III. Gerak politik Ikhwan semasa Revolusi 1952 tersasar?
Ahmad Lutfi Othman http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31012:lawak-jenaka-mahathir-dan-politik-ikhwan&catid=86:editor-harakah&Itemid=126
Ikhwan Muslimin -- walaupun selepas ditekan dan dianiayai selama lebih 60 tahun -- diakui gerakan paling tersusun, kuat dan berpengaruh di Mesir. Kini, selepas Hosni Mubarak tersungkur, bukan saja warga Mesir menanti langkah dan kebijaksanaan pemimpin Ikhwan, malah dunia sedang memerhatikannya penuh minat. Revolusi rakyat yang turut menganugerahkan ramai syuhada itu membawa harapan cukup besar bagi memastikan proses pembaharuan berjalan lancar.
Semasa saya mencari-cari catatan pengalaman demonstran di Medan Tahrir (disebabkan rasa kagum dengan kecekalan dan kehebatan mereka bertahan selama hampir 20 hari), saya disuakan dengan analisis menarik pakar Timur Tengah, Dr Mohammad Redzuan Othman tentang Ikhwan. Bagaimanapun perkembangan yang disorotnya itu bukan situasi terkini, tetapi bedah-siasat kegagalan Ikhwan dalam konflik politik di Mesir, antara tahun 1948-1954. Umumnya, artikel itu seperti menonjolkan banyak kelemahan Ikhwan tetapi saya berasakan ia penting untuk melihat sejauhmana pemimpinnya kini dapat memanfaatkan iktibar masa lalu, berdepan realiti kritikal hari ini.
Ikhwan ketika itu muncul sebagai organisasi yang paling mendapat sambutan rakyat dengan keahlian dua juta. Hinggakan apabila meletus perang di Palestin, Ikhwan merupakan satu-satunya organisasi yang berjaya menghantar sukarelawan terlatih untuk menentang Israel. Pasukan ini mendapat sanjungan kerana keberanian dan kehebatannya. Bagaimanapun, dengan pengalaman dan pemilikan senjata, Ikhwan terdedah kepada risiko besar terutama disebabkan tindakan segelintir anggotanya yang melakukan keganasan politik, di luar pengetahuan dan kawalan Hasan Al-Banna.
Berpunca daripada insiden "keganasan", Ikhwan diharamkan, dan 32 anggotanya ditangkap bersama sejumlah senjata. Al-Banna menegaskankan senjata itu untuk menentang Israel dan kewujudannya diketahui pemerintah. Pembunuhan Perdana Menteri, Nokrasyi Pasya, memburukkan lagi imej Ikhwan. Selepas Al-Banna ditembak syahid pada 1949, Ikhwan bukan saja sukar menjadi pengganti sedinamik beliau, malah menghadapi masalah perebutan kuasa, yang mengakibatkan pengaruhnya semakin lemah. Hasan Al-Hudaibi, bagi pimpinan Ikhwan tertentu, bukan pengganti terbaik kerana dikira masih baru dalam jamaah dan bukan dari kalangan pengasas; perlantikannya mencetuskan perpecahan dalaman. Beliau berlatarbelakang perundangan, seorang yang bersikap sederhana, tenang dan lemah-lembut.
Mesir pula mencatat sejarah apabila Raja Farouk digulingkan dalam Revolusi Julai 1952, yang digerakkan sekumpulan pegawai tentera, Free Officers (diketuai Mohamed Neguib dan Gamal Abdul Nasser). Secara tidak langsung kemarahan rakyat kepada raja turut disumbangkan oleh Ikhwan. Free Officers dianggarkan hanya dianggotai 50 pegawai tentera, dengan hubungan yang longgar dan spontan. Menyedari Ikhwan mempunyai pengaruh besar di kalangan rakyat serta mantap organisasinya, Free Officers sedaya upaya cuba mewujudkan kerjasama dan persefahaman, terutama di peringkat awal.
Sebagai tanda persahabatan, Free Officers memenuhi tuntutan Ikhwan, antaranya membuka kembali kes pembunuhan Al-Banna, membebaskan anggota yang ditahan, pembubaran polis rahsia dan pelantikan seorang penyokongnya, Kolonel Rashad Muhanna sebagai salah seorang menteri kabinet dalam kerajaan sementara. Ikhwan nampak berpuas hati dan memberikan sokongan, tetapi pada masa sama Free Officers memperkukuhkan dominasinya dalam politik Mesir bagi membolot kuasa, selain berhasrat melakukan komplot jahat memusnahkan Ikhwan. Pada 14 Oktober 1952, Rashad MUhanna digugurkan daripada Majlis Revolusi disebabkan beliau lantang bersuara supaya dilaksanakan Perlembagaan Islam di Mesir.
Semasa Free Officers memperkukuhkan kedudukannya, Ikhwan pula dilanda krisis demi krisis. Dalam mesyuarat majlis syira pada 9 Disember 1953, beberapa tokoh penting Ikhwan dipecat keanggotaannya, seperti Muhammad Al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Nasser menyedari kewujudan krisis dalaman itu dan beliau mengambil kesempatan melaga-lagakan pemimpin Ikhwan. Regim tentera juga berjaya menyusup masuk. Perancangan rapi diatur bagi mengharamkan Ikhwan, dan hanya selepas satu setengah tahun sahaja selepas revolusi, ia diharamkan, manakala 450 anggotanya ditangkap termasuk semua ahli majlis syura dan Mursyidul Amnya, Hasan Al-Hudaibi.
Susulan itu, pada 26 Oktober 1954, "drama" pembunuhan Nasser dilakonkan apabila beberapa das tembakan dilepaskan ketika beliau memulakan ucapannya di Iskandariah. Penembaknya dikatakan seorang anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Tiada yang cedera, cuma beberapa mentol lampu sahaja pecah. Nasser meneruskan ucapan dan menonjolkan imejnya sebagai manusia yang mendapat perlindungan Allah daripada angkara "pengkhianat". Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan Ikhwan. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.
Redzuan merumuskan, Ikhwan membuat beberapa perhitungan politik yang boleh dipertikai. Walaupun mempunyai pengaruh dan kekuatan tetapi Ikhwan tidak menggunakan kesempatan apabila sampai masanya dan kesempatan ini disebut pihak lain. Mereka tidak menggunakan tawar-menawar politik yang berkesan di peringkat awal ketika Free Officers masih lemah. Inggeris juga melakukan sabotaj dalam perundingan dengan Ikhwan (sehingga dituduh membelot kepada negara) dan ini memberi tekanan lagi kepadanya. Kewibawaan Nasser, terutama dari segi imiginasi politiknya yang baik, berjaya menyingkirkan semua saingannya. Nasser bukan saja membunuh ramai pemimpin Ikhwan, malah memaksa mereka melarikan diri sehingga ke Eropah.
Kini, masa berubah. Gerak politik Ikhwan selepas Revolusi Rakyat Medan Tahrir tentu juga berbeda.
Harga sayur tempatan meningkat 150 peratus
-
(SH) : Harga sayur-sayuran tempatan mencatatkan kenaikan sehingga 150
peratus dalam tempoh dua minggu ini, memberikan kesan besar kepada peniaga
dan peng...
1 day ago
No comments:
Post a Comment