Friday, October 29, 2021

 

Pembahagian kerusi Pakatan Harapan

Datuk Seri Anwar telah sahkan bahawa pembahagian kerusi antara komponen parti dalam Pakatan Harapan - PH sudah dimuktamadkan. Dengan ketiadaan Bersatu yang sebelum ini menjadi komponen Pakatan Harapan semasa PRU-14 dulu, semua parti komponen Pakatan Harapan ini mendapat ghanimah tambahan kerusi-kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada Bersatu.

Menurut penganalisa politik Dr. Azmi Hassan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Melaka lebih mudah diselesaikan kerana mereka mempunyai lebihan enam kerusi yang ditandingi oleh BERSATU sebelum ini. Jadi bukan masalah besar kerana "perebutan" hanya terhad kepada kerusi Dewan Undangan Negeri berkenaan.

Dalam pembahagian kerusi tersebut, Pakatan Harapan memberi kepada DAP lapan buah kerusi, PKR 11 dan Amanah sembilan buah kerusi untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Ngeri Melaka yang akan diadakan pada November depan.

Pada PRU-14 lalu, DAP bertanding dan memenangi semua kerusi yang ditandinginya di DUN Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban. Jadi bagi DAP tiada kerusi tambahan yang diperolehi walaupun pernah menyuarakan kepada media untuk diberi.

Azmi berkata, permintaan parti komponen PH untuk menambah kerusi adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik walaupun mereka tahu ia mungkin tidak berjaya.

Datuk Seri Anwar juga menyatakan Pakatan Harapan memutuskan untuk menyertai pilihan raya negeri di Melaka pada bulan depan dengan menggunakan lambang gabungan tersebut iaitu logo Harapan. Bagi Liew Chin Tong orang kuat DAP, pengundi akan melihatnya sebagai satu pasukan yang bersatu padu, berkesinambungan, dan meyakinkan sehingga PRU akan datang.

Pada PRU-14 lalu, PH bertanding 28 buah kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka (DAP lapan, BERSATU enam, PKR lapan, AMANAH enam ) dan memenangi 15 buah kerusi (DAP lapan, BERSATU dua, PKR tiga dan AMANAH dua) . BN bertanding 28 kerusi (UMNO bertanding 18 kerusi, MIC satu dan MCA Sembilan buah kerusi)  dan  Barisan Nasional memenangi 13 buah kerusi (Umno 13), Pas bertanding 24 buah kerusi dan kalah semua.

Bagaimanapun sebelum kerajaan Melaka dibubarkan, Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas, manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). Bermakna dalam proses lompat melompat, sokong menyokong Pakatan Harapan telah kehilangan 4 buah kerusi yang dimenangi mereka dalam PRU ke 14 lepas  iaitu satu kerusi daripada PKR, dua kerusi daripada BERSATU dan Satu kerusi daripada DAP.

PAS tidak memenangi apa-apa kerusi pun pada PRU -14 lalu. Tetapi perlu diingat PAS dapat secara agregat 10.78 % undi. jika di lihat pada data ini PAS mempunyai lebih kurang 10 peratus penyokong tegar mereka di Melaka yang boleh digunakan untuk menyokong mana-mana calon.


No comments: