Tuesday, December 8, 2009

Tuntut RM381j selepas PKG gagal disiapkan ikut jadual





Dari Berita Harian

GEORGETOWN: Sebanyak lapan syarikat Bumiputera menyaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) menuntut ganti rugi berjumlah RM381 juta selepas didakwa gagal menyiapkan kemudahan Pusat Kemudahan Guna Sama (PKG) di Simpang Ampat, Seberang Prai.

Plaintif, Indera Perabot (M) Sdn Bhd; Medan Data Sdn Bhd; Adi Wood Product Sdn Bhd; Almawood Industries Sdn Bhd; Ikrar Teguh Sdn Bhd; Phoenix Calibre Sdn Bhd; Perabut Wilayah Utara Sdn Bhd dan CT Max Sdn Bhd menamakan Mara sebagai defendan

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zakaria Sam mendengar saman itu dalam kamar yang dihadiri peguam plaintif dan defendan menetapkan pada 8 Januari ini keputusan sama ada Mara bertanggungjawab membina PKG sebelum atau pada 1 Januari 1998.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa mengikut kontrak, PKG Simpang Ampat akan menggabungkan operasi semua syarikat plaintif bagi menjalankan projek mengeluarkan set meja makan dengan setiap syarikat mempunyai tugas masing-masing.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa kegagalan Mara menyiapkannya menyebabkan mereka menanggung kerugian kewangan dan Alamawood menuntut ganti rugi RM30 juta, Adiwood (RM59 juta), Phoenix Calibre (RM26 juta), CT Max (RM81 juta), Medan Data (RM121 juta), Indera Perabot (RM15 juta), Perabot Wilayah (RM12 juta) dan Syarikat Ikrar Teguh (RM33 juta).

Plaintif diwakili peguam Shuhaimi Mat Hashim manakala Mara diwakili Tetuan Akmar & Co; Tetuan Zainal Pit & Partnes; Tetuan Shahrizat Rashid & Lee dan Tetuan Md Tajuddin & Co.

Sebelum ini, prosiding syarikat perabot usahawan terbabit diadakan di banyak mahkamah tetapi digabungkan semalam bagi membolehkan ia dibicarakan secara serentak dalam kamar.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Shuhaimi berkata, prosiding dalam kamar lebih tertumpu kepada adakah Mara bertanggungjawab dan menyiapkan PKG mengikut tempoh dijanjikan.

No comments: