Monday, September 8, 2008

Legasi A Samad Ismail

(Cabutan daripada tulisan Abdul Shukur Harun, HARAKAH 8-11 September, 2008 bil 1373.)

Tan Sri A. Samad Ismail meninggalkan dunia pada 5.58 petang 4 September 2008.
Beliau dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924. Mendapat kelulusan Senior Cambridge lalu terus bekerja sebagai pemberita di Utusan Melayu Singapura sehinggalah memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarang Utusan membantu Almarhum Tun Yusuf Ishak (Presiden Republik Singapura yang pertama). Apabila berlaku krisis di Utusan beliau ditukarkan ke Jakarta pada tahun 1957, sebagai wakil Utusan di sana.
Beliau hanya pulang ke Malaya pada 1958 dan tidak bertugas dengan Utusan kemudian beliau dipanggil untuk memimpin Berita Harian Singapura. Beliau kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur dan menjadi Pengarang Berita Harian Malaysia disamping menjadi penolong kanan kepada Ketua Pengarang NST, Tan Si Lee Siew Yee, sehinggalah beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang NST merangkap Managing Editornya.
Almarhum juga pernah disumbat ke dalam penjara. Pertama pada tahun 1945 ketika British kembali berkuasa di Singapura kerana pejuangannya menentang penjajah British. Kedua daripada tahun 1951 sehingga 1953 oleh penjajah British juga. Selepas merdeka pada tahun 1976 sehingga 1981 di tahan di bawah ISA kerana di dituduh bersubahat dengan kegiatan komunis walaupun beliau menafikan sekeras-kerasnya. Tangkap ini lebih terkenal sebagai tangkapan tiga Abdul.
Bersama-sama dengan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Dr. Burhanudin Al-Helmy, Ahmad boestamam, Ibrahim Yakub dan lain-lain pejuang yang gigih telah menentang penjajahan British dan Jepun.
Bersama-sama dengan Keris Mas, Uthman Awang, Asaf, Cikgu Arif (Mas), Masuri SN dan lain-lain mengasaskan Angkatan Sasterawan '50 (Asas 50) berslogankan 'Seni Untuk Masyarakat" sebuah organisasi sastera yang telah dengan jayanya melakar sejarah penting, di mana secara aktif, melalui karya mereka telah meniupkan semangat perjuangan kemerdekaan, di samping membela kaum tertindas dan berjuang menegakkan keadilan sosial.

No comments: