Sunday, March 6, 2011

MELAYU BAHASA NUSANTARA

Monday, December 21, 2009
MELAYU BAHASA NUSANTARA
SN A. SAMAD SAID MELANCARKAN 5 BUKU SITI ZAINON ISMAIL dari http://sanusijunid.blogspot.com/2009/12/melayu-bahasa-nusantara.html

1. Pada hari Ahad 20 Disember, 2009 yang baru lalu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said telah melancarkan 5 buah buku karangan Cut Nyak Fakinah Siti Zainon Ismail sempena genapnya 60 tahun umur Siti Zainon pada 18 Disember, 2009. Nama-nama bukunya ialah: i) Pakaian Cara Melayu, ii) Bait Senandung Malam, iii) Memasuki Taman Puisi, iv) Delima Ranting Senja dan v) Aceh - Suara Dari Hujung Tambak. Majlis ini diadakan di Rumah Tamu Jeumpa D'Ramo di Bangsar, Kuala Lumpur.

2. Siti Zainon adalah seorang penulis yang gigih dan juga seorang pelukis. Setakat ini Siti Zainon sudah menulis 45 buah buku. Beliau adalah seorang dari 6 penulis yang melukis di negara ini. Selainnya ialah Latif Mohidin, A. Ghafar Ibrahim, Prof. Dr. Zakaria Ali, Ahmad Kamal Abdullah ( Kemala ) dan Datuk A. Samad Said.

3. Prof. Dr. Zakaria, A. Ghafar Ibrahim telah hadir dalam majlis kelmarin. Turut hadir ialah pelukis terkenal Syed Ahmad Jamal, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dato' Turmuzi Abdul Aziz, Pengarah Eksekutif Utusan Publications Dr Ahmad Hairi Abu Bakar, Editor Kanan Utusan Publications Puan Nor Azah Abd. Aziz. Pengerusi majlis ialah Sdr. Ismail Hahim seorang Penulis dari Akhbar Siasah dan Puan Haslina Usman, puteri Sasterawan Negara Usman Awang, mendeklamasikan sajak untuk Siti Zainon.

4. Dari seberang pula turut hadir dalam majlis pelancaran buku-buku Siti Zainon ini ialah Tan Sri Dato' Paduka Mayor Jend. (B) Abd. Rahman Ramli mantan Duta Indonesia di Amerika Syarikat dan Presiden Direktor Pertamina di Indonesia. Mayor Jend. (B) Abd. Rahman adalah antara beberapa orang tokoh atasan dalam angkatan tentera Republik Indonesia yang membantu dalam usaha menamatkan konfrantasi Soekarno terhadap Malaysia. Beliau bersama isteri, anak, cucu dan menantunya Kolonel Fadjar Prasetyo yang baru memegang jawatan Atase Angkatan Udara di Kedutaan Republik Indonesia, Kuala Lumpur telah turut menghayati diskusi buku-buku karya Siti Zainon.

5. Juga hadir dalam majlis mera'ikan Siti Zainon ini ialah Tuan Syed Umar Al Sagaf seorang usahawan terkenal dari Jakarta dan isterinya Tjut Elli, Pemimpin Wanita Aceh di Taman Iskandar Muda, Jakarta.

6. Kerana mengetahui SN Datuk A. Samad Said ialah suami Datin Rashidah Teungku Mohd Dahan dan beliau juga adalah pejuang Bahasa Melayu dan sahabat Pak Sako ( Ishak Hj. Muhammad ) dan Ahmad Boestamam ( Pengasas Parti Buruh ) maka saya telah menceritakan satu babak dalam sejarah Nusantara yang menghubungkan keluarga isterinya, sahabat-sahabatnya dan bahasa Melayu yang diperjuangkannya.

7. Satelah Jepun tewas dalam perang dunia kedua pihak Belanda telah kembali ke Indonesia untuk meneruskan penjajahannya. Pada waktu itulah Ahmad Soekarno dan Muhammad Hatta ( kemudiannya menjadi Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia ) telah mengadakan pertemuan dengan Belanda di Surabaya untuk menyatakan hasrat mereka untuk memperjuangkan kemerdekaan Indonesia.

8. Pihak Belanda telah menolak permintaan Soekarno Hatta ini atas alasan rakyat Indonesia tidak mahukan kemerdekaan yang terbukti dengan cara sambutan hangat mereka menerima kembalinya Belanda sepeninggalan Jepun. Soekarno Hatta telah mendakwa bahawa penerimaan hangat rakyat Indonesia atas kepulangan Belanda itu bukanlah kerana sayang rakyat Indonesia kepada Belanda tetapi kerana benci kepada Jepun.

9. Pihak Belanda telah menayangkan filem dokumentari yang menunjukkan betapa sayangnya rakyat Indonesia yang berpeluk-cium dengan Belanda setiba mereka di lapangan terbang serata kota di kepulauan Indonesia di waktu Belanda sampai.

10. Untuk menolak dakwaan Belanda yang menyatakan semua rakyat Indonesia sayangkan mereka pihak Soekarno Hatta telah meminta Belanda menayangkan filem menunjukkan suasana apabila Belanda sampai di Aceh. Sebagai membalas hujjah Soekarno Hatta Belanda telah menyatakan kepada Soekarno Hatta bahawa mereka akan membenarkan Aceh untuk merdeka. Apabila mendengar rancangan Belanda ini maka Soekarno Hatta pun membuat keputusan untuk pergi ke Aceh. Dalam perjalanan ke Aceh mereka telah singgah di Taiping, Perak.

11. Di Taiping Soekarno dan Hatta telah berjumpa dengan Ibrahim Yaakob, Ishak Hj. Muhamad ( Pak Sako ), Burhanuddin Al Helmi ( pengasas PAS ), dan Ahmad Boestamam sebagai tokoh-tokoh politik Malaya yang berketurunan Indonesia. Kepada mereka Soekarno dan Hatta telah menyatakan rancangan penubuhan Melayu Raya iaitu satu wadah yang menyatukan alam Melayu di Nusansata yang merangkumi Selatan Thailand, Malaya, Singapura, Brunei, Mindanao, Sabah, Sarawak dan Indonesia.

12. Melayu Raya akan menyatukan Rumpun Melayu. Kerana tujuan inilah maka Bahasa Melayu telah dipilih untuk menjadi Bahasa Indonesia. Jika Indonesia itu hendak dibataskan kepada wilayah yang ada sekarang ini, dengan majoriti rakyat berbahasa Jawa, maka sudah tentu bahasa Jawa menjadi Bahasa Indonesia. Untuk mewujudkan Melayu Raya inilah maka Aceh perlu berada bersama di dalam Indonesia sehinggalah berjaya perjuangan mewujudkan Melayu Raya. Dalam perjumpaan di Taiping Soekarno dan Hatta telah berpesan kepada tokoh-tokoh PKMM ( Perubuhan Kebangsaan Melayu Malaya ) supaya terus membakar semangat kemerdekaan tetapi menolak apa-apa rancangan untuk memerdekakan Malaya secara bersendirian di luar Melayu Raya.

13. Apabila selesai perjumpaan di Taiping Soekarno dan Hatta telah berangkat dengan pesawat ke Aceh untuk bertemu dengan pemimpin Aceh, dari kalangan ulama, di Kotaraja ( kini Banda Aceh ). Mereka telah bertemu dengan Teungku Muhammad Daud Beureueh, Teungku Haji Hasballah Indrapuri, Teungku Haji Hasan Krueng Kale dan Teungku Haji Jakfar Siddiq Lamjabat untuk meminta Aceh supaya tidak berada di luar Indonesia dan menolak saranan Belanda untuk Aceh berdiri sebagai sebuah negara merdeka.

14. Oleh kerana Aceh menyokong wadah Melayu Raya atau Indonesia Raya inilah maka kini Aceh berada di dalam Indonesia. Aceh menerima baik keikhlasan Soekarno Hatta kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Indonesia sebagai persiapan untuk Bahasa Melayu menjadi bahasa yang akan menyatupadukan bangsa Melayu di dalam Melayu Raya. Aceh bersetuju menjadi sebahagian dari Indonesia apabila Soekarno Hatta bersetuju, di dalam pertemuan di Kotaraja itu, untuk: i) menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara Islam, ii) memberi hak istimewa otonomi ekonomi bagi Aceh supaya bebas berniaga dengan semua negara luar di seluruh dunia tanpa perlu izin dari Jakarta dan iii) Indonesia didirikan sebagai sebuah Negara Persekutuan dan bukan sebagai Negara Republik.

15. Kerana mungkirnya janji oleh Soekarno Hatta maka Aceh telah berperang dengan Indonesia di bawah Soekarno sehingga jatuh Soekarno dan diganti oleh Soeharto dan Aceh ( GAM ) berperang lagi dengan Indonesia sehingga datang bencana Tsunami.

( Bacalah para 7 hingga 17 dalam pos blog bertajuk MELAYU LAWAN MELAYU pada 16 Ogos, 2009 )

16. Hanya satu sahaja yang berjaya dari tujuan untuk mewujudkan Melayu atau Indonesia Raya iaitu Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu juga menjadi Bahasa Indonesia walaupun dengan berbagai variasi.

17. Salah seorang dari Ulama Aceh dalam perundingan dengan Soekarno Hatta ialah Teungku Hasballah Indrapuri abang kepada Teungku Muhamad Dahan iaitu bapa kepada Datin Rashidah isteri kepada SN Datuk Samad Said. Setelah memberi fatwa bersetuju Aceh berada dalam Indonesia Teungku Hasballah Indrapuri telah jatuh sakit dan dibawa ke Pulau Pinang untuk berubat. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan di makam keluarga di Setoi, Kampung Aceh, Yan, Kedah.

18. Selain persetujuan Aceh untuk menjadi sebahagian dari Indonesia, sebagai persiapan untuk mewujudkan Melayu Raya, sehingga Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Indonesia dan kemudiannya Bahasa Malaysia, tokoh-tokoh Aceh juga banyak memberi sumbangan kepada kemajuan Bahasa Melayu di Malaysia. Dr. Teuku Iskandar umpamanya ialah penyusun Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Yang Pertama. Di zaman revolusi, di waktu raja-raja telah banyak dibunuh, Raja Siak, sebagai raja sebuah wilayah yang pernah duduk di dalam Nanggroe Aceh, telah terselamat, kerana dilindungi oleh Teungku Muhammad Daud Beureueh di rumahnya di Sigli. Anak kepada Raja Siak inilah yang bernama Tengku Tun Syed Nasir Ismail yang pernah menjadi Pengerusi Pertama Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Speaker Dewan Rakyat Malaysia.

19. Usaha menyelaraskan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, demi perpaduan Rumpun Melayu telah terhenti sepeninggalan Tun Syed Nasir. Kini Tan Sri Professor Emiritus Pujangga Dr. Ismail Hussein, Ketua Satu Gapena masih menjadi Wira Pejuang Bahasa Melayu. Beliau adalah abang kepada Allahyarham Dato' Ibrahim Hussein, seorang pelukis Melayu bertaraf antarabangsa, dan adek Sasterawan Negara Dato' Abdullah Hussein. Mereka berasal dari Sigli di Aceh, sebuah kawasan yang bersempadan dengan Indrapuri.

20. Di Inderapuri pula terdapat sebuah masjid yang terdiri di atas sebuah kuil Hindu. Inilah kuil Hindu yang pertama di Tenggara Asia yang telah di ubah menjadi masjid sejak Islam mula masuk ke Aceh pada sekitar lebih 1,000 tahun yang lalu.

21. Sementara keluarga Teungku Hasballah Indrapuri telah menjadikan Kampung Aceh di Yan sebagai pusat pendidikan ugama Islam mulai abad ke 19, jauh lebih awal dari itu seorang Ulama Aceh yang berasal dari Arab, pada abad ke 12 pada tahun 1136, telah mengislamkan Maharaja Derba Kedua iaitu Raja ke 4 di Kedah yang berugama Hindu yang di beri nama Sultan Muzaffar Shah setelah memeluk ugama Islam.

22. Peminat sejarah bolehlah melancong ke Indrapuri di Aceh untuk melihat sebuah masjid yang pertama terletak di atas kuil Hindu dan melawat Lembah Bujang di Kedah untuk melihat tapak candi Hindu yang pertama di Asia Tenggara ( yang kedua, dan lebih besar, Borobudur di Jogjakarta Indonesia dan yang terbesar sekali Angkor Watt di Cambodia ). Dalam perjalanan ke Lembah Bujang boleh di dapati makam Sultan Muzaffar Shah tidak jauh dari pekan Merbok.

23. Dengan hubungan sejarah yang begitu rapat dan perkembangan bahasa dan ugama yang hebat di Nusantara tidak hairanlah kenapa Siti Zainon begitu terpikat kepada Aceh, dan banyak menulis mengenainya sehingga beliau di beri gelaran Cut Nyak Fakinah pada tahun 1990 oleh mantan Gabenor Aceh selaku Ulama yang menjadi Ketua Lembaga Adat dan Kebudayaan Aceh ( LAKA ) Prof. Ali Hasymi dalam satu majlis sempena pengucapan syahadah Harry Aveling @ Hafiz Arif yang juga diberi gelaran Orang Kaya Putih. Di waktu menyampaikan gelaran Cut Nyak Fakinah kepada Siti Zainon Almarhum Prof. Ali Hasymi telah memberi tanggung-jawab dan amanah kepada Siti Zainon untuk terus menulis dan mengembangkan seni warisan Aceh.

24. Sehingga kini Cut Nyak Fakinah Siti Zainon Ismail telah menerbitkan:

24.1 Kumpulan esei dalam buku 'Percikan Seni' terbitan tahun 1986

24.2 Sketsa / Puisi dalam 'Zikir Pelangi' terbitan tahun 1997

24.3 Puisi-puisi dalam 'Geulumbang Rayuek' terbitan tahun 2005

24.4 Novel 'Delima Ranting Senja' terbitan tahun 2009

24.5 Himpunan esei, kertas-kerja, cerpen, puisi dalam 'Aceh: Suara dari Hujung Tambak' terbitan tahun 2009

25. Sama-samalah kita do'akan kehadrat Allah s.w..t. semoga Cut Nyak Fakinah Siti Zainon Ismail akan terus bertenaga dan mampu berkarya untuk ugama dan Ummah.

No comments: