Monday, June 21, 2010

GERAKAN ISLAM: MENOLEH MASA LALU, MENYOROT MASA DEPAN

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Menoleh Masa Lalu

1961 PKPIM lahir dengan matlamat yang sangat sederhana iaitu untuk memperjuangkan “kepentingan pelajar-pelajar Islam”. Menjelang dekad 70’an PKPIM memasuki era kematangannya dengan memperlihatkan komitmen terhadap idealisme perjuangan “cita-cita Islamiah” dan “aspirasi nasional”. Hujung 60’an dan awal 70’an adalah era tumbuhnya kesedaran kemahasiswaan. Para aktivis PKPIM menyebut diri mereka sebagai “elemen yang sedar dari masyarakatnya” di samping sebagai the conscience of the majority. Kesedaran tersebutlah yang melatari pelbagai aksi kemahasiswaan termasuk demonstrasi tentang pelabagai isu semasa. Tetapi yang lebih penting adalah kegiatan-kegiatan yang beresensi pemikiran dan keilmuan seperti Kongres Kamajuan Islam di Malaysia, Seminar Peradaban Islam, Seminar Pendidikan di Malaysia, dan Kongres Universiti Islam.

1971 ABIM lahir sebagai wadah pelanjut perjuangan pasca kemahasiswaan. Kemunculan ABIM ternyata suatu yang cukup fenomenal. Justeru, ABIM adalah badan dakwah yang pertama berciri dan berjati diri sebagai gerakan Islam (harakah Islamiyah) dengan keanggotaan yang merakyat dan bersifat nasional dalam erti meratai seluruh negara. ABIM berjaya menempa sejarah kepeloporannya dalam merealisasikan fenomena the rising tide of Islam atau kebangkitan Islam di Malaysia kerana pelbagai faktor, termasuk:

Kekuatan wadah pesediaan (PKPIM)

Ketepatan waktu kemunculannya (sebagai wadah penyambut era kebangkitan Islam)

Karisma pemimpin utamanya

Kepimpinan jama`iy yang memadukan pelbagai latar pendidikan

Keupayaan memanfaatkan dinamika keislaman dan kepemudaan

Kekuatan fikrah (budaya ilmu)

Keberkesanan skema tarbiyah (ilmiah-rohaniah-harakiah).

Keberkesanan mekanisme dan kekuatan keorganisasian.
Keterbukaan dan toleransi terhadap kepelbagaian aliran mazhab dan pemikiran.

Komitmen yang tinggi terhadap misi perjuangan amar makruf nahi munkar.

Tidak benar mempersepsikan ABIM sebagai wadah pelarian penderita penyakit rendah diri pelajar-pelajar aliran Melayu yang gagal menguasai bahasa Inggeris. Perlu dicatat bahawa sebahagian yang tidak kecil daripada barisan pimpinan awal ABIM adalah mereka yang berlatar pendidikan Inggeris. Demikian juga tidak benarnya anggapan bahawa ABIM adalah jelmaan keresahan kaum Melayu yang berasa jati dirinya sedang terhakis. Dengan kata lain, fenomena keislaman yang dipromosikan oleh ABIM itu hanyalah suatu usaha pemantapan jati diri Melayu. Hakikatnya, fenomena keislaman di Malaysia adalah sebahagian daripada fenomena global al-sahwah al-Islamiayyah. Yang membentuk pemikiran para aktivis ABIM bukan tokoh-tokoh racist Melayu, tetapi karya tulis para pemikir dan pemimpin gerakan Islam seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Maududiy, an-Nadwi, Fathi Yakan, Sa’id Hawwa, Muhammad Natsir, Malik Bennabi, Isma’il R.al-Faruqi dan lain-lain lagi. Dari kalangan ilmuwan-pemikir tempatan yang turut berperanan membentuk pemikiran para aktivis tersebut termasuklah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau sangat berjasa dalam konteks pengukuhan idea Islamisasi dan dewesternisasi. Kritiknya terhadap Barat, tamadun dan kesarjanaannya, telah meruntuhkan hegemoni pemikiran Barat di kalangan generasi muda terpelajar. Penyerlahannya terhadap peranan besar Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu memberikan cultural confidence dalam perjuangan pendaulatan Islam dan tamadunnya di Malaysia. Selain beliau, Prof. Syed Husein Alatas adalah public intellectual yang turut memberikan sumbangan besar dalam membangkitkan kepedulian sosial dan pemikiran kritis. Kritiknya terhadap Dasar Ekonomi Baru dan idea kapitalistik buku Revolusi Mental mendapat perhatian luas di kalangan pimpinan dan warga ABIM.

Dalam pembinaan tradisi keilmuannya ABIM bersikap terbuka, sedia memanfaatkan ilmu dari siapa sahaja termasuk dari kalangan bukan Islam seperti Paulo Freire, pemikir dan pejuang pendidikan kaum tertindas dari Brazil. Bagaimanapun ABIM tidak pernah terikat dengan sesiapa. Dengan demikian khazanah keintelektualannya menjadi lebih kaya dan beragam. Kekayaan dan keragaman seperti itu memang sangat diperlukan untuk pengentalan mesej dan misi perjuangan membina masyarakar yang religious dan sekaligus rakyat yang cerdas dan berfikiran kritis. Latar keintelektualan sedemikian itulah juga yang membawa pencitraan ABIM bukan hanya sebuah badan dakwah dalam pengertian sempit, tetapi juga suatu kekuatan sosial dan agen perubahan yang tidak boleh diremehkan.


Menyorot Masa Depan

Demikianlah pengkisahan ringkas sebuah gerakan yang menjadi ikon dalam sejarah kebangkitan Islam di Malaysia. Kehadirannya selalu dikitari kontroversi, yang mendukung menyintainya sepenuh hati, yang menentang membencinya setengah mati. Kita adalah pewaris dan pelanjut sebuah gerakan besar. Yang kita warisi bukan cuma kebesarannya, tetapi juga beban memelihara kebesarannya dan mempertahankan kerelevanannya.

Apabila dikatakan bahawa quality means survival bererti kualiti kader gerakan adalah penentu kerelevanan dan survival. Kerana itu dalam keadaan bagaimana sekalipun, kualiti (khususnya kualiti kepimpinan jamaah) tidak seharusnya dikompromikan. Justeru, pemimpin adalah imej gerakan/jamaah keseluruhannya. Kerana itu kepimpinan Jamaah harus memiliki sejumlah kriteria keunggulan terutama keperibadian yang inspiring, integriti moral dan ketaatan beragama, kompetensi keilmuan yang tinggi, kemampuan mengartikulasikan fikrah dan gagasan keislaman dengan petah, indah dan meyakinkan; juga ketrampilan berorganisasi termasuk kemampuan menjadi problem solver.

Kepimpinan gerakan ini harus kaya dengan idea dan gagasan. Peranan tradisi gerakan ini sebagai opinion leader perlu dipertahankan. Demikian juga dengan peranan kepeloporannya dalam menghasilkan gagasan-gagasan baru seperti konsep pembangunan, pendidikan bersepadu, Islam dan masyarakat majmuk dan lain-lain lagi. Dalam konteks hari ini seharusnya kita mampu memasyarakatkan gagasan-gagasan yang kemaskini seperti Islam dan pluraliti, pendidikan demokrasi, ekonomi kerakyatan, pendidikan liberatif dan seumpamanya. Gagasan-gagasan besar ini tidak hanya untuk diwacanakan sesama sendiri, tetapi harus diangkat menjadi wacana nasional dan seterusnya diarusperdanakan

Kehadiran kita selama ini bukan sekadar bak melukut di tepi gantang, tetapi sebagai suatu kekuatan, sebagai a formidable force. Kekuatan ini harus dipertahankan dan ditingkatkan. Justeru, ada ketikanya kita perlu berbicara dan bertindak dengan kekuatan. Hanya dengan memiliki kekuatan yang secukupnya kita dapat berperanan sebagai agen perubahan, sebagai kekuatan pengimbang, sebagai jambatan dan sebagai kekuatan penentu.

Kegiatan pendakwahan yang selama ini menjadi core business kita perlu ditinjau semula keintensifan dan keberkesanannya terutama dalam konteks krisis moral akibat keleluasaan budaya hiburan dan kegiatan maksiat. Dalam kaitan inilah timbulnya kewajaran melihat kemungkinan memanfaatkan keanggotaan gerakan ini dalam Majlis-Majlis Belia untuk meningkatkan gerakan mendidik dan membina generasi muda umat dengan budaya ilmu dan nilai-nilai keagamaan.

Memang banyak yang memerlukan tinjauan semula, termasuk institusi-institusi pendidikan yang telah kita bangunkan sebagai memenuhi tuntutan dakwah bi ‘l-hal dengan menawarkan alternatif keislaman atau al-bada’il al-Islamiyyah. Yang harus ditinjau semula adalah kerelevanannya dalam konteks masa kini, kualitinya sebagai program alternatif yang memakai label Islam. Institusi-institusi ini seharusnya berkembang kuantiti dan kualitinya, tidak membeku pada tahap eksperimental yang serba seadanya. Perlu diambil ingatan bahawa pihak-pihak lain telah juga telah mendirikan institusi-institusi yang hampir sama, yang kualitinya mungkin lebih baik.

Konsolidasi Dalaman

Keperluan semerta yang paling mendesak adalah konsolidasi dalaman, pemantapan dan pemapanan rangkaian jamaah yang telah kita bina dengan susah-payah. Untuk tujuan itu langkah-langkah yang perlu segera diambil harus meliputi:

Pengukuhan institusi syura.

Pemantapan amalan qiyadah jama`iyyah dan budaya amal jama`iy

Penegasan sikap menolak gejala pemecahan jama`ah (splinter group)

Pengemaskinian skema tarbiyah harakiyah jama`iyah dan pelestarian tradisi belajar bersama.

Penyegaran nilai-nilai luhur perjuangan: keikhlasan, persaudaraan, kasih-sayang dst.


MUZAKARAH QIYADAH 2

30 JANUARI 2010

No comments: