Sunday, April 2, 2023

 

Terusan di Venice kering, Itali mungkin alami kemarau musim sejuk

Agensi
Terusan di Venice kering, Itali mungkin alami kemarau musim sejuk
Sebuah gondola tidak digunakan di terusan kering di Venice. - AP Photo/Luigi Costantini
VENICE: Cuaca sejuk dan kering selama berminggu-minggu menimbulkan kebimbangan bahawa Itali mungkin akan mengalami kemarau musim sejuk, dengan kawasan pergunungan Alps hanya menerima kurang separuh daripada salji biasa.
Saintis dan aktivis alam sekitar memberi amaran itu ketika Venice, sebuah bandar di mana banjir biasanya menjadi kebimbangan utama, menghadapi keadaan air surut luar biasa yang menyebabkan gondola dan water cab tidak dapat digunakan melalui terusan.
Beberapa faktor dikesan menjadi punca antaranya kekurangan hujan, sistem tekanan tinggi, bulan penuh dan arus laut.
Po, sungai terpanjang di Itali yang mengalir dari Alps di barat laut ke Adriatik, didapati kurang 61 peratus air daripada biasa pada tahun ini, kata saintis dalam satu kenyataan.
Julai tahun lalu, Itali mengisytiharkan darurat di kawasan sekitar Po, yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada pengeluaran pertanian negara itu selepas kemarau paling teruk dalam tempoh 70 tahun.
Kami berada dalam situasi defisit air yang telah meningkat sejak musim sejuk 2020-2021," kata pakar iklim, Massimiliano Pasqui, dari institut penyelidikan saintifik Itali CNR, kepada media tempatan.
"Kami perlu 500 milimeter air di wilayah barat laut, kira-kira 50 hari hujan," tambahnya.
Paras air di Tasik Garda di utara Itali telah jatuh ke paras terendah, membolehkan orang ramai sampai ke pulau kecil San Biagio melalui laluan yang terdedah.
Ramalan cuaca terkini walau bagaimanapun menunjukkan hujan dan salji mungkin akan turun dalam beberapa hari lagi.
Kemarau musim sejuk merujuk kepada keadaan iklim sejuk kering lantaran tidak menerima jumlah hujan yang mencukupi, atau salji tidak terbentuk dengan banyak walaupun sudah mencapai suhu yang sepatutnya. Keadaan itu juga menyusutkan komposisi air dalam tanah, lalu menjadikan tanaman tidak mampu bertahan hidup.

No comments: