Sunday, April 10, 2011

Orang lain

Orang lain

Apabila saya meneliti perkembangan politik tanah air dari hari ke sehari maka semakin jelas kepada saya akan sifat orang Melayu yang begitu toleran. Tidak ada bangsa di dunia ini, pada anggaran saya, yang lebih toleran dari bangsa Melayu. Semenjak merdeka hinggalah ke hari ini orang-orang Melayu sentiasa mudah untuk bertolak ansur dan begitu cepat untuk mengalah dalam banyak situasi.

Sebut sajalah apa isu sekalipun, maka pasti satu perkara yang kita akan sentiasa dengar dari pemimpin Melayu, samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, ialah;

Apa orang lain fikir…?

Nanti orang lain akan silap faham…

Nanti orang lain akan terasa hati…

Nanti orang lain akan marah…

Nanti orang lain akan ambil tindakan…

Nanti orang lain… nanti orang lain… Begitulah nada seterusnya.

Hatta apabila nak bercakap pasal Islam pun, pemimpin Melayu akan sangat berhati-hati supaya ORANG LAIN tidak keliru. Tidak terkecuali juga pimpinan-pimpinan agama, samada mufti mahupun bekas mufti. Tidak pasti adakah populariti yang dicari atau lahir dari keikhlasan hati.

Lihat saja apa kenyataan pemimpin-pemimpin Melayu terhadap isu Bible, isu interlok, isu poco-poco, isu kalimah Allah, isu Ketuanan Melayu, isu ekonomi dan pelbagai isu lagi.

Saya teringat kes di mana seorang ADUN PAS cuba membasmi arak di Shah Alam, maka berlumba-lumba pemimpin Melayu lain mengkritik. Kononya Islam tidak sebegitu rupa. Kita kena berhikmah, jangan sampai ORANG LAIN menganggap Islam begitu sempit.

Benar, kita berada dalam masyarakat majmuk tetapi apakah itu bermakna kita langsung tidak boleh memperkatakan hak diri sendiri? Kenapa kita kena fikir hal ORANG LAIN, perasaan ORANG LAIN, ketakutan ORANG LAIN, sedangkan ORANG LAIN tidak pernah memikirkan nasib kita? Mereka sebaliknya amat berani memperjuangkan nasib bangsa mereka hingga ke peringkat antarabangsa. Seorang saja Menteri yang mereka ada sudah cukup untuk membisukan seluruh pimpinan Melayu samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, samada parti Islam mahupun parti separa Islam. Tangisan NGO Islam ditulikan tetapi kemarahan NGO bukan Islam pula digeruni. Pemimpin Melayu sanggup “sujud” kepada ORANG LAIN.

Semakin hari saya menjadi semakin keliru, kenapa orang Melayu kena fikir pasal ORANG LAIN? Tidakkah mereka mempunyai jatidiri lagi? Apakah logik kaum 18 juta terpaksa tunduk kepada kaum 7 juta?

Pimpinan Melayu bagi saya berjaya mengelirukan bangsa mereka sendiri; antara perkara yang prinsip tanpa toleransi dengan perkara teknikal yang boleh ditoleransikan. Sedangkan sejarah membuktikan ORANG LAIN tidak pernah dan tidak akan bertoleransi apabila menyentuh keutuhan bangsa mereka seperti dalam soal-soal pendidikan, budaya dan ekonomi. Mereka sanggup berkorban segalanya demi mepertahankan hak mereka.

Ketakutan yang amat sangat kepada ORANG LAIN membuatkan pemimpin Melayu sentiasa bersikap sebelum bercakap, mereka akan fikir dulu apa ORANG LAIN akan kata… baru mereka cakap. Sebelum buat kenyataan, mereka akan fikir dulu adakah ORANG LAIN akan setuju… baru mereka keluar kenyataan.

Saya tak pasti sejauh mana lagi pemimpin Melayu harus berfikir untuk ORANG LAIN dulu bukan nasib bangsa sendiri dulu.

Ini semua kerana pemimpin Melayu tidak bersatu. Alasannya amat senang, kerana pemimpin Melayu amat bimbang ia akan menjejaskan kedudukan politik mereka. Dogma yang mengatakan ORANG LAIN menjadi penentu undi begitu kuat dilaungkan membuatkan hidung pemimpin Melayu senang ditarik ke sana dan ke mari. Mereka sudah hilang agenda perjuangan. Ya, sekali lagi saya tegaskan, mereka hilang agenda perjuangan.

Apakah nasib bangsa Melayu pada tahun 2020 nanti? Saya serahkan kepada pembaca untuk memikirkan.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

No comments: