Monday, August 17, 2009

Nak Kahwin Susah Nak cerai pun susah

Bukan cerita baharu. Bahkan telah berkali-kali dibahaskan. Sejak dulu hingga sekarang. Ramai lelaki tidak berkahwin. Akibatnya ramai jugalah anak-anak dara yang tidak berkahwin. Apabila ditanya kebanyakan daripada mereka akan menjawab belum mendapat jodoh. Belum sampai seru. Belum mendapat rezeki. Apabila diselideki jawapan yang mudah ramai daripada mereka itu tidak berkemampuan daripada segi kewangan. Wanglah yang menghalang mereka daripada berkahwin. Wanglah juga yang menghalang mereka daripada membuat salah satu daripada Sunnah Nabi dan menjawab panggilan biologi secara sah.

Berbagai-bagai cadangan bagi memudahkan perkahwinan telah diajukan tetapi peratus yang boleh berkahwin tetapi tidak berkahwin kian bertambah.

Untuk menyimpan wang pada waktu sekarang ini bukan mudah. Perbelanjaan hidup sangat tinggi. Semua perkara memerlukan wang. Hantaran perkahwin juga turut naik mengikut perkembangan masa. Cuma yang sedihnya pendapatan tidaklah naik seperti naiknya harga barang dan bil-bil perkhidmatan. Gaji permulaan kerja juga sangat rendah. Maklumlah menurut pengusaha-pengusaha ini zaman meleset.

Perbelanjaan yang tinggi ini memberi beban kepada pemuda dan mereka memandang perkahwinan sebagai suatu mimpi yang indah tetapi bilakah ianya boleh terjadi. Menyimpan wang bukan mudah. Bagi menyelamatkan dan mencepatkan perkahwinan ramai daripada mereka terlibat dalam urusan pinjaman. Urusan pinjaman inilah yang akan membelenggu mereka selama-lamanya.

Tup-tup keluar dalam surat-surat khabar kisah-kisah perceraian. Tuntutan berjuta-juta ringgit daripada bekas isteri kepada bekas suami. Contohnya Siti Aishah Chou Abdullah telah menuntut bayaran mutaah sebanyak RM 3 Juta, Noraini Md Dom meminta RM 2 juta.

Menurut Timbalan Presiden, Persatuan peguam-peguam Syariah malaysia, Musa Awang tuntutan berjut-juta ringgit bukanlah sesuatu yang asing.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam,Yayasan Dakwah islamiah, Noor Aziah berkata mutaah yang dibayar suami perlu seimbang dengan pengorbanan isteri.

"Ini termasuklah berapa lama mereka hidup bersama dengan tanggungan anak, semua kena seimbang supaya isteri yang diceraikan mampu memulakan hidup baru dengan lebih baik berdasarkan wang mutaah itu. Perundangan Malaysia tidak menetapkan berapa wajib dikenakan mutaah."

Terdapat kes-kes suami bukan tidak mahu lepaskan isterinya tetapi masih bersama kerana takut permintaan yang tinggi daripada bekas isteri nanti.

Banyak kes-kes suami tidak mahu membayar mutaah walaupun telah diputuskan oleh mahkamah.

Zaman sekarang ini bukan sahaja nak kahwin sukar. Nak bercerai juga sukar. Yang mudahnya mengikuti kehendak biologi secara tidak sah. Murah dan resikonya hanya sekiranya ditangkap oleh pihak Penguatkuasa Islam negeri.

Sudahlah lebih banyak saluran-saluran yang dibuka untuk mengikuti kehendak biologi secara tidak sah daripada yang sah. Nak melakukan yang sah itu pula sangat tinggi harga yang terpaksa diibayar. berkahwin dan bercerai itu disukarkan dengan peraturan demi peraturan. Demi menjaga satu muslihah dibuat suatu peraturan. Untuk menjaga muslihat yang lain dibuatlah peraturan. Akhirnya saya melihat peraturan demi peraturan dibuat bukan menyenangkan perkahwinan dan perceraian tetapi menyukarkannya.

Kasihan pemuda-pemuda kita nak kahwin pun susah.

No comments: