Tuesday, May 3, 2011

Kemiskinan dan Kemiskinan Bandar - Poverty and Urban Poverty

From: confluence-divergence.blogspot.com
[Source: Blogger's personal research, 2006]

KONSEP KEMISKINAN

Kita tidak akan dapat mengatasi masalah kemiskinan jika kita tidak mengetahui konsep kemiskinan, mengenalpasti siapa yang miskin dan mengetahui punca kemiskinan. Ukuran kemiskinan adalah merupakan satu perkara yang subjektif dan tidak lari dari pertimbangan nilai. Tidak ada satu pun definasi kemiskinan yang boleh dikatakan neutral (Abu Sufian: 1998)

Kemiskinan sebenarnya adalah satu konsep yang sukar ditakrif dan diukur. Ada satu pendapat, bahawa kemiskinan itu wujud hanya dalam fikiran; maksudnya seseorang itu adalah miskin apabila ia merasakan atau memkirkan dirinya miskin. Ini tentu terlalu subjektif dan boleh menafikan keadaan sebenar di dalam masyarakat di mana wujud orang yang berharta serta hidup senang lenang berbanding dengan orang lain yang tidak ada apa-apa dan hidup dalam kesempitan. Oleh sebab wujudnya keadaan berbeza dalam masyarakat ini maka ada pula pendapat yang menyatakan bahawa kemiskinan bererti satu keaddaan kekurangan (Husin Ali : 1983).

Yang dimaksudkan dengan kekurangan di sini adalag kekurangan daripada mendapatkan beberapa keperluan hidup. Menurut Dr. Syed Husin Ali terdapat dua keperluan hidup bagi manusia moden iaitu keperluan asasi (iaitu makanan, tempat tinggal dan pakaian) serta keperluan sosial (seperti pendidikan, perubatan, bekalan api dan air serta kenderaan). Sesetengah orang mampu mendapatkan segala keperluan ini dengan memuaskan, manakala tidak bagi segelintir pihak. Mereka yang tidak mampu atau tidak berkebolehan mandapatkan seluruh keperluan itu adalah dianggap miskin. Kemiskinan mereka tidak seberapa teruk jika mereka mampu mendapatkan keperluan asasi dan hanya tidak mampu untuk mendapatkan keperluan sosial. Keadaan miskin kronik adalah apabila mereka tidak mampu untukmendapatkan keperluan asasi. Kemampuan untuk memenuhi keperluan hidup samaada keperluan asasi atau sosial biasanya diukur dengan pendapatan.

Kemiskinan juga dilihat sebagai adalah satu masalah pelbagai dimensi. Takrifan yang biasa digunakan ialah kemiskinan sebagai satu masalah sosioekonomi. Ukuran yang biasa digunakan ialah pendapatan yang rendah, mengakibatkan kesusahan, ketidakmampuan seseorang memenuhi keperluan hidup.

Secara mudah, Bank Dunia mendefinasikan kemiskinan sebagai peminggiran dari kesempurnaan hidup. Menurut badan dunia tersebut, kemiskinan, secara tradisinya diertikan sebagai peminggiran material yang berkait rapat dengan kekurangan pendapatan dan kekurangan penggunaan (low consumption) dimana kedua-dua faktor ini selari dengan kekurangan zat makanan dan keadaan hidup yang daif. Bank Dunia berpendapat bahawa definasi kemiskinan yanh lebih tepat dan diterima ramai adalah kemiskinan yang berkait dengan kemiskinan kemanusian yang difaktori oleh tahap kesihatan dan pendidikan yang rendah. Bagi Bank Dunia, tahap kesihatan dan pendidikan yang rendah merupakan faktor dan juga akibat daripada kemiskinan.

Altimir (1982), merumuskan bahawa konsep kemiskinan yang bersifat normatif itu membuatkannya amat bergantung kepada sistem nilai dan tujuan politik yang digunakan ketika meneliti masalah kemiskinan. Secara umumnua konsep kemiskinan boleh dibahagikan kepada dua iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif.

Definasi secara umum tentang kemiskinan dapat dilihat daripada definasi klasik yang dibuat oleh Booth (disebut dalam Holman, 1978: 3) yang mengatakan bahawa;

‘miskin boleh dihuraikan sebagi seseorang yang hidup dalam keadaan yang sudah untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup yang mencukupi’.

Sementara itu Rowntree (disebut dalam Holman, 1978:5) yang mengkaji masalah kemiskinan di York, London mendefinasikan kemiskinan sebagai “ketidak cukupan memenuhi keperluan asas di peringkat secukup hidup untuk mempertahankan kecekapan fizikal”.

Kemiskinan juga dilihat dari sudut biologi, iaitu keperluan asas yang mencukupi untuk meneruskan hidup dan ini dilihat dari segi pendapatan seseorang. Sekiranya seseorang itu tidak memperolehi pendapatan yang dapat memenuhi keperluan asas yang utama, atau tidak dapat makanan yang mempunyai zat yang diperlukan untuk kesihatan badan dan tidak dapat memenuhi dan mengekalkan kecekapan fizikal maka ia dianggap miskin (Ungku Aziz, 1964)

Sementara itu Ishak Shaari (1996:3) pula medefinasikan kemiskinan sebagai:

“satu keadaan apabila sesebah isirumah tidak memperoleh pendapatan yang cukup bagi menampung sejumlah perbelanjaan untuk keperluan asas yang minimum seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan asas bukan makanan…”

Kemiskinan mutlak adalah merupakan satu konsep yang menggunakan ukuran piwaian bagi membuat perbandingan tentang keperluan asasi manusia. Pendekatan yang biasa digunakan ialah dari segi pemakanan atau pendekatan biologi yang menjelaskan hubungan antara keperluan minimum bagi mengekalkan kecekapan fizikal atau bagi memenuhi keperluan asas manusia.

Kamal Salih (1983) pula mendefinasikan kemiskinan sebagai:
(a) golongan yang tidak mempunyai keupayaan pendapatan.
(b) golongan yang tidak mempunyai kesampaian kepada sumber-sumber kuasa sosial seperti kuasa bersuara, kuasa politik, pemilikan punca-punca pengeluaran, pendidikan dan sebagainya.
(c) golongan yang todak menikmati keperluan asas seperti perlindungan, perumakahan, pendidikan asas, kesihatan, peerjaan dan sebagainya yang mencukupi mengikut ukuran secukup hidup sesebuah masyarakat.

Konsep keperluan asasi haruslah haruslah mengandungi dua unsur penting; pertama. Keperluan minimum isirumah yang biasanya diperolehi melalui perbelanjaan penggunaan seperti makanan, pakaian dan keperluan rumahtangga yang lain, dan kedua, perkhidmatan penting seperti bekalan air, elektrik, pengangkutan awam, kesihatan, pendidikan dan lain-lain.

Kemiskinan mutlak di Malaysia diukur dengan menggunakan perbandingan antara pendapatan kumpulan isirumah dengan satu tahap yang dipanggil pendapatan garis kemiskinan (PGK). PGK ini ditentukan berasaskan kepada taraf hidup penduduk negara ini. PGK merupakan satu jumlah pendapatan minimum untk membolehkan sesebuah isirumah, secara purata, menampung keperluan makanan, pakaianan dan perbelanjaan asas seperti sewa, bahan api dan tenaga, pengangkutan dan perhubungan , kesihatan dan rekreasi. Sementara darjah kemiskinan pula dibahagikan berdasarkantingkat pendapatan yang diterima dengan PGK. Pendapatam di bawah dari PGK dikatana sebagai miskin sementara individu yang menerima pendapatan kurang separuh dari PGK dikatakan sebagai termiskin atau miskin tegar.

Konsep kemiskinan relatif pula mempunyai hubungkait dengan ketaksamaan dalam agihan pendapatan dimana penilaian terhadap kebajikan seseorang adalah juga bergantung kepada kebajikan oranglain yang dijadikan sebagai perbandingan.

Kedua-dua konsep kemiskinan ini mempunyai implikasi politik yang tersendiri. Kemiskinan mutlak mempunyai hubungan dengan konsep keperluan asasi, manakala kemiskinan relatif mempunyai hubungan dengan agihan penapatan. Dengan kata lain, konsep kemiskinan relatif mempunyai kebaikan dari segi rujukan terhadap ketaksamaan ekonomi dan sosial dalam masyarakat (Abu Sufian: 1998).

EVOLUSI KAJIAN KEMISKINAN – DARI RELATIF KE MUTLAK DI MALAYSIA

Pada zaman penjajah Inggeris, kemiskinan tidak ketara kerana tidak ada usaha langsung dari pihak penjajah untuk mengetahui atau mengambil berat terhadap kebajikan rakyat (Abu Asmara : 1983).

Walau bagaimanapun, dalam usaha-usaha mereka mencari maklumat mengani tanah, adat istiadat bangsa Melayu dan seumpamanya dengan tujuan memetas kekayaaan negeri untuk kepentingan negara asal mereka , England, maka dengan tidak secara langsung menunjukkan bahawa kemiskinan wujud pada masa itu (Maxwell : 1954 ; Mils : 1953).

Pentadbir-pentadbir Inggeris seperti Firth, Parkinson dan Swift memutuskan bahawa kemiskinan bangsa Melayu adalah disebabkan oleh sikap malas, kepercayaan kolot, pegangan kepada Agama Islam, sistem kekeluargaan dan sikap berserah kepada nasib (Parkinson; 1967; Firfth : 1966).

Kesimpulan ‘ethnocentric’ tersebut yang dibuat tanpa pengajian teliti kebih-lebih lagi kaedah saintifik merupakan pandangan yang tidak berbeza daripada kacamata seorang luar yang mempunyai tujuan-tujuan tertentu (Abu Asmara : 1983). Kesimpulan diatas, terutamnay oleh Parkinson telah dikecam hebat oleh pakar-pakar ekonomi kemudiannya termasuklah Professor Ungku Aziz (Ungku Aziz : 1965; Wilder : 1968). Umpamanya Ungku Aziz menganggap pandangan sterotaip tersebut sebagai mitos dan alasan bagi kegagalan penjajah membawa pembangunan di Tanah Melayu.

Ramai cerdik pandai di negara kita bersetuju bahawa Bapak Kemiskinan Malaysia ialah ZA’BA atau Zainal Abidin bin Mohamed keranabeliau merupakan diantara orang yang pertama yang berani menulis mengenai kemiskinan Bangsa Melayu. Ini telah dikeluarkan dalam Malay Mail pada tahun 1923. Menurut Za’aba, kemiskinan dikalangan bangsa Melayu di zaman penjajah adalah disebabkan oleh dua faktor iaitu kemiskinan kebendaan dan kemiskian kerohanian. Faktor utama yang menyebabkan kemiskinan kebendaan ialah kurangnya peluang pekerjaan (Ungku Aziz : 1975).


Lima puluh tahun kemudian, Ungku Aziz telah mengkaji kemiskinan bangsa Melayu secara teliti dan saintifik dan membuat kesimpulan bahawa kemiskinan itu adalah suatu fenomena luar bandar. Kemiskinan bererti pendapatan rendah dan jurang perbezaan pendapatan yang tinggi di dalam taburan pendapatan penduduk luar bandar seperti: jurang perbezaan pendapatan diantara pekebun kecil getah, petani, nelayan dengan kaum pemodal atau kapitalis seperti orang tengah, tuan tanah, pekedai, pembeli getah, pemborong dan seumpamanya.

Menurut Ungku Aziz, terdapat tiga faktor yang menyebabkan kemiskinan iaitu: 1) daya pengeluaran yang rendah, 2) pemerasan dan 3) keabaian (Ungku Aziz : 1975). Akibat daripada kemiskinan adalah terikat dengan hutang, pemecahan tanah dan kekurangan makanan baik dari segi kandungan mahu pun dari segi kuantiti makanan.

Berikutan daripadanya ahli-ahli ekonomi dan pelajar-pelajar yang mempelajari tentang kemiskinan telah menggunakan teori Ungku Aziz didalam kajian-kajian dan penganalisaan mereka. Diantaranya termasuklah L.L. Lean, L.L.H Lee, S. Anand dan lain-lainya walaupun pengkhususan mereka lebih kepada taburan pendapatan penduduk di Malaysia (Lean : 1971; Lee : 1977; Anand : 1978).

Oleh itu, jelas bahawa definisi kemiskina yang diutarakan oleh Ungku Aziz dan pengikutnya adalah dari segi dudut relatif. Ini mungkin menimbulkan kesusahan bagi kerajaan mempraktiskan konsep kemiskinan Ungku Aziz didalam usaha mereka menggubal dasar-dasar pembangunan negara (Abu Asmara : 1983).

Faktor pertama ialah kemiskian sentiasa wujud danini membawa implikasi bahawa projek pembasmian kemiskinan tidak membawa kesan, Keduanya adalah kesusahan untuk mengukur darjah kemiskinan dari segi bilangan, peratus dan seumpamanya. Seterusnya kemiskinan di negara-negara membangun leboh merupakan masalah kebuluran, kekurangan zat makanan dan kuantiti makanan daripada masalah perbandingan dianatara satu keluargan dengan keluarga yang lain (Abu Asmara : 1983).

Maka sebagai alternatif, sudut mutlak atau ‘absolute’ lebioh berkesan dar segi dasar dan keutamaan rancangan pembangunan.

Bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), pengukuran kemiskinan di Malaysia adalah berasakan konsep kemiskinan mutlak (absolute poverty). Pengukuran ini merupakan satu peringkat perbelajaran minimum yang dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). PGK adalah paras pendapatan bulanan bagi memenuhi keperluan asas sesebuah keluarga. Ia mengandungi tiga komponen utama iaitu:-
a). Makanan;
b). Pakaian dan alas kaki; dan
c). bukan-makanan seperti sewa, bahan api dan tenaga, pengangkutan dan perhubungan, kesihatan, pendidikan dan rekreasi.

Paras PGK ini dikemaskini setiap tahun berdasarkan Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index – CPI) bagi mengambilkira perubahan harga. Petunjuk PGK bagi tahun 2002 untuk sesebuah keluarga di Semenanjung Malaysia adalah RM529 sebulan, Sabah RM690 sebulan dan Sarawak RM600 sebulan. Tidak ada PGK berasingan ditetapkan bagi kawasan bandar dan luar bandar.


KEMISKINAN BANDAR

Kemiskinan bandar boleh dilihat sebagai fenomena yang melibatkan pelbagai dimensi dan tidak hanya dari sudut pendapatan atau kewangan (Bank Dunia), dan melibatkan:

(i) Kurang akses untuk mendapatkan pinjaman bagi menjalankan aktiviti ekonomi
(ii) Kurang peluang pekerjaan dan kesukaran mendapat kerja dan pendapatan tetap
(iii) Tahap pendidikan dan kesihatan yang rendah
(iv) Tidak mampu memiliki/membeli rumah
(v) Kemudahan untuk rekreasi dan hidup bermasyarakat yang rendah
(vi) Keadaan persekitaran hidup yang tidak sihat dan kualiti kemudahan asas/awam yang rendah

Salah satu faktor penyebab adalah peningkatan wanita sebagai ketua rumah, [single parent] dan ini telah ditunjukkan di dalam RMK8 di mana berlakunya peningkatan wanita sebagai ketua-rumah sebanyak 16.9%. Yayayan Strategik Sosial telah membuat satu kajian dalam tahun 2000 mengenai setinggan ke atas 3,844 keluarga di Kuala Lumpur dan telah mendapati bahawa seramai 530 keluarga atau 13.8% daripada sampel kajian adalah keluarga yang diketuai oleh wanita.

Pembentukan kemiskinan bandar di Malaysia, sepertimana di kebanyakan negera-negara dunia ke Tiga, berkemungkinan ada kaitan dengan penjajahan koloni sejak abad ke enam belas. Bentuk dan fungsi pembangunan bandar serta isu-isu yang berkaitan seperti kemiskinan, ketidak seimbangan dan penganguran boleh di lihat sebagai akibat daripada sejarah proses pengintegrasian kepada sistem kapitalis dunia (Yusof : 1989).

Beberapa kajian yang dijalankan di peringkat pusat bandar dalam tahun-tahun 90an mendapati bahawa punca kemiskinan adalah disebabkan pelbagai faktor. Faktor-faktor termasuk taraf pendidikan dan tahap kemahiran yang rendah, saiz isi rumah yang besar, kekurangan peluang-peluang pekerjaan dan pendapatan yang rendah serta kekurangan akses kepada kemudahan-kemudahan asas. Ini bererti bahawa beberapa program perlu dilaksanakan secara bersepadu bagi menangani masalah kemiskinan di bandar secara berkesan (KPLB : 2005).

Jamilah Ariffin (2002) telah memberikan ciri-ciri golongan miskin bandar seperti berikut: -
(a) Golongan miskin bandar terpaksa membeli hampir kesemua keperluan makanan dan keperluan asasinya yang lain dan oleh sebab itu amat terdedah dan rapuh dengan impak pembuangan kerja dan penganguran
(b) Hidup dalam komuniti yang sesak serta kekurangan sistem kumbahan yang teratur dan mencukupi mengakibatkan mudah dan cepatnya penyebaran wabak penyakit
(c) Pemilikan tempat kediaman dan berteduh amatlah kritikal dan penting bagi golongan miskin bandar. Namun akibat daripada kesempitan hidup, jurang pendapatan yang tinggi, kos tanah dan rumah yang melambung naik ; mereka langsung tidak mampu memiliki rumah sendiri
(d) Akibat daripada peningkatan harga barang pengguna serta pendapatan yang rendah, golongan miskin bandar terpaksa memilih barangan makanan yang murah yang mana kebanyakannya mengandungi kadar lemak dan karbohidra yang tinggi. Di samping itu, akibat daripada lamanya masa yang terpaksa di lalui semasa pergi dan pulang dari temat kerja , golongan miskin bandar juga kera[ bergantung kepada diet makanan segera dan kurang berkhasiatt berbanding golongan miskin desa yang boleh mencari alternatif makanan kampaung yang berkhasiat. Akibat dari semua ini, keluarga golongan miskin bandar dilihat sebagi rapuh kepada penyakit
(e) Kesempitan hidup dan kurangnya peluang telah membuatkan ketidakseragaman susun atur sosial dan penyakit sosial masyarakat

Menurut Unit Perancang Ekonomi Malaysia, kemiskinan bandar di Malaysia bolehlah digolongankan sebagai mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan (menganggur) dan mereka yang terlibat di dalam sektor tradisi bandar yang kurang produktif seperti peniaga kecil-kecilan, pemilik gerai, pembantu rumah serta aktiviti-aktiviti ekonomi lain yang tidak memerlukan skil dan latihan yang tinggi (HALIPAH : 2002).

Manakala, berdasarkan kepada kajian yang telah dijalankan oleh Fong Chan Onn di empat kawasan bandar yang meliputi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Johor Bharu, beberapa ciri-ciri golongan miskin bandar telah ditemui seperti berikut (Chan : 1984): -
v Tahap pendidikan yang rendah;
v Ketiadaan peluang pekerjaan;
v Saiz keluargan yang besar; dan
v Teringgir dari kemudahan dan fasiliti awam / sosial.

Kamal Sallih pula, berdasarkan kajian kemiskinan bandar di Kuala Lumpur, (Kamal Sallih : 1979) mengkategorikan golongan miskin bandar sebagai mereka yang: -

v Bekerja sendiri di sektor perkhdmatan (seperti pemilik gerai, pembaik kasut, penjaga kereta);
v Pekerja-Tidak-Mahir di sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan;
v Migran baru yang membuat kerja-kerja kasual;
v Pekerja mahir yang berkerja sendiri (seperti penggunting rambut, tukang kayu);
v Berumur atau kurang upaya (seeprti cacat) dna tidak berada di dalam aktiviti pekerjaan; dan
v Golongan jalanan (seperti peminta sedekah).

Golongan seperti yang disebutkan di atas kebiasaanya menetap di kawasan yang berpendapatan rendah dan pinggiran bandar seperti kawasan setinggan, kampung baru serta kawasan Rizab Melayu (Ahmad Jaafar et al : 1979). Namun, berdasarkan kepada kajian Osman Rani dan Abdul Majid Salleh, insiden kemiskinan melayu di kawasan Rizab Melayu agak rendah berbanding dengan insiden kemiskinan bagi seluruh kawasan setinggan di Kuala Lumpur (Osman Rani dan Abdul Majid Salleh : 1989). Sungguhpun begitu, Osman Rani menegaskan bahawa golongan ini masih lagi kekurangan dari segi pendidikan, harta serta kemudahan awam.

Kajian kemiskinan bandar di Malaysia pada awalnya lebih merujuk kepada bandar Kuala Lumpur dari segi geografi dan bangsa Melayu dari segi etnik. Manakala kajian kemiskinan bandar di Kuala Lumpur pula lebih merujuk kepada masalah setinggan (Lim : 1976, Chan : 1977, Ishak Shaari : 1977 dan Pirie : 1979) serta masalah perumahan (Wegelin : 1975, Toh : 1977, Sen : 1979,).

Berdasarkan kajian yang di lakukan oleh Abdul Halim Ali dan Ishak Shaari, mengenai Insiden Kemiskinan Bandar dan Luar Bandar, dari tahun 1970 ke 1987 (Abd Halim & Ishak Shaari : 1989), mereka mandapati pertambahan peratusan isi rumah miskin yang menetap di kawasan bandar di Semenanjung Malaysia daripada 10.8 peratus dalam tahun 1970 ke 17.0 peratus pada tahun 1987. Ini menunjukkan peningkatan isi rumah miskian di Malaysian dan akan menjadi masalah sosial dan eknomi yang serius terutama apabila pemfokusan polisi negara lebih menjurus kepada pembangunan sektor industri.

