Thursday, October 28, 2021

Antara keyakinan jika tersalah urus Maut - PRN Melaka 

Barisan Nasional - BN melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri Melaka semalam (27/10/21).  Hampir 5,000 orang dikatakan hadir. Hasilnya pada keesokan harinya Pejabat Kesihatan Kepong mengenakan kompaun RM 10,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika melancarkan jentera bagi Pilihan Raya Negeri Melaka.

Sebelum itu orang ramai yang mengikuti pelancaran itu secara atas talian, ramai yang tidak puas hati kerana ada pelanggaran terhadap SOP. Adakah jumlah kompaun yang dikenakan itu  akan memberi peringatan dan tidak akan berulang lagi kesalahan yang sama. Sebelum itu, Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan dengan Pilihan raya Melaka termasuk pelancaran jentera bermula 24 Oktober sehingga 27 November depan. 

Yang Jelas Barisan Nasional telah memukul "gendang perang." Mereka akan mengerah seluruh pelusuk Malaysia tenaga-tenaga bagi membantu Pilihan Raya Negeri Melaka ini.  Berdasarkan pengalaman kejayaan Pilihan Kecil yang diadakan sebelum ini dan Pilihan Raya Negeri Sabah, Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional menyatakan keyakinan beliau bahawa satu perubahan luar biasa akan berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Melaka ini.

Keyakinan Zahid ini berasaskan keyakinan bahawa menurut kaji selidik yang dilakukan oleh pihaknya, rata-rata responden menyebut bahawa berlaku penyesalan apabila membuat penolakan calon BN pada PRU-14.  Justeru beliau yakin trend di Melaka pada PRU-14 akan berubah dan akan kembali menyokong Barisan Nasional demi kestabilan politik dan keharmonian negeri berkenaan.

Zahid juga berkata Barisan Nasional akan melakukan perubahan besar dengan meletakan calon-calon baru dan muda pada Pilihan Raya Melaka bulan depan. Calon mesti ada sifat wali iaitu winnable (menang), acceptance (diterima) dan likeable(disukai).

Beliau menjelaskan sifat wali yang beliau maksudkan ialah seorang yang mempunyai ilmu yang boleh diterima oleh semua agama, kaum dan keturunan di Melaka.

Dalam ucapan dalam majlis yang sama, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan juga Timbalan Presiden UMNO mensifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah cermin bagi PRU-15 nanti, ianya adalah ukuran prestasi yang bertembung antara 'ajal dan maut' jika tidak diurus dengan baik maut menanti.

"PRN Melaka amat penting kepada parti kita, ia ukuran prestasi untuk hadapi PRU15, bertembung antara 'ajal dan maut'.

"Jika tidak betul urus, maut menanti," katanya ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka malam tadi.

Bukan nak tubuh kerajaan Melayu Islam'

Dalam pada itu, Mohamad berkata Melaka adalah kubu kuat Umno dan ramai mahu melihat parti itu kecundang dalam pilihan raya negeri itu.

"Orang nak lihat kita kecundang di Melaka, banyak orang nak kuburkan kita di Melaka.

"Kita lihat siapa yang nak ditalkinkan dan dikuburkan di Melaka," katanya lagi.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut mengajak rakan komponen BN supaya bergerak sebagai satu pasukan, sambil mengingatkan hasrat gabungan itu bukan untuk menubuhkan kerajaan 'Melayu dan Islam'.

"Kita bukan nak tubuh kerajaan Melayu, bukan kerajaan Islam, kita nak tubuh kerajaan BN yang berbilang bangsa," tambahnya.


No comments: