Saturday, September 6, 2008

Sunday, September 07, 2008

HORMATILAH SUARA HATI MELAYU DAN ISLAM
Ruhanie Ahmad

Kali ini kita berpuasa dalam suasana maruah orang Melayu dan umat Islam sedang diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak tertentu akibat mainan politik segelintir pembesar Melayu sendiri, khususnya pembesar utama UMNO.

Akibat pendirian yang takut kehilangan sokongan bukan Melayu di era pasca PRU12, segelintir pembesar Melayu ini seolah-olah lupa bahawa power-base mereka adalah Melayu, terutamanya UMNO.

Bila orang Melayu, umat Islam dan UMNO menyuara dan membicarakan hakikat dan kebenaran sejarah yang menyentuh entik lain di negara ini, kelompok pembesar ini pun memaksa orang Melayu, umat Islam dan UMNO memohon maaf.

Tapi, bila entik lain melemparkan tuduhan semberono terhadap orang Melayu, umat Islam dan UMNO, pembesar ini pula tidak menuntut mereka memohon maaf.

Kita ambil contoh Hindraf. Akhir tahun 2007, NGO tidak berdaftar ini mengheret Malaysia dan UMNO ke pelantar antarabangsa dengan tuduhan amat serius – kononnya UMNO melakukan pembersihan etnik keturunan India dan Perlembagaan Persekutuan kononnya menindas entik bukan Melayu di Malaysia.

Pemimpin nombor satu Malaysia pun memberikan reaksinya – ini pengkhianatan of the highest order, katanya. Setakat itu saja. Lepas itu, apa yang telah terjadi kita semua pun tau. Kalau saya ulangi di sini, tentu saya akan dituduh sebagai menghasut.

Jiwa Nurani Melayu

Tapi, perlu saya tegaskan di sini bahawa apa yang terjadi selepas demonstrasi Hindraf itu memang amat menghiris sebilangan besar jiwa orang Melayu dan nurani umat Islam. Adakah pemimpin nombor satu Malaysia insaf akan hakikat ini?

Adakah pemimpin nombor satu Malaysia sedar bahawa cara dan tindakan kerajaan menangani Hindraf amat berbeza dengan cara kerajaan menangani demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu menjelang Ramadhan 2007?

Adakah beliau sedar, cara dan tindakan kerajaan menangani demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu tahun lalu, amat berbeza dengan cara kerajaan menangani bangkangan sekumpulan penternak babi di Melaka yang tergamak menginjak-injak bendera Malaysia dan melemparkan bom molotov kepada pihak penguatkuasa undang-undang kerajaan?

Mengapakah penternak babi yang terang-terang menginjak-injak bendera Malaysia di hadapan mata para pegawai kerajaan tidak di heret ke muka poengadilan? Mengapa pula sekumpulan anak muda Melayu yang hanya dituduh kononnya menginjak-injak dan membakar jalur gemilang di Kuala Terengganu diburu hingga ke lubang cacing?

Mengapakah penternak babi yang membaling molotov kepada pihak berkuasa kerajaan tidak diapa-apakan oleh pihak polis? Mengapakah polis tergamak melepaskan dua das tembakan dengan peluru hidup terhadap pendemonstrasi di Kuala Terengganu? Bagaimana agaknya jika tembakan itu mengakibatkan dua pemuda terbabit itu terbunuh?

Double Standard

Adakah beliau sedar bahawa cara dan tindakan kerajaan mengangi demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu pada September 2007 juga amat berbeza dengan cara dan tindakan kerajaan menangani demonstrasi membabitkan beribu-ribu kaum India di hadapan Pejabat PM di Putrajaya juga tahun lalu?

Mengapa jadi begini? Adakah bila umat Islam dan orang Melayu yang bertindak menyuarakan isi hati mereka terhadap kerajaan maka mereka boleh dilayani secara kasar dan diluar batas undang-undang?Adakah bila rakyat bukan Melayu bertindak menyuarakan isi hati mereka yang mengguris jiwa orang Melayu dan umat Islam perlu dilayani secara lembut kerana takut tindakan keras akan menjejaskan status quo sokongan mereka terhadap kerajaan?

Saya imbas semula insiden-insiden di atas untuk membangkitkan soal pokok dan prinsip, iaitu mengapakah kerajaan seolah-olah tidak adil terhadap orang Melayu dan umat Islam di bumi ini mutakhir ini? Dan, mengapakah kerajaan mutakhir ini amat berlembut dan cukup bertoleransi terhadap bukan Melayu yang mempertikaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan?

Apa yang saya tegaskan di atas bukan mempersoalkan tindakan polis. Ini kerana polis hanya ikut arahan kerajaan. Apa yang saya persoalkan ialah tindakan kerajaan yang double standard terhadap Melayu dan bukan Melayu kebelakangan ini.

Bukan Hasutan

Jadi, ini bukan suara hasutan. Ini suara yang mencari kedailan dan kebenaran bagi pihak orang Melayu dan umat Islam yang kebelakangan ini seolah-olah jadi warganegara kelas ketiga di tanahairnya sendiri.

Soal ini juga saya lahirkan sewaktu kita menjalani ibadat puasa kerana ibadat ini juga yang mendorong saya untuk terus mencari kebenaran dan keadilan untuk orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, orang Melayu dan umat Islam tidak tergamak membawa kemarahan mereka ke jalanraya seperti warga Thailand mutakhir ini. Sebab itulah mereka rela membekam kemarahan itu di jiwa masing-masing secara senyap. Tetapi, bukankah akhirnya terbukti bahawa segolongan orang Melayu dan umat Islam telah meleraikan kemarahan itu secara demokratik menerusi peti undi baru-baru ini?

Mingguan Malaysia 7 September 2008, memetik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata di Pulau Pinang pada 6 September 2008, bahawa “semua pihak” tidak wajar mensensasikan isu sensitif sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak senang hati di kalangan kaum di negara ini.

Menurut Abdullah, perkara yang berkaitan dengan agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia akan menyebabkan kaum-kaum berkenaan berasa bahawa sensitiviti mereka diketepikan.

Punca Keresahan

“Saya ingin menyatakan bahawa kebelakangan ini saya lihat perkara berkaitan dengan kaum sudah menjadi perkara yang menimbulkan keresahan dan rasa tidak senang hati di antara kaum-kaum yang ada di negara kita sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

“Apa yang berlaku itu kononnya adalah kebebasan untuk bercakap dan menyuarakan pandangan sesuka hati mengikut apa yang dirasai oleh orang berkenaan, ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Saya ucapkan syabas kepada Abdullah kerana akhirnya beliau seolah-olah jadi insaf dan tegas. Tapi, bukankah ini sudah terlambat? Bukankah kelambatan ini menjadi sebahagian punca keresahan orang Melayu dan umat Islam mutakhir ini?

Saya desak Abdullah berterus-terang, pihak manakah yang kebelakangan ini banyak mempersoalkan isu “agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman”?

Saya juga desak Abdullah berikan jawapan, tidak adilkah jika orang Melayu dan umat Islam menangkis seluruh suara yang membabitkan “agama, kontrak sosial atau perkauman”? Mengapa tidak boleh? Kerana kerajaan takut hilang sokongan pihak berkenaan walaupun mereka sudah gagal memelihara sensitiviti Malaysia?

Jika inilah hakikatnya, di manakah keadilannya kepada orang Melayu dan umat Islam? Adakah adil bila hanya orang Melayu dan umat Islam sahaja yang diminta untuk membisukan suara, hati dan perasaan mereka buat selama-lamanya?

Posted by kudakepang at 3:23 AM

No comments: