Tuesday, September 15, 2009

Memperkasa agenda negara berbanding agenda bangsa

Memperkasa agenda negara berbanding agenda bangsa
from RIDHUAN TEE by RIDHUAN TEE
(Mingguan Malaysia, 13 September 2009)

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Seperti yang selalu saya sebut sebelum ini, setiap negara yang dijadikan Allah SWT adalah mengikut bangsa-bangsa tertentu. Nama sesuatu bangsa itu akan menerbitkan nama negara. Ringkasnya, nama negara berasal daripada nama bangsa. Misalnya, bangsa Melayu-Tanah Melayu, bangsa Siam-negara Siam, bangsa Cina-negara China, bangsa India-negara India dan lain-lain. Tidak ada negara yang terbentuk secara semulajadinya berbilang kaum atau bermasyarakat majmuk. Masyarakat majmuk hanya muncul apabila berlaku penghijrahan seperti yang berlaku dalam banyak negara, termasuk Tanah Melayu (Malaysia).

Fakta ini cuba dipertikaikan oleh segolongan tertentu, termasuk pengunjung yang memberikan komen dalam laman blog saya, mengenai asul-usul Melayu di bumi Melayu atau Alam Melayu. Mereka mengatakan orang Melayu bukanlah pribumi atau penduduk asal negara ini. Melayu juga kata mereka seperti kaum lain berhijrah dari tempat lain ke Alam Melayu. Persoalannya, dari manakah datangnya perkataan kepulauan Melayu dan Tanah Melayu jika tidak didiami oleh orang Melayu? Betul, orang asli adalah penduduk asli. Mana ada negara yang tidak bermula dengan orang asli? Buktikan.

Seperti yang kita sedia maklum, sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (Suntharalingam dan Abd Rahman Ismail, 1985).

Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini telah diperakui oleh pengkaji-pengkaji timur dan barat yang membuat kajian mengenai Alam Melayu. Tanah Melayu dan kepulauan Melayu adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Jika mahu tahu lebih lanjut, buatlah penyelidikan, jangan tulis tanpa fakta.

Kedatangan penjajah sebenarnya telah mengubah peta politik kepulauan Melayu. Kalau dahulu, hubungan antara China/India/ Arab dengan Alam Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara-negara kepulauan Melayu. Jelas di sini bahawa Allah SWT menjadikan sesuatu bangsa di tempat-tempat yang berkaitan dengan bangsa tersebut. Allah SWT juga mengurniakan setiap bangsa dengan identitinya yang tersendiri seperti bahasa, budaya dan cara hidup. Maka adalah sesuatu yang normal bila mana identiti atau bangsa majoriti, menguasai atau mendominasi bangsa minoriti, kerana ia berlaku di mana-mana.

Hujah ini untuk meyakinkan kita bahawa memartabatkan bangsa dan identiti tidak salah. Jika tidak, apa ertinya Allah SWT menciptakan sesuatu bangsa dengan perwatakan dan warna kulit yang berbeza-beza di kawasan masing-masing. Tentu ada hikmahnya. Bila berlaku pernghijrahan, mereka boleh saling mengenali dan bercampur antara satu sama lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13.

Pada hemat saya, berdasarkan ayat ini, sayangkan bangsa itu adalah sesuatu yang normal jika tidak keterlaluan. Ibnu Khaldun mengemukakan konsep asabiyah (ikatan sosial atau kesetiakawanan) yang bersifat positif. Ikatan ini memainkan peranan besar dalam menyatupadukan pelbagai kaum dan bangsa seterusnya membentuk kekuatan bagi membina peradaban. Dalam karangannya Al-Mukadimah, sayangkan bangsa atau asabiyah adalah dibenarkan. Mempertahankan hak sesuatu bangsa di tanahair sendiri adalah suatu perkara biasa, sebagaimana berlaku di negara-negara lain yang juga berasal dari satu bangsa pada mulanya.

Masyarakat yang mempunyai ikatan asabiyyah yang kuat sudah tentu berupaya membina kekuatan dan jati diri berbanding mereka yang lemah. Asabiyyah di sini bukanlah membawa makna chauvinisme atau rasisme atau etnosentrisme seperti orang jahiliah sebelum kedatangan Islam. Asabiyyah ketika itu, lebih kepada melakukan kezaliman atau membantu kaumnya melakukan kezaliman. Asabiyah yang Ibnu Khaldun maksudkan adalah soal ikatan persaudaraan, semangat setia kawan dan saling membantu dalam melakukan kebaikan. Maka dalam hal ini, bila sebut orang Melayu, sudah tentu ia tidak dapat lari daripada Islam.

Kita perlu ingat, orang Melayu beruntung kerana Islam telah menjadi anutan mereka sejak 600 tahun dahulu. Sebelum itu, ribuan tahun orang Melayu menganut agama Hindu-Buddha. Melayu dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Islam yang mengangkat martabat Melayu hari ini. Tanpa Islam, siapalah orang Melayu di bumi Melayu ini.

Justeru, orang Melayu perlu mengambil iktibar setelah mereka diIslamkan. Bermula dengan seorang raja Melaka memeluk Islam, maka boleh dikatakan hampir seluruh orang Melayu mengikuti jejak rajanya. Islam terus berkembang dan berkembang. Namun, kerajaan Melaka tidak dapat bertahan lama. Apabila perpecahan berlaku, ia telah membuka ruang kepada pihak penjajah untuk masuk. Akhirnya Alam Melayu telah terjajah dan dijajah.

Kemudian, orang Melayu bangkit kembali. Semangat nasionalisme Melayu Islam telah menyatukan mereka. Seterusnya orang Melayu kembali menjadi kuat. Penjajah berjaya dihalau keluar walaupun ramai juga yang terkorban. Gabungan Melayu Islam memberikan suntikan semangat dalam menjana kekuatan. Itulah yang saya selalu sebut Melayu dan Islam, ibarat darah daging, berasaskan sejarah, malangnya masih ramai yang tidak faham akan maksud saya. Mereka menuduh saya terlebih Melayu, seolah-olah sudah tidak sayangkan bangsa Cina atau Cina lupa diri.

Sebagai orang Cina, adalah wajar saya sayangkan bangsa saya sendiri. Ini dibenarkan dalam Islam. Orang Cina dia akan tetap jadi Cina, sampai bila-bilapun saya tetap Cina kerana saya adalah Cina ciptaan Allah SWT. Saya tidak boleh ubah diri menjadi Melayu. Menghina bangsa sendiri bermakna menghina kejadian Allah SWT. Namun, bila saya memberikan sedikit pandangan berbeza atau mengkritik orang Cina, itu bukan bermakna saya tidak sayangkan Cina. Fahamilah bahawa Islam mengajar saya erti berkata benar, walaupun saya sendiri payah untuk menerima. Sayangnya, masih ramai yang tidak dapat melihatnya dalam perspektif yang luas. Saya dikecam kerana dikatakan tidak menyebelahi bangsa sendiri sebalik menyebelahi bangsa lain. Adakah saya perlu menyembunyikan sesuatu keburukan kerana hendak menjaga nama bangsa?

Saya tidak hanya dikecam oleh bangsa saya sendiri yang tidak Islam, tetapi juga dari kalangan rakan seagama Cina Muslim sendiri. Tindakan saya dikatakan semakin menjauhkan orang Cina daripada mendekati Islam. Mereka menuduh saya opportunis. Saya dikatakan lebih Melayu daripada Melayu. Persoalan saya, apakah salah dan berdosa jika saya menyentuh isu Melayu Islam, jika perkara itu adalah yang benar? Apakah kita tidak berdosa mempertahankan kebatilan?

Seorang Cina Muslim yang menggelar dirinya ummataunwasoto di dalam blog saya memberikan komen bahawa adalah tidak salah orang Cina mendaulatkan bahasa ibundanya, untuk dirinya dan dalam lingkungan kaumnya, kerana ingin mengekalkan nilai budaya nenek moyang dan identiti keturunan. Persoalannya, bila saya kata salah? Baca artikel saya betul-betul setiap kali disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Amat malang sekali jika Cina Muslimpun tidak dapat memahami bahasa Melayu mudah ini. Yang mana lebih perlu diutamakan; agenda negara atau agenda bangsa? Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah agenda negara, matlamatnya besar. Manakala, agenda bahasa ibunda adalah untuk agenda bangsa. Bila berlaku pertembungan, maka sudah tentu agenda negara perlu diberikan keutamaan tanpa menjejaskan agenda bangsa.

Saudara ummataunwasoto juga gagal memahami isu kerajaan China menekan etnik Cina Uigur di Xinjiang. Isu sebenar bukanlah isu identiti atau isu bahasa etnik Uigur, kerana mereka tetap orang Cina. Tetapi, ada isu lain yang saudara ummataunwasoto masih belum dapat jawapannya, terutama berkaitan dengan agama Islam yang dianuti Uigur. Mereka yang beragama Islam dituduh sebagai pengganas. Inilah nasib umat Islam hari ini hasil propaganda pihak-pihak tertentu. Saya harap saudara ummataunwasoto tidak termasuk dalam golongan menerima propaganda ini. Buatlah kajian.

Di mana-mana dunia sekalipun kita lihat apabila Islam menjadi minoriti dalam negara bukan Islam, mereka akan ditindas, dianiaya dan lebih menyedihkan dibunuh. Berbanding dengan orang bukan Islam yang tinggal dalam negara majoriti Islam. Mereka bukan sahaja boleh hidup mewah dan senang-lenang, malahan kekayaan mereka mengatasi kekayaan pribumi itu sendiri. Inilah saya selalu ulangi nasib Melayu di bumi Melayu.

Lanjutan itu juga, bila saya menyokong idea menyeragamkan sistem pendidikan di negara ini, bukan bermakna kita hendak menghapuskan pendidikan kaum lain. Tulisan saya sebelum ini amat jelas, tetapi masih ramai yang buat-buat tidak faham. Berulang kali saya sebut, kanak-kanak sejak kecil mesti ditempatkan di bawah satu bumbung dengan tidak menafikan hak pendidikan bahasa ibunda. Mereka tidak boleh dipisah-pisahkan seperti yang berlaku sebelum ini sehingga kini. Ini yang menyukarkan proses integrasi nasional. Saya yakin orang yang berkokok ini tidak pernah mengkaji atau menyelidiki perkara ini. Mereka juga tidak bercampur dengan masyarakat atau hidup dalam kepompongnya sahaja. Sertailah NGO-NGO dan PIBG. Anda sudah tentu dapat jawapannya. Jika tidak menyertai mana-mana persatuanpun, kita boleh lihat sendiri penguasaan bahasa Melayu dan tahap integrasi kaum di kalangan mereka.

Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa tahap integrasi masyarakat berbilang kaum di negara ini berada pada tahap yang rapuh. Tidakkah kita merasa malu apabila ada kalangan pemimpin kita atau tokoh-tokoh korporat kita yang ditemubual di kaca televisyen, tahap penguasaan bahasa Melayu mereka amat rendah berbanding mereka bercakap dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda? Di manakah kedudukan bahasa kebangsaan sebenarnya sebagai agenda utama negara berbanding agenda bangsa? Fikir-fikirkanlah.

Salam hormat saya

No comments: