Sunday, October 31, 2021

 

DSAI membuat kejutan menceritakan secara terus terang

 

Bagi saya hari ini DSAI telah membuat kejutan. Perkara-perkara yang diandaikan sebelum ini dinyatakan secara  terus terang. Jadi sudah terang lagi bersuluh.

Sudah tentu apa yang di dedah itu, menjadi modal politik parti musuh politik beliau.

 Kejutan yang dibuat DSAI mendapat balasan daripada Ketua Penerangan UMNO dan mantan perdana menteri.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan merasakan beliau sudah mempunyai hujah untuk menangkis serangan yang menyalahkan UMNO yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka jatuh.

Persoalan yang ditimbulkan beliau ialah tindakan PH bertemu empat orang wakil rakyat yang bertindak menarik sokongan  dan meraikan mereka sebagai ‘panglima’.

Sudah tentu tindakan PH berjumpa dengan empat orang ini tidak menjadi masalah. Tapi apa ertinya merujuk mereka sebagai ‘panglima’

Selaras dengan pengakuan Anwar itu, UMNO tidak boleh lagi dipersalahkan sebagai pencetus krisis politik di Melaka.

 Jadi, jangan salahkan UMNO lagi.

 "Hari ini kita telah dapat jawapan PH terbuka menjalin kerjasama dalam PRN Melaka. Kita tunggu apakah ini bermaksud kelak rakyat akan diminta pilih tiga individu ini atas tiket PH. Jika tidak sekalipun, nampaknya PH menghargai 'jasa' dan menganggap mereka sebagai aset.

 Beliau berkata walaupun parti mereka mempunyai kelemahan, namun PH tidak perlu berlagak suci.

Sementara itu, bekas perdana menteri, Najib Razak berkata pengesahan Anwar bahawa dia ada bertemu empat Adun yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka mengesahkan komplot dicetuskan oleh mereka.

 Selaras dengan pengakuan Anwar itu, UMNO tidak boleh dipersalahkan sebagai pencetus krisis politik di Melaka.

 “Jangan salahkan UMNO lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

DSAI secara berterus terang semasa bercakap kepada pemberita di Port Dickson berkata, ketiga-ketiga mereka tidak terlibat dengan ‘Langkah Sheraton” yang bertujuan untuk menumbangkan kerajaan PH tahun lalu.

Sebaliknya, mereka kini mahu mengembalikan mandat yang diberikan pengundi  kepada PH. Jadi DSAI tidak bersetuju mereka ini dilonggokkan sebagai satu kumpulan sama dengan Langkah Sheraton yang mengkhianati amanah rakyat. Mereka hendak kembalikan kepada Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Idris, Nor Azman dan Effendi telah bertemu dengan pemimpin PH Melaka sebelum menarik balik sokongan kepada Sulaiman. Berdasarkan persefahaman ketika itu, ketiga-tiga mereka akan menyokong PH di Melaka untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku apabila Sulaiman berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN sebelum kerajaan baru dibentuk.

"Jadi sekarang kita ada masalah untuk menolak (mereka) begitu saja seperti diharapkan oleh sesetengah dalam media sosial. Itu tidak tepat soalnya dia sokong untuk kembalikan mandat kita.

"Kedua, persefahaman mereka adalah untuk mereka bersama. Dia dah jangka dia akan dipecat oleh partinya.

"Oleh demikian kita nak ketepikan begitu saja tak boleh. Saya kena bincang dengan pimpinan di Melaka, kemudian juga pimpinan PH, untuk mengambil kira hal-hal ini sebelum kita buat keputusan," kata Anwar.

Tiga Adun yang dimaksudkan adalah Idris Haron (Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor). dan Noor Effandi Ahmad (Teluk Mas).

Munkin bagi DSAI mereka layak digelar "panglima" kerana mereka berusaha mengembalikan balik mandat kepada rakyat, iaitu mengembalikan balik kerajaan Melaka ke pangkuan PH., 

 


Saturday, October 30, 2021

 


BN masih Terbuka dengan Pakatan nasional

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah berlepas ke Jerman malam ini  untuk mendapatkan rawatan masalah slip disc yang dialaminya. Jadi dari segi hiraki, UMNO sekarang ini berada di dalam tangan Timbalan Presiden UMNO Tok Mat atau Pengerusi Lembaga Penasihat BN iaitu Datuk Seri Najib selama Zahid Hamidi bercuti.

Walaupun Zahid Hamidi berulang kali menyatakan mahu Barisan Nasioanl bertanding solo, namun baru-baru ini telah menyatakan kesediaan untuk berkerjasama dengan PAS.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan Majlis Tertinggi parti telah memberi mandat kepada beliau untuk mengelak pertembungan antara parti-parti dalam kerajaan pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan datang. Beliau akan berbincang dan berunding dengan parti kerajaan bagi tujuan itu. 

Beliau berkata, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN itu, sudah pasti ada pihak lain yang akan mendapat keuntungan atau faedah daripadanya.
Dengan kata lain, UMNO masih lagi membuka pintu untuk berbincang dengan Perikatan Nasional supaya pertandingan tiga penjuru tidak berlaku. 
Bagi Pengerusi Perikatan Nasional terpulanglah kepada PAS  Mengenai keputusan yang bakal diambil PAS berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO, Muhyiddin menegaskan, PN berharap PAS akan membuat keputusan secara bijaksana.


Friday, October 29, 2021

 

Pembahagian kerusi Pakatan Harapan

Datuk Seri Anwar telah sahkan bahawa pembahagian kerusi antara komponen parti dalam Pakatan Harapan - PH sudah dimuktamadkan. Dengan ketiadaan Bersatu yang sebelum ini menjadi komponen Pakatan Harapan semasa PRU-14 dulu, semua parti komponen Pakatan Harapan ini mendapat ghanimah tambahan kerusi-kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada Bersatu.

Menurut penganalisa politik Dr. Azmi Hassan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Melaka lebih mudah diselesaikan kerana mereka mempunyai lebihan enam kerusi yang ditandingi oleh BERSATU sebelum ini. Jadi bukan masalah besar kerana "perebutan" hanya terhad kepada kerusi Dewan Undangan Negeri berkenaan.

Dalam pembahagian kerusi tersebut, Pakatan Harapan memberi kepada DAP lapan buah kerusi, PKR 11 dan Amanah sembilan buah kerusi untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Ngeri Melaka yang akan diadakan pada November depan.

Pada PRU-14 lalu, DAP bertanding dan memenangi semua kerusi yang ditandinginya di DUN Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban. Jadi bagi DAP tiada kerusi tambahan yang diperolehi walaupun pernah menyuarakan kepada media untuk diberi.

Azmi berkata, permintaan parti komponen PH untuk menambah kerusi adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik walaupun mereka tahu ia mungkin tidak berjaya.

Datuk Seri Anwar juga menyatakan Pakatan Harapan memutuskan untuk menyertai pilihan raya negeri di Melaka pada bulan depan dengan menggunakan lambang gabungan tersebut iaitu logo Harapan. Bagi Liew Chin Tong orang kuat DAP, pengundi akan melihatnya sebagai satu pasukan yang bersatu padu, berkesinambungan, dan meyakinkan sehingga PRU akan datang.

Pada PRU-14 lalu, PH bertanding 28 buah kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka (DAP lapan, BERSATU enam, PKR lapan, AMANAH enam ) dan memenangi 15 buah kerusi (DAP lapan, BERSATU dua, PKR tiga dan AMANAH dua) . BN bertanding 28 kerusi (UMNO bertanding 18 kerusi, MIC satu dan MCA Sembilan buah kerusi)  dan  Barisan Nasional memenangi 13 buah kerusi (Umno 13), Pas bertanding 24 buah kerusi dan kalah semua.

Bagaimanapun sebelum kerajaan Melaka dibubarkan, Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas, manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). Bermakna dalam proses lompat melompat, sokong menyokong Pakatan Harapan telah kehilangan 4 buah kerusi yang dimenangi mereka dalam PRU ke 14 lepas  iaitu satu kerusi daripada PKR, dua kerusi daripada BERSATU dan Satu kerusi daripada DAP.

PAS tidak memenangi apa-apa kerusi pun pada PRU -14 lalu. Tetapi perlu diingat PAS dapat secara agregat 10.78 % undi. jika di lihat pada data ini PAS mempunyai lebih kurang 10 peratus penyokong tegar mereka di Melaka yang boleh digunakan untuk menyokong mana-mana calon.


Thursday, October 28, 2021

Antara keyakinan jika tersalah urus Maut - PRN Melaka 

Barisan Nasional - BN melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri Melaka semalam (27/10/21).  Hampir 5,000 orang dikatakan hadir. Hasilnya pada keesokan harinya Pejabat Kesihatan Kepong mengenakan kompaun RM 10,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika melancarkan jentera bagi Pilihan Raya Negeri Melaka.

Sebelum itu orang ramai yang mengikuti pelancaran itu secara atas talian, ramai yang tidak puas hati kerana ada pelanggaran terhadap SOP. Adakah jumlah kompaun yang dikenakan itu  akan memberi peringatan dan tidak akan berulang lagi kesalahan yang sama. Sebelum itu, Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan dengan Pilihan raya Melaka termasuk pelancaran jentera bermula 24 Oktober sehingga 27 November depan. 

Yang Jelas Barisan Nasional telah memukul "gendang perang." Mereka akan mengerah seluruh pelusuk Malaysia tenaga-tenaga bagi membantu Pilihan Raya Negeri Melaka ini.  Berdasarkan pengalaman kejayaan Pilihan Kecil yang diadakan sebelum ini dan Pilihan Raya Negeri Sabah, Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional menyatakan keyakinan beliau bahawa satu perubahan luar biasa akan berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Melaka ini.

Keyakinan Zahid ini berasaskan keyakinan bahawa menurut kaji selidik yang dilakukan oleh pihaknya, rata-rata responden menyebut bahawa berlaku penyesalan apabila membuat penolakan calon BN pada PRU-14.  Justeru beliau yakin trend di Melaka pada PRU-14 akan berubah dan akan kembali menyokong Barisan Nasional demi kestabilan politik dan keharmonian negeri berkenaan.

Zahid juga berkata Barisan Nasional akan melakukan perubahan besar dengan meletakan calon-calon baru dan muda pada Pilihan Raya Melaka bulan depan. Calon mesti ada sifat wali iaitu winnable (menang), acceptance (diterima) dan likeable(disukai).

Beliau menjelaskan sifat wali yang beliau maksudkan ialah seorang yang mempunyai ilmu yang boleh diterima oleh semua agama, kaum dan keturunan di Melaka.

Dalam ucapan dalam majlis yang sama, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan juga Timbalan Presiden UMNO mensifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah cermin bagi PRU-15 nanti, ianya adalah ukuran prestasi yang bertembung antara 'ajal dan maut' jika tidak diurus dengan baik maut menanti.

"PRN Melaka amat penting kepada parti kita, ia ukuran prestasi untuk hadapi PRU15, bertembung antara 'ajal dan maut'.

"Jika tidak betul urus, maut menanti," katanya ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka malam tadi.

Bukan nak tubuh kerajaan Melayu Islam'

Dalam pada itu, Mohamad berkata Melaka adalah kubu kuat Umno dan ramai mahu melihat parti itu kecundang dalam pilihan raya negeri itu.

"Orang nak lihat kita kecundang di Melaka, banyak orang nak kuburkan kita di Melaka.

"Kita lihat siapa yang nak ditalkinkan dan dikuburkan di Melaka," katanya lagi.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut mengajak rakan komponen BN supaya bergerak sebagai satu pasukan, sambil mengingatkan hasrat gabungan itu bukan untuk menubuhkan kerajaan 'Melayu dan Islam'.

"Kita bukan nak tubuh kerajaan Melayu, bukan kerajaan Islam, kita nak tubuh kerajaan BN yang berbilang bangsa," tambahnya.


Wednesday, October 27, 2021

 

Struktur  Hampir sama dan Gerakan mengalas tanggung jawab berat. 

Sekiranya kesefahaman pembahagian kerusi antara UMNO dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan diadakan menemui jalan buntu. Sekiranya segala usaha bagi mengikatkan UMNO dan Bersatu yang diusahakan oleh PAS masih lagi gagal. Jalan yang ada sesuatu yang tidak dapat dielakkan ialah pertandingan tiga penjuru.  Pertandingan itu akan melibatkan tiga gabungan atau pakatan iaitu Barisan Nasional - BN, Perikatan Nasional - PN dan Pakatan Harapan- PH.

Setakat 14 Mei 2020, hanya tinggal empat parti komponen dalam BN iaitu UMNO, Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bagi Pakatan Harapan gabungan itu mempunyai empat parti yang menganggotainya iatu PKR, Amanah, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Manakala  “Parti-parti komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia- Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP). 

Agak menarik struktur parti-parti yang menganggotai ketiga-tiga gabungan itu hampir sama. Mempunyai parti paksi yang selalu lebih mirip cenderungan kepada perjuangan Melayu dan parti-parti bukan Melayu yang lebih mengutamakan hasrat pengundi bukan Melayu. 

Misalnya Barisan Nasional - BN, parti paksinya ialah UMNO yang lebih cenderung memperjuangan nasib pengundi Melayu manakala MCA jelas parti orang China dan MIC parti orang India. Dijangka ketua panglima perangnya ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, mantan Perdana Menteri Keenam. Panglima yang terpaksa mengangkat bendera putih semasa PRU-14 dulu.

Pakatan Harapan - PH, paksi gabungan itu ialah PKR iaitu yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan kareer politik dalam UMNO pada tahun 1982. Walaupun merupakan parti multietnik tetapi kecenderungan kepada pengundi Melayu agak ketara. Dijangka akan bertanding  di kawasan pengundi orang Melayu majoriti.  DAP juga adalah parti multietnik di mana kecenderungan kepada etnik bukan Melayu adalah agak ketara. Oleh demikian DAP akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri di mana etnik China adalah majoriti.   

Bagi Perikatan Nasional - PN, Bersatu adalah paksi gabungan itu.  Gabungan ini akan diketuai oleh General, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah menjadi timbalan perdana menteri menerusi parti UMNO.  Bersatu dan PAS adalah parti berhaluan Melayu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri yang majoritinya pengundinya orang Melayu. Manakala Gerakan akan mengalas cabaran besar menghadapi DAP dan MCA/MIC di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri yang majoritinya orang China.

Ramai peramal meramalkan yang DAP tidak punyai banyak masalah untuk mengekalkan kesemua kawasan yang dimenanginya.  Pada PRU-14 dulu, DAP bertanding lapan kerusi dan memenangi kesemuanya. 

Di dalam pertarungan ini Gerakan diharapkan oleh Perikatan Nasional untuk memainkan peranan seperti MCA di dalam Barisan Nasional bagi memujuk etnik China mengundi Pakatan Nasional. Sekiranya dibenarnya oleh pengundi bukan Melayu, Gerakan seharusnya memainkan seperti peranan DAP memenangkan Pakatan Harapan dan justeru Gerakan harus membantu kemenangan Perikatan Nasional dengan memenangi dikerusi-kerusi yang bukan Melayu majoriti.  

Dalam pertandingan tiga penjuru ini UMNO akan berentap dengan Bersatu atau PAS dan juga  berentap dengan PKR atau Amanah bagi mendominasikan Dewan Undangan Negeri yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu. Makakala DAP yang mewakili Pakatan Harapan akan berdepan dengan MCA/MIC yang mewakili Barisan Nasional  dan juga bertarung dengan Gerakan bagi memenangi hati orang bukan Melayu di Pilihan Raya Negeri Melaka. 

  


Monday, October 25, 2021

Siapakah General di peringkat Pusat 

Semakin jelas Pilihanraya Negeri Melaka akan di adakah pada November ini kecuali mahkamah membuat keputusan sebaliknya. Begitu juga semangkin jelas tiga gabungan besar, Barisan Nasional - BN, Perikatan Nasional - PN dan Pakatan Harapan - PH munkin terpaksa berentap untuk mempamirkan sosok yang paling cucok untuk dipilih oleh rakyat Melaka nanti.

Namun, persoalan yang dimainkan ketika ini adakah UMNO, PAS dan Bersatu berada dalam satu gabungan atau tidak. Tuan Ibrahim Tuan Man memberi pengharapan dengan menyatakan perbincangan  mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara PAS, UMNO dan Bersatu Melaka masih diteruskan dan perlu diadakan muafakat dalam soal pembahagian kerusi bagi meminimakan petembungan sekiranya ia berlaku. 

Seperti pasukan bola sepak penting pemilihan pemain dibuat dalam konteks pilihanraya Melaka sangat penting parti-parti mengemukakan calon-calon yang berwibawa dan benar-benar berjiwa rakyat dan meletakan kepentingan rakyat yang paling utama.  Walaupun hasrat ini selalunya dikecewakan tapi hasrat mengunung ini sentiasa ada.

Satu hal yang penting juga  seperti dalam hal pasukan bola sepak ialah pemilihan Jurulatih. Pemilihan jurulatih akan menentukan sesuatu pasukan itu akan menang atau tidak. Begitu juga dalam pilihan raya Melaka ini siapakah yang akan melakar strategi bagi menawan hati rakyat sangat mustahak. Sebab itu mereka yang mendewakan Tun Mahathir  sentiasa mewarakan sosok Dr. Mahathir adalah sosok yang memberi kemenangan kepada PH semasa PRU 14 dulu. Walaupun perkara ini boleh dihujahkan.  

Seperti diduga siapakah yang akan mengetuai serangan dan akan berada di dalam bilik "War Room" di peringkat pusat, sudah pun diketahui. Siapakah pula pengarah "War Room" di peringkat negeri juga boleh dijangka. Manakala pengarah Dewan Undangan Negeri Melaka sukar sedikit untuk diteka pada peringkat ini.

Senario yang ada sekarang yang mengandaikan 3 gabungan tadi iatu BN, PN dan HP akan bertarung yang akan dimeriahkan mungkin dengan penyertaan  beberapa parti lagi dan anggota bebas. 

Adalah jelas sekarang bahawa Datuk Seri Najib sendiri akan mengetuai lakaran strategi UMNO dan BN setelah Datuk Seri Zahid akan berlepas ke Jerman bagi mendapatkan rawatan bagi sakit tulang belakang beliau. Permohonan meminta tarikh pelepasan dan pemulangan pasport ke Singapura telah dipohon  kelulusan  mahkamah dengan menyatakan bahawa beliau telah diamanahkan untuk memabantu jentera parti UMNO menghadapi Plihan Raya Negeri Melaka pada 20 November depan. 

Datuk Seri Najib adalah sosok yang mengetuai Barisan Nasional dalam Pilihan Raya ke 14 lalu menentang bekas ketuanya yang ketika itu mengetuai Pakatan Harapan. Hasilnya seperti yang diketahui pasukan beliau  tewas. Dengan bebekalkan pengalaman dikalahkan di peringkat Pusat atau Persekutuan, Datuk Najib akan mengetuai serangan Barisan Nasional   untuk menawan Melaka yang kalah kepada PH semasa Pilihan Raya Umum Ke 14 dulu. Saya percaya Datuk Seri Najib akan berusaha bersungguh-sungguh supaya nasib malang yang menimba kerajaan Persekutuan tidak menimpa kerajaan negeri Melaka nanti dalam Pilihan Raya Negeri kali ini. 

Di peringkat negeri Melaka kita nampak salah seorang daripada dua toko ini di beri peranan sebagai Leftenan General najib di peringkat negeri Melaka. dua tokoh itu ialah bekas Speaker Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof ataupun bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Husni Mohamad.

Menarik juga kali ini Datuk Seri Anwar Ibrahim secara automatik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan akan mengetuai di peringkat Pakatan Harapan Pusat sebagai penglima perang utama.   Manakalah di peringkat Negeri Melaka telah di warakan Adly Zahari bekas Ketua Menteri semasa pemerintahan Pakatan Harapan di Melaka akan menjadi Leftenan General Datuk Seri Anwar Ibrahim di Melaka. Tugas yang digalas  oleh Datuk Seri Anwar agak berat iaitu meneruskan kejayaan Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke 14 dulu. Kejayaan ini juga akan memberi sinar harapan yang cerah untuk Pakatan Harapan dapat menguasai Pilihan Raya Umum ke 15 nanti.

Bagi pihak Pakatan Nasional pengerusinya iaitu Tan Sri Muhyuddin Yassin secara automatik juga akan mengalas tanggung jawab  keseluruhannya. Manakalah kemungkinan besar, pengerusi Bersatu negeri Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.akan menjadi Leftenan Genaral Muhyuddin.

Satu yang menarik Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengetuai  "Team Wawasan" pada tahun 1993 yang dianggotai oleh Muhyiddin dan Najib dalam Pemilihan UMNO 1993. Datuk Seri Anwar menang sebagai Timbalan Presdien UMNO, Datuk Seri Najib dan Tan Seri Muhiddin menang sebagai naib presiden UMNO.  

Jadi antara mereka ketiga  ini cukup kenal kekuatan dan kelemahan strategi politik masing-masing. Rakyat Melaka akan memilih dan akan menobatkan salah seorang daripada mereka layak di gelar General yang menguasai Negeri Malaka.