Sunday, July 11, 2010

Model Politik Baru

Akhbar Sinar Harian pada hari ini membuat liputan beberapa mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO yang dirasmikan oleh tokoh-tokoh tertentu. Bagi menyatakan kepentingan liputan itu maka di muka surat hadapan tertera tajuk yang dibesarkan saiz fontnya “Serang Bukan Bertahan”. UMNO kini perlu bertindak dalam corak “offensive” (menyerang) bukan lagi “defensive” (bertahan) apabila berhadapan isu-isu yang ditimbulkan oleh pembangkang. Kata-kata ini adalah penegasan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin. Tan Sri Muhyiddin turut mengatakan; “Kita perlu membaiki persepsi. Adalah penting untuk kita tunjukkan parti adalah kuat, hubungan kita dengan parti komponen juga kukuh. Ini belum dapat kita selesaikan sepenuhnya lagi kerana masih ada parti komponen yang masih dalam proses pengukukuhan.”.

Datuk Seri Hishammudin Tun Hussain pula selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput berkata,”BN perlu melalui proses trasformasi untuk menjadi parti yang mewakili semua rakyat. Gagasan 1Malaysia akan bermula dari akar umbi…. Kita kena ubah cara lama, bentuk serta imejnya dengan beberapa pendekatan supaya dapat diterima rakyat.”

Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula dalam ucapan dalam perasmian persidang perwakilan UMNO Bahagian Kapar pula menyarankan, “ UMNO perlu mewujudkan lebih banyak pasukan sukarela bagi memastikan perjuangan parti sampai ke peringkat akar umbi. Langkah mewujudkan kumpulan sukarela akan membantu BN merampas kembali Selangor daripada pembangkang”

Datuk Ahmad Shabery selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar pula menyarankan diwujudkan model politik baru bagi mengantikan model politik lama yang berasaskan kepada pembahagian sektor mengikut kaum kepada model baru bersifat global, mengikut kesesuaian masa. Model Politik BN yang ada sekarang ini dibuat sebagai pengembangan model sebelum itu pada tahun 1973, selepas diperkenal Model Baru ekonomi yang dibuat berdasarkan kecermelangan dan merit. Oleh itu model politik harus dibaharui.

Inilah hebahan tokoh-tokoh besar ini bagaimanakah BN boleh memenangi pilihan raya ke 13. Ada yang masih menggunakan kerangka yang ada sekarang dan ada yang meminta diadakan trasformasi dan lebih berani lagi ialah meminta diadakan Model Politik Baru. Dengan bekerja pada kerangka yang ada sekarang ini apa yang diperlukan hanyalah berubah strategi daripada bersifat “defensive” kepada “offensive”. Mengadakan kumpulan-kumpulan sukarela yang bekerja di peringkat akar umbi. Saya kira dipihak yang meminta di adakan transformasi masih lagi bekerja dalam kerangka yang sama cuma yang diminta berubah cara, bentuk dan imej.

Idea yang berani ialah meminta diadakan Model Politik baru selaras dengan diperkenalkan Model Baru Ekonomi yang berasaskan kepada kecemerlangan dan merit.Saya berharap tokoh yang berkenaan dapat memberi perinciannya kelak.

No comments: