Tuesday, September 15, 2009

Memperkasa agenda negara berbanding agenda bangsa

Memperkasa agenda negara berbanding agenda bangsa
from RIDHUAN TEE by RIDHUAN TEE
(Mingguan Malaysia, 13 September 2009)

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Seperti yang selalu saya sebut sebelum ini, setiap negara yang dijadikan Allah SWT adalah mengikut bangsa-bangsa tertentu. Nama sesuatu bangsa itu akan menerbitkan nama negara. Ringkasnya, nama negara berasal daripada nama bangsa. Misalnya, bangsa Melayu-Tanah Melayu, bangsa Siam-negara Siam, bangsa Cina-negara China, bangsa India-negara India dan lain-lain. Tidak ada negara yang terbentuk secara semulajadinya berbilang kaum atau bermasyarakat majmuk. Masyarakat majmuk hanya muncul apabila berlaku penghijrahan seperti yang berlaku dalam banyak negara, termasuk Tanah Melayu (Malaysia).

Fakta ini cuba dipertikaikan oleh segolongan tertentu, termasuk pengunjung yang memberikan komen dalam laman blog saya, mengenai asul-usul Melayu di bumi Melayu atau Alam Melayu. Mereka mengatakan orang Melayu bukanlah pribumi atau penduduk asal negara ini. Melayu juga kata mereka seperti kaum lain berhijrah dari tempat lain ke Alam Melayu. Persoalannya, dari manakah datangnya perkataan kepulauan Melayu dan Tanah Melayu jika tidak didiami oleh orang Melayu? Betul, orang asli adalah penduduk asli. Mana ada negara yang tidak bermula dengan orang asli? Buktikan.

Seperti yang kita sedia maklum, sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (Suntharalingam dan Abd Rahman Ismail, 1985).

Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini telah diperakui oleh pengkaji-pengkaji timur dan barat yang membuat kajian mengenai Alam Melayu. Tanah Melayu dan kepulauan Melayu adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Jika mahu tahu lebih lanjut, buatlah penyelidikan, jangan tulis tanpa fakta.

Kedatangan penjajah sebenarnya telah mengubah peta politik kepulauan Melayu. Kalau dahulu, hubungan antara China/India/ Arab dengan Alam Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara-negara kepulauan Melayu. Jelas di sini bahawa Allah SWT menjadikan sesuatu bangsa di tempat-tempat yang berkaitan dengan bangsa tersebut. Allah SWT juga mengurniakan setiap bangsa dengan identitinya yang tersendiri seperti bahasa, budaya dan cara hidup. Maka adalah sesuatu yang normal bila mana identiti atau bangsa majoriti, menguasai atau mendominasi bangsa minoriti, kerana ia berlaku di mana-mana.

Hujah ini untuk meyakinkan kita bahawa memartabatkan bangsa dan identiti tidak salah. Jika tidak, apa ertinya Allah SWT menciptakan sesuatu bangsa dengan perwatakan dan warna kulit yang berbeza-beza di kawasan masing-masing. Tentu ada hikmahnya. Bila berlaku pernghijrahan, mereka boleh saling mengenali dan bercampur antara satu sama lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13.

Pada hemat saya, berdasarkan ayat ini, sayangkan bangsa itu adalah sesuatu yang normal jika tidak keterlaluan. Ibnu Khaldun mengemukakan konsep asabiyah (ikatan sosial atau kesetiakawanan) yang bersifat positif. Ikatan ini memainkan peranan besar dalam menyatupadukan pelbagai kaum dan bangsa seterusnya membentuk kekuatan bagi membina peradaban. Dalam karangannya Al-Mukadimah, sayangkan bangsa atau asabiyah adalah dibenarkan. Mempertahankan hak sesuatu bangsa di tanahair sendiri adalah suatu perkara biasa, sebagaimana berlaku di negara-negara lain yang juga berasal dari satu bangsa pada mulanya.

Masyarakat yang mempunyai ikatan asabiyyah yang kuat sudah tentu berupaya membina kekuatan dan jati diri berbanding mereka yang lemah. Asabiyyah di sini bukanlah membawa makna chauvinisme atau rasisme atau etnosentrisme seperti orang jahiliah sebelum kedatangan Islam. Asabiyyah ketika itu, lebih kepada melakukan kezaliman atau membantu kaumnya melakukan kezaliman. Asabiyah yang Ibnu Khaldun maksudkan adalah soal ikatan persaudaraan, semangat setia kawan dan saling membantu dalam melakukan kebaikan. Maka dalam hal ini, bila sebut orang Melayu, sudah tentu ia tidak dapat lari daripada Islam.

Kita perlu ingat, orang Melayu beruntung kerana Islam telah menjadi anutan mereka sejak 600 tahun dahulu. Sebelum itu, ribuan tahun orang Melayu menganut agama Hindu-Buddha. Melayu dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Islam yang mengangkat martabat Melayu hari ini. Tanpa Islam, siapalah orang Melayu di bumi Melayu ini.

Justeru, orang Melayu perlu mengambil iktibar setelah mereka diIslamkan. Bermula dengan seorang raja Melaka memeluk Islam, maka boleh dikatakan hampir seluruh orang Melayu mengikuti jejak rajanya. Islam terus berkembang dan berkembang. Namun, kerajaan Melaka tidak dapat bertahan lama. Apabila perpecahan berlaku, ia telah membuka ruang kepada pihak penjajah untuk masuk. Akhirnya Alam Melayu telah terjajah dan dijajah.

Kemudian, orang Melayu bangkit kembali. Semangat nasionalisme Melayu Islam telah menyatukan mereka. Seterusnya orang Melayu kembali menjadi kuat. Penjajah berjaya dihalau keluar walaupun ramai juga yang terkorban. Gabungan Melayu Islam memberikan suntikan semangat dalam menjana kekuatan. Itulah yang saya selalu sebut Melayu dan Islam, ibarat darah daging, berasaskan sejarah, malangnya masih ramai yang tidak faham akan maksud saya. Mereka menuduh saya terlebih Melayu, seolah-olah sudah tidak sayangkan bangsa Cina atau Cina lupa diri.

Sebagai orang Cina, adalah wajar saya sayangkan bangsa saya sendiri. Ini dibenarkan dalam Islam. Orang Cina dia akan tetap jadi Cina, sampai bila-bilapun saya tetap Cina kerana saya adalah Cina ciptaan Allah SWT. Saya tidak boleh ubah diri menjadi Melayu. Menghina bangsa sendiri bermakna menghina kejadian Allah SWT. Namun, bila saya memberikan sedikit pandangan berbeza atau mengkritik orang Cina, itu bukan bermakna saya tidak sayangkan Cina. Fahamilah bahawa Islam mengajar saya erti berkata benar, walaupun saya sendiri payah untuk menerima. Sayangnya, masih ramai yang tidak dapat melihatnya dalam perspektif yang luas. Saya dikecam kerana dikatakan tidak menyebelahi bangsa sendiri sebalik menyebelahi bangsa lain. Adakah saya perlu menyembunyikan sesuatu keburukan kerana hendak menjaga nama bangsa?

Saya tidak hanya dikecam oleh bangsa saya sendiri yang tidak Islam, tetapi juga dari kalangan rakan seagama Cina Muslim sendiri. Tindakan saya dikatakan semakin menjauhkan orang Cina daripada mendekati Islam. Mereka menuduh saya opportunis. Saya dikatakan lebih Melayu daripada Melayu. Persoalan saya, apakah salah dan berdosa jika saya menyentuh isu Melayu Islam, jika perkara itu adalah yang benar? Apakah kita tidak berdosa mempertahankan kebatilan?

Seorang Cina Muslim yang menggelar dirinya ummataunwasoto di dalam blog saya memberikan komen bahawa adalah tidak salah orang Cina mendaulatkan bahasa ibundanya, untuk dirinya dan dalam lingkungan kaumnya, kerana ingin mengekalkan nilai budaya nenek moyang dan identiti keturunan. Persoalannya, bila saya kata salah? Baca artikel saya betul-betul setiap kali disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Amat malang sekali jika Cina Muslimpun tidak dapat memahami bahasa Melayu mudah ini. Yang mana lebih perlu diutamakan; agenda negara atau agenda bangsa? Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah agenda negara, matlamatnya besar. Manakala, agenda bahasa ibunda adalah untuk agenda bangsa. Bila berlaku pertembungan, maka sudah tentu agenda negara perlu diberikan keutamaan tanpa menjejaskan agenda bangsa.

Saudara ummataunwasoto juga gagal memahami isu kerajaan China menekan etnik Cina Uigur di Xinjiang. Isu sebenar bukanlah isu identiti atau isu bahasa etnik Uigur, kerana mereka tetap orang Cina. Tetapi, ada isu lain yang saudara ummataunwasoto masih belum dapat jawapannya, terutama berkaitan dengan agama Islam yang dianuti Uigur. Mereka yang beragama Islam dituduh sebagai pengganas. Inilah nasib umat Islam hari ini hasil propaganda pihak-pihak tertentu. Saya harap saudara ummataunwasoto tidak termasuk dalam golongan menerima propaganda ini. Buatlah kajian.

Di mana-mana dunia sekalipun kita lihat apabila Islam menjadi minoriti dalam negara bukan Islam, mereka akan ditindas, dianiaya dan lebih menyedihkan dibunuh. Berbanding dengan orang bukan Islam yang tinggal dalam negara majoriti Islam. Mereka bukan sahaja boleh hidup mewah dan senang-lenang, malahan kekayaan mereka mengatasi kekayaan pribumi itu sendiri. Inilah saya selalu ulangi nasib Melayu di bumi Melayu.

Lanjutan itu juga, bila saya menyokong idea menyeragamkan sistem pendidikan di negara ini, bukan bermakna kita hendak menghapuskan pendidikan kaum lain. Tulisan saya sebelum ini amat jelas, tetapi masih ramai yang buat-buat tidak faham. Berulang kali saya sebut, kanak-kanak sejak kecil mesti ditempatkan di bawah satu bumbung dengan tidak menafikan hak pendidikan bahasa ibunda. Mereka tidak boleh dipisah-pisahkan seperti yang berlaku sebelum ini sehingga kini. Ini yang menyukarkan proses integrasi nasional. Saya yakin orang yang berkokok ini tidak pernah mengkaji atau menyelidiki perkara ini. Mereka juga tidak bercampur dengan masyarakat atau hidup dalam kepompongnya sahaja. Sertailah NGO-NGO dan PIBG. Anda sudah tentu dapat jawapannya. Jika tidak menyertai mana-mana persatuanpun, kita boleh lihat sendiri penguasaan bahasa Melayu dan tahap integrasi kaum di kalangan mereka.

Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa tahap integrasi masyarakat berbilang kaum di negara ini berada pada tahap yang rapuh. Tidakkah kita merasa malu apabila ada kalangan pemimpin kita atau tokoh-tokoh korporat kita yang ditemubual di kaca televisyen, tahap penguasaan bahasa Melayu mereka amat rendah berbanding mereka bercakap dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda? Di manakah kedudukan bahasa kebangsaan sebenarnya sebagai agenda utama negara berbanding agenda bangsa? Fikir-fikirkanlah.

Salam hormat saya

Thursday, September 3, 2009

Generasi Kita Yang Terpedaya

Ambilan daripada buku, Muhammad Ahmad ar-Rashid, Langkah Bermula - Pustaka Usrah, muka surat 68 - 73

Generasi Kita Yang Terpedaya

Beberapa generasi telah berlalu selepas zaman pemerintahan Umar. Islam didokong pada setengah dekad oleh pahlawan Islam, pimpinan-pimpinan Islam dan orang-orang yang soleh, sedangkan pada dekad yang lain, ia diselubungi kelekaan. Akibatnya, kita dapati umat Islam pada waktu itu ditakluki dan ditindas oleh perancangan Yahudi dan kerajaan-kerajaan kafir. kekayaan mereka dirampas, iman menjadi lemah, neraca kehidupannya bertukar dan hukum al-Quran dihindari. Mereka juga mendidik keturunan orang-orang Islam dengan ideologi yang bertentangan dengan Islam dengan berbagai-bagai nama dan pakaian yang mempesonakan.

Sekiranya masih berbaki iman dalam diri seorang muslim dan kesan-kesan keghairahan (sayangkan agama) yang menghalangnya keluar dari agamanya, mereka akan dikalahkan dengan berbagai-bagai kepalsuan dan diperdayakan dengan berbagai-bagai saduran. Akhirnya ramai yang terpedaya dan menjadi tawanan akibat serangan pemikiran oleh ahli politik, sasterawan dan orientalis yang tidak memahami atau mendalami ilmu-ilmu agama dan fiqh. Mereka memperalatkan dalil-dalil al-Quran dan hadis yang terlalu umum kadangkala dengan hadis-hadis palsu yang dimanipulasi untuk mencipta sistem politik dan ekonomi yang didakwa atau dilabel sebagai sistem Islam tanpa kawalan dari usul fiqh dan syarat-syarat ijtihad.

Oleh itu, tribulasi yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini tidak hanya terbatas dalam menghadapi pemimpin yang sesat sahaja. bahkan menjangkau hingga kepada persoalan tarbiah. Manhaj pendidikan dan pembelajaran, bangku-bangku universiti-universiti, akhbar-akhbar, majalah-majalah dan seluruh media massa digunakan untuk menghapuskan pemikiran dan nilai-nilai Islam diseluruh dunia Islam Hinggakan orang yang mindanya terperangkap dalam rencana jahiliah blok barat dan blok timur itu seronok dan merasa bangga kerana menyangka dirinya terlepas dari belenggu kekolotan dan kebekuan fikiran.

Orang Islam yang menderhaka kepada Allah pada hari ini adalah mangsa pendidikan yang mengekalkan mereka kepada dunia sepertimana yang dikehendaki oleh orang-orang yang fasik sejak mula lagi agar akhirnya, mereka dijadikan kuda tunggangan oleh para taghut tersebut.

Demikianlah perancangan jahiliah sejak dahulu lagi yang diwarisi oleh taghut yang baru dari taghut sebelumnya. Jika digariskan salasilahnya, ia akan sampai kepada Firaun

Firman Allah. S.W.T.

فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُ ۥ فَأَطَاعُوهُ‌ۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمً۬ا فَـٰسِقِينَ 

"Maka Fir'aun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Karena sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik." (Az Zukhruf : 54)

Ini merupakan satu tafsiran yang benar terhadap sejarah. Hanya orang-orang fasik sahaja yang boleh diperdayakan oleh Firaun (lama dan moden). Orang yang beriman kepada Allah tidak dapat diperdayakan oleh taghut dan tidak akan taat kepada pemerintahannya (1)

Begitulah cara Yahudi dan negara-negara kafir memahami dan menerima pakai taktik perdayaan Firaun.

"Mereka saling merancang dan merangka konspirasi untuk membuat kerosakan dan mengubah masyarakat supaya menjadi sampah saraf yang tenggelam di dalam lumpur noda dan kejahatan. Masyarakat akan sentiasa disebukkan dengan kepayahan mencari sesuap makanan. Akibatnya mereka menjadi penat dan letih sehingga mereka tiada kesedaran untuk mendengar nasihat dan petunjuk mahupun kembali kepada agama (2)

Demikianlah politik mereka. Taktik-taktik kotor dijalankan di mana aktiviti masjid diganti dengan majlis tari menari, mengantikan isteri-isteri dengan pelacur-pelacur, menyerang aqidah menggunakan guru-guru 'free-thinker' dan menewaskan seni keperwiraan dengan seni keseronokan (3). Melalui tarbiyah ini mereka telah mengubah helang rajawali menjadi burung yang ditambat sebagaimana yang diketakan oleh Iqbal.

"Demikianlah halus dan telitinya latihan yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin yang sesat lagi menyesatkan.

Seni yang merampas kecantikan lenggok bunga sarwa (4)

ia menukar helang rajawali menjadi burung denak

mereka memperdayakan angkatan berkuda dengan nyanyian yang merdu

lalu membenamkan bahtera ke dasar laut

mereka tidurkan kita dengan irama dan lagu

dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya"(5)


Manusia pun beransur-ansur diresapi kehinaan tanpa disedari.


"Secara fitrah, manusia sebenarnya bencikan kehinaan dan kezaliman. Dengan berbagai-bagai situasi yang mengelilingi mereka, ditambah pula dengan berbagai peristiwa yang datang menyelubungi mereka dari semasa kesemasa, tanpa disedari mereka menerima penghinaan dan tunduk pada keadaan. Secara beransur mereka merasa tenang dan terbiasa di dalam kehinaan ibarat singa yang telah dijinakkan. namun, unsur kemuliaan masih berbaki di jiwa dan masih ada percikan bahang yang panas membara di dalam darah.

Apabila pendakwah-pendakwah penyeru kepada kemuliaan memanggil kepada kemerdekaan, membangunkan jiwa yang lena dan menggerakkan semangat yang nyenyak, maka berdenyutlah kemuliaan di dalam jiwa dan menyalalah bara di dalam sekam. Bangkitlah semula sifat kemanusiaan di dalam diri manusia, mereka tidak sekali=-kali menerima penghinaan. Mereka pun bangkit bejihad dan melihat segala apa yang dihadapinya di dalam jihad itu lebih ringan daripada diperhambakan, malah lebih baik daripada kehidupan kebinatangan.


Kehinaan yang menimpa manusia disebabkan oleh orang lain atau faktur luar, cepat sembuh dan mudah dihapuskan. Sebaliknya, jika kehinaan itu timbul dari dalam diri dan terbit dari hati, itu adalah penyakit yang sangat merbahaya dan merupakan kematian yang tidak disedari.

Oleh itu, golongan taghut yang zalim sengaja menerapkan kehinaan kepada rakyat melalui pendidikan yang hina dan asuhan tanpa tatasusila. Mereka membentuk para belia dengan perbagai taktik dan stategi yang bertujuan untuk mematikan hemah yang mulia dan memadamkan semangat juang agar kekuasaan sentiasa berada di tangan mereka yang zalim itu" (6)


Anak Singa diubah menjadi kijang yang pengecut.

Untuk melengkapkan konspirasi "penghinaan itu' taghut yang zalim telah menindas pendakwah Islam supaya sistem pendidikan, media massa dan wartawan dikuasai oleh ilmuan, sasterawan dan cendikiawan buatan. Melalui kuasa media, mereka mempropagandakan ilmu, sastera dan retorik al jahiliah Timur dan Barat. Mereka sadurkan rancangan mereka melalui berbagai-bagai pertubuhan yang pada zahirnya berbeza-beza. Mereka hiaskan dengan solekan yang memperdayakan generasi baru, pejuang-pejuang muda dan anak-anak singa supaya mereka berlembut dan tunduk kepada syahwat, mengikut hawa nafsu karam dalam gejala seks dan kemewahan hidup. Seterusnya mereka padamkan warisan umat Islam zaman gemilang yang bertamadun tinggi. Mereka hapuskan kisah-kisah para ulama kerana bimbang ia menjadi lampu yang terang benderang untuk generasi baru muslim dan menunjukkan jalan kerja mereka kepada mereka.

Kandungan madah penyair Islam Muhammad Iqbal Rahimullah membongkarkan taktik kotor mereka.

Zaman satu bangsa yang hina

tidak pernah sunyi dari ilmuan, sasterawan dan orang yang arif bijaksana

Mereka dipecahbelahkan dengan berbagai ideologi

tapi semua ideologi itu tertumpu kepada satu rencana:

Mereka ajar anak singa dengan kijang pada bicara zaman silam

Cita-cita mereka, mengembirakan hamba dengan penghambaan

Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendekiawan (7)

Rancangan mereka benar-benar berjaya. Inilah simbol perancangan kaum Yahudi dan Kristian. Mereka asuh anak-anak singa Islam menjadi kijang yang pengecut. Mereka padamkan kisah singa-singa Islam dari kalangan para ulama, ahli zuhud dan pejuang Islam dari sejarah abad pertama Islam yang gemilang bagi umat yang berjuang ini.

Sistem pendidikan jahiliah dan taghut ciptaan Yahudi, Kristian dan materialisme itu telah melahirkan kijang-kijang yang pengecut. Mereka tidak lagi menerkam, sebaliknya melepaskan diri dari keazaman serta bersegera membolos diri dari tanggung jawab.

Inilah generasi baru putera-putera Islam.

Mereka itu adalah anak-anak singa yang bertukar menjadi kijang yang pengecut.

Sebenarnya mereka itu adalah putera-putera muslimin yang merdeka.

Mereka diperhambakan, lalu mereka bergembira.

Rancangan mereka terus berjalan sehingga kita dapati sesetengah orang yang ikhlas lebiih cenderung untuk beruzlah, mengasingkan diri dan takut berganding bahu bersama-sama umat Islam akibat pengaruh daripada kesan pendidikan tersebut. Ini jelas membuktikan keberkesanan rancangan mereka. Ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan. Oleh kerana mereka telah berjaya menjauhkan ramai orang Islam dari Islam tentu lebih mudah bagi mereka untuk menjauhkan lebih ramai lagi orang Islam daripada sebahagian dari Islam. Mereka menyakinkan orang Islam dengan mengulang kenyataan mengasingkan diri (beruzlah) dan mereka-reka alasan untuk melarikan diri dari kepayahan berkerja dan berjihad.





1. Fi Zilal Al-Quran Juzu 9 m.s. 45

2. ibid m.s. 122

3. al_Rafi'i, Wahyu al-Kalam, Juzuk 2 m.s. 258

4. Sarwa; Sejenis pokok bunga untuk hiasan di taman bunga dan di kubur yang ditanam untuk melindungi pokok-pokok lain

5. Abdul Wahab Azam, Buku MUhammad Iqbal, m.s. 162

6. Abdul Wahab Azam, Al-Shawarid, m.s. 318

7. Muhammad Iqbal, Diwan Dharb al-Kalim m.s. 102