Posting ini saya ambil seratus peratus daripada blog Mohd Sayuti Omar
SAYA rasa bukan saja saya, orang lain juga terkejut dan 'terkanyak' dengan apa yang berlaku di Kota Bharu Kelantan pagi ini mengenai kenyataan atau luahan perasaan berapi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Saya berharap media massa salah lapor mengenai maksud dan kata-kata sebenar Tok Guruku Nik Aziz itu. Menurut laporan portal berita, beliau berkata sebagai Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa perlu letak jawatan sebagai timbalan presiden Pas dan ahli parlimen Bachok sekiranya Nasharudin masih berhasrat meneruskan rundingan dengan Umno.
"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," begitulah kata-kata Nik Aziz dipetik.
Saya harap ia salah lapor, iya... saya harap sangat-sangat ianya salah lapor dan satu provokasi saja.
Kalaulah benar begitu maksud Nik Aziz, saya kira ia satu kenyataan yang kurang manis dan sungguh malang sekali yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang tua bertaraf separuh wali berjawatan Mursyidul Am Pas. Kenyataan begitu sangat beremosi. Cara itu ialah tidak bijaksana dan berhemah sama sekali dan 'berkadas' dengan usianya.
Mengenang aksi Tok Guruku itu lakunya tidak ubah seperti tindakan seorang bapak menghalau anaknya keluar rumah kerana anaknya dikatakan nak bernikah dengan gadis yang tidak disukainya. Tindakan itu selalunya dilakukan oleh orang-orang zaman dulu yang kurang ilmu diplomasi dan rendah pula ilmu siasahnya.
Kenyataan itu tentulah melukai hati dan mengaibkan Nasharudin Mat Isa. Kenapa sampai ke begitu sekali Nik Aziz melepaskan kata-katanya? Besar mana kesalahan Nasharudin dan sebesar mana kuasa Nasharudin sebagai timbalan presiden Pas berbanding dengan kuasa dia sebagai Mursyidul Am? Nik Aziz nampak langsung tidak menghormati kepada perwakilan Pas yang memberi mandat kepada Nasharudin dalam muktamar lalu.
Media juga melaporkan Tok Guruku itu sebagai berkata, Pas Kelantan kesal kerana beri peluang kepada Nasharudin bertanding di Bachok dan menganggap Nasharudin sebagai sampah yang menyusahkan. Kenapa begitu sekali? Apakah tidak ada tindakan lain yang lebih lunak yang boleh dilakukan Nik Aziz selain meluahkan kata-kata itu?
Sekali lagi cara Nik Aziz itu tidak ubah seperti sikap seorang ayah yang terlalu marah kepada si anak sehingga mengungkit-ungkitkan sesuatu yang diberikan kepada anaknya. Apakah sikap begitu betul dan bijaksana dilakukan oleh seorang ayah? Di manakah kecerdikan dan pengalaman seorang bapa kalau menghembuskan kemarahan di tempat terbuka begitu?
Saya yakin sekiranya Tok Guruku memanggil Nasharudin dan bercerita secara baik meminta dia kosongkan kerusi Bachok, Nasharudin akan lakukan tanpa bersyarat. Demi penghormatannya kepada Mursyidul Am Pas dia akan berhenti. Tetapi apakah begitu caranya. Kenapa bila Ibrahim Ali 'poting' punggung Nik Aziz tidak sepatah haram pun mengecam Ibrahim Ali? Aneh!
Begitu juga kalau Nik Aziz panggil Nasharudin dan minta supaya dia serahkan jawatan timbalan presiden Pas kepada orang baju petak-petak merah, Nasharudin akan akur. Siapalah Nasharudin hendak menderhaka kepada Tok Guru. Tetapi kenapa Nik Aziz tidak berbuat begitu? Kenapa menyimpan marah dalam sekam? Walaupun beliau mengatakan kemarahan itu tidak ada kena mengena dengan kekalahan anak ayam didiknya itu, tetapi seluruh orang tahu. Itik ayam pun tahu apa yang berlaku.
Mungkin ada sebahagian orang di Kota Bharu suka dan gembira dengan hemburan guruh Nik Aziz itu. Mungkin ada yang memuji, "bagus Tok Guru..." atau berkata, "jangan main dengan tok guru kawe, dia tidak kira sapa, bila dia marah, bukit gunung pun dia akan sepak". Nasihat dan pujian itu rasanya tidak betul. Tok Guru perlu disejukkan bukan ditambah hangatkan dengan kata-kata berunsur hasutan begitu.
Saya malas ulas panjang dan mahu melihat perkembangan seterusnya apa yang berlaku. Saya juga malas nak kemukakan apa-apa penawar di sini. Biarlah semua orang mabuk gadong, kerana ada orang nak menonton bagaimana kalau orang-orang Pas mabuk gadong, jalannya terhunyung-hayang dan langkahnya akan 'peka'.
Yang jelasnya Umno bertepuk tangan melihat situasi dalam Pas kini. Umno tidak payah kerja keras lagi, musuh sudah berlaga sama sendiri. Api sudah makin marak, kibas saja. Mungkin kali ini rezeki Umno pula untuk menyapu Kelantan pada pilihan raya umum ke 13!
Dalam posting sebelum ini saya sudah berikan ingatan, jangan sampai Pas ada dua mazhab- "Mahzab Haji Hadi" dan "Mazhab Nik Aziz". Nampaknya apa yang saya bimbangkan itu sudah nak menjadi. Benih sudah mulai nak tumbuh.
Duhai ahli dan penyokong Pas, ramai-ramailah solat hajat minta selamatkan Pas. Berdoa dan bermunajatlah. Sebab kalau tidak kena gaya Pas mungkin akan berpecah dua. Mungkin satu lagi parti baru serpihan dari Pas akan wujud!
Iya.. saya sudah membayangi ini sejak beberapa bulan lalu. Berdoalah selagi masih ada waktu. Kita diminta berdoa.
Kepada Nasharudin Mat Isa banyak-banyaklah bersabar dan berdoa. Jangan terasa hati dengan apa yang Tok Guru kata. Anggaplah ianya nasihat berguna. Jangan sesekali melawan. Betapa kalau Nasharudin betul pun dan cuba jelaslah namun ia tidak akan dilihat baik lagi. Semua kebaikan dan kebagusan kepada Mursyidul Am sahaja.
Dan sekiranya difikirkan perlu, boleh dipertimbangkan permintaan Mursyidul Am Pas itu. Iya kalau orang sudah tidak sukakan kita, tunggu apa lagi. Sekiranya saya jadi Nasharudin saya akan serahkan surat mengosongkan kerusi parlimen Bachok kepada Nik Aziz. Sedarlah diri kita hanya menumpang belas kasihan di bumi orang. Nasharudin hanya dagang Pak Malau! Bila orang benci maka kita kena tahu bila masa kita perlu keluar dari rumah itu... semua orang memukul dan mengodam kita.
Kerusi timbalan presiden mungkin tidak perlu dikosongkan kerana kerusi itu ditentukan oleh ahli Pas. Apa yang perlu diingat kuasa memilih dalam parti antara ahli biasa di cawangan Kampung Tok Naga, Kuala Terengganu sama saja dengan undi seorang Mursyidul Am Pas. [jln pahang 3:00 pm 17/06/09]
Posted by mso.im at 2:54:00 PM 37 comments
Labels: CATATAN