasa di antara parti dan kumpulan menerusi pilihanraya yang bebas dan adil kerana negara ini adalah milik bersama dan pembaharuan adalah tanggungjawab setiap individu.

• IM meletakkan isu Palestin sebagai satu keutamaannya dan menganggap isu ini adalah yang terpenting bagi ummah. Kesucian bumi Palestin dan kedudukan Masjid Aqsa di hati kita mengukur tahap kesetiaan kita kepada Islam dan bangsa Arab. IM tidak mengurangkan sedikitpun usaha untuk mengetengahkan isu ini agar ianya menjadi isu utama sistem pemerintahan dan ummah sehingga Palestin merdeka, InsyaAllah.

• IM bersungguh-sungguh menyokong negara Arab dan Islam serta menyokong pendirian mereka yang adil dan isu-isu penting mereka. IM tidak teragak-agak untuk menghulurkan nasihat kepada semua badan dan persatuan Arab atau Islam samada dalam bentuk yang rasmi mahupun secara umum. Mereka juga tidak pernah berhenti berkorban demi Ummah ketika mana diperlukan. Mereka menyeru negara Arab dan Islam untuk bersatu dan bekerjasama menentang projek penjajahan, hegemoni barat dan zionis, sepertimana mereka menyeru untuk kesatuan ummah dan menyelesaikan permasalahan di dalam dan di antara negara Arab dan Islam menerusi dialog dan bukan dengan senjata. Kami mengingatkan saudara kami di Yaman, Sudan, Somalia, Iraq, Lebanon, Afganistan dan Pakistan, bahawa satu-satunya jalan untuk memastikan keselamatan dan keamanan rakyat mereka adalah dengan berdialog dan bersetuju mengenai apakah jalan yang terbaik buat mereka.

• Pendirian kami terhadap sistem global yang dikuasai USA dan barat adalah sangat jelas. Kami tidak bermusuh dengan negara-negara barat, tetapi kami menentang sistem ini kerana ia menuntut demokrasi dan kebebasan untuk rakyatnya manakala menafikannya buat kami. Negara-negara barat menggunakan kekuatan ekonomi untuk mempengaruhi dan mengawal negara kami. Negara Zionis menuntut penghapusan dan penggantian nilai, budaya dan identiti Islam dengan nilai barat, yang mana akan merosakkan iman dan akhlak di negara kami. Kami menyeru ummah untuk bersatu menghadapi Zionis dan projek barat dan mengatasi segala perbezaan ideologi, menghentikan perkauman, dan menolak segala bentuk serangan atau penjajahan terhadap negara Arab atau Islam.

• Kami menuntut sistem global ini diubah menjadi adil dan benar dan terus bekerja ke arah keamanan dan kerjasama di antara bangsa-bangsa dunia dan menyebarkan nilai kebebasan dan keadilan di seluruh dunia. Seperti mana disebut di dalam hadis: ”Setiap kamu adalah anak cucu Nabi Adam, dan Adam dicipta dari tanah” (Hadis riwayat Al-Bazzar). Juga firman Allah: ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” (al-Hujurat: 13). Juga hadis: ”Kaum Arab tidaklah lebih mulia dari yang lain dan begitu juga sebaliknya, orang yang berkulit hitam tidaklah lebih mulia dari yang berkulit putih dan begitu juga sebaliknya, kecuali dalam ketaqwaan” (Hadis riwayat At-Tabarani).

Ikhwah dan akhawat,
Kita melihat masa depan dengan penuh harapan dan keprihatinan.

Harapan adalah slogan hidup mukmin yang benar. Dan ia merupakan bekalan di perjalanan yang panjang, maka kita terus beramal dengan segenap harapan. Kasih sayang dan ukhuwwah merupakan wasilah ikhwan menghadapi kesusahan. Sesungguhnya berputus asa bukanlah sifat mukmin dan berdiam diri bukanlah kualiti seorang mujahid. Keprihatinan kami adalah sama seperti rakyat Mesir, bangsa Arab dan muslim; umat manusia keseluruhannya juga berkongsi keprihatinan yang sama tentang masa depan dunia, yang diancam konflik, wabak dan penyakit, dan para saintis merasa kasihan terhadap dunia kerana pemanasan global, kemarau dan penggurunan. Keprihatinan kami juga terhadap masa depan dunia yang ditadbir dengan polisi kuasa besar yang ingin memimpin dunia secara unilateral selama dua dekad, di mana mereka menyangka mampu mengawal dunia. Namun, mereka dikejutkan dengan darah yang mengalir dan jasad yang bergelimpangan di sebahagian dunia Islam termasuk Afganistan, Iraq, Sudan, Somalia, Lebanon dan Palestin di tambah dengan krisis ekonomi yang tidak putus-putus serta manusia yang hidup dalam kerisauan dan rasa cemas terhadap masa depan mereka dan anak-anak mereka.

Ikhwah dan akhawat,
Rakyat Mesir, bangsa Arab, Muslim dan manusia sejagat meletakkan harapan yang sangat besar kepada anda, anda –dengan izin Allah- mampu untuk menggalas tanggungjawab ini; sejarah telah membuktikan berulang kali tentang kesabaran, ketabahan, ketetapan pendirian dan keberhasilan anda walaupun banyak khabar angin yang tersebar tentang anda.

Tawarkan kepada dunia; Islam yang sebenar, Islam yang membawa toleransi dan kesederhanaan, Islam yang menghormati kepelbagaian beragama, Islam yang menggalakkan saling mengenali dan bekerjasama untuk kebaikan manusia.

Laluilah semua jalan dan gunakan semua wasilah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada manusia dan bersungguh-sungguhlah; ”Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujah-hujah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh” (al-Furqan: 52).

Tetaplah berjihad dengan pernyataan-pernyataan, penulisan, pidato, lagu, filem dan drama, dan semua jenis seni yang terarah dan cara yang suci agar kebenaran Islam terserlah dan menolak segala bentuk syubhat. Slogan kita terdapat dalam ayat suci: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk” (an-Nahl: 125). Dan firman Allah lagi: ”Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46)

Didiklah diri anda dengan nilai dan etika yang murni, jadilah contoh buat masyarakat. Pimpinlah mereka ke jalan Allah dengan menjadi contoh yang baik dan dengan akhlak yang mantap. bekerjasamalah dengan semua pihak dalam membentuk peribadi dan menanam akhlak yang mulia.

Bekerjasamalah dengan mereka yang bekerja untuk kebaikan dan taqwa, bahkan bantulah sesiapa sahaja yang membawa kebenaran, mempertahankan iman dan memerangi kekafiran dan atheisme.

Perbetulkan dirimu dan rumahtanggamu, bersegeralah membuat kebaikan untuk membaiki masyarakat. Perhatikan nasib mereka yang ditindas di merata-rata tempat dan kembalikan hak mereka.
Kembalilah kepada Qur’an yang mulia dan Sunnah Rasulullah yang dijunjung, sirah kehidupan Rasulullah dan dan kehidupan manusia-manusia agung yang lain. Pelajari ia dan dapatkan pengajaran darinya dan perbaiki perjalanan kehidupanmu sentiasa dan sedarlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan amalmu dan bukan pada zahirmu. Pertolongan Allah sentiasa menanti, dan ianya amat dekat; ”Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (ar-Rum: 5)

”Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah: 105)

Dr. Mohammed Badee’,