Penemuan yang sama telah di buat oleh Zainal Aznam apabila beliau mengenengahkan peralihan konsentrasi penempatan golongan miskin di Semenjuang Malaysia sejak tahun 1970-an di mana, di samping peningkatan kepadatan penduduk di negeri-negeri miskin iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu talah meningkat daripada 42.3 peratus pada tahun 1976 kepada 44.0 peratus dalam tahun 1987, kepadatan penduduk di neger-negeri yang mempunyai pembandaran tinggi seperti Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan juga meningkat dari 14.3 peratus dalam tahun 1976 ke 16.7 peratus pada tahun 1987 (Zainal Aznam : 1989).

Salah satu isu di dalam kemiskinan bandar di Malaysia ialah peningkatan Wanita sebagai ketua isi rumah miskin. Berdasarkan statistik National Information Technology Council of Malaysia, pada tahun 2000 sahaja terdapat 895,000 ribu orang wanita yang menjadi penyara ekonomi keluarga. Jumlah ini merupakan satu peningkatan yang tinggi jika dibandingkan dengan satu kajian lain pada tahun 1994 yang menunjukkan jumklah 650,000 orang wanita.

Jamilah Ariffin (2002) telah mengenengahkan ketidakseimbangan kajian di dalam peranan wanita dan ekonomi serta kemiskinan di Malaysia. Disamping berkongsi kekecewaan beliau terhadap kurangnya penekanan terhadapperanan wanita, Jamilah juga telah mengenengahkan bahawa, setelah sekian lama, isu ini hanya ditimbulkan di dalam RMK 8.
Menurut Jamilah Ariffin (2002), isi rumah miskin serta diketuai oleh wanita adalah dikategorikan sebagai antara golongan yang termiskin kerana: -

(a) Lazimnya, sekalipun wanita adalah penjana utama pendapatan ekonomi kelaurga, mereka mandapat pulangan yang kurang daripada ketua keluarga lelaki. Majikan, terutama sekali di sektor swasta, selalunya menganggap wanita, sekalipun mereka adalah ketua keluarga, sebagai pencari pendapatan sampingan keluarga dan bukannya pencari pendapatan utama keluarga. Ini sering kali berla di sektor kolar biru dan perkhidmatan
(b) Mereka tidak mampu untuk mengembeleng tenaga dan masa untuk peranan mereka sebagai pencari nafkah utama keluarga sekalipun tenaga danmasa itu amat perlu untuk membolehkan mereka menjejaki tangga perjawatan pekerjaan mereka. Ini kerana mereka terpaksa memikul beban lain untuk menjaga kebajikan dan pendidikan anak-anak, makan dan minum serta pakaian serta kebersihan anak-anak dan kelaurga, menjaga hal ehwal rumah, menjaga hal ehwal kebajikan dan keperluan perubatan ahli kelaurga yang sakit. Bagi mereka yang bercerai, mereka juga harus melalui dogma perasaan dan tekanan emosi yang mengganggu.
(c) Bagi mereka yang sebelum ini menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, kemasukan semula ke dalam sektor pekerjaan adalah suatu cabaran yang besar di sebabkan kekurangan kemahiran dan sumber produktif yang membolehkan mereka bersaing dengan lelaki mahupun wanita lain.

Manakala Yayasan Strategik Sosial (Jasmine Adaickalam : 2002), telah merumuskan beberapa isu berdasarkan kajian mikro yang telah mereka jalankan seperti berikut: -

(a) Pengukuran kemiskinan yang digunapakai sekarangtidak praktikal apabila di sampelkan ke atas gologan bandar yang menghadapi kos hidup yang tinggi berbanding mereka yang tinggal di desa.
(b) Kemiskinan tidak boleh di lihat dan di atasi sebagi isu terpencil. Ia harus mengambil kira dimensi ekonomi, emosi, psikologi, budaya, pendidikan, serta motovasi.
(c) Program pembasmian kemiskinan terhadap golongan wanita haruslah bersifat holistik dan mencakupi dimensi komuniti dan keluarga untuk memantapkan tanggungjawab sosial
(d) Masalah sosial seperti ketagihan alkohol, keganasan domestik serta samseng adalah manifestasi kemiskinan.

No comments: