Monday, July 6, 2009

Keadilan dan Meritokrasi

A. Kadir Jasin berhujah tentang meriktoraksi

Orang bukan Melayu dan sesetengah orang Melayu kini asyik bercakap mengenai keadilan sosial dan meritokrasi.

Bukankah kerana keadilan sosial dan meritokrasi di bawah DEB maka begitu ramai orang bukan Melayu mampu ke universiti-universiti ternama di dunia atas pembiayaan sendiri mengatasi bilangan Bumiputera yang dibiayai oleh Kerajaan?

Mengapakah apabila Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada Bumiputera, ia dituduh memberi tongkat, tetapi apabila bukan Bumiputera mendapat hak yang sama, ia dikatakan hak dan meritokrasi?

Apabila Bumiputera berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi?

Siapa yang memegang monopoli gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV satelit, lesen IPP dan kontrak berbilion ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah?

Dan berapa kerat tahu atau masih ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa “menyelamatkan” Malayan Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat, disingkirkan atas tuduhan melencongkan wang bank itu kepada syarikat persendiriannya di Singapura?

Begitulah juga dengan pengambilan oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang majoriti pelajarnya bukan Melayu, tiada siapa pun mengucapkan terima kasih atau bersungut?

Hari ini, ada 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tersenarai dalam laman web rasmi Kementerian Pengajian Tinggi, tidak termasuk 24 politeknik. Bilangan IPT swasta yang disenaraikan berjumlah 450 – ya, 450.

Dengan pengambilan bukan Bumiputera yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli oleh bukan Bumiputera, adalah tidak mustahil dalam masa yang singkat pengajian di IPT akan didominasi oleh bukan Bumiputera.

Soal pokoknya adakah situasi berat sebelah yang memihak kepada kaum-kaum minoriti ini menyokong pemulihan Umno dan pembentukan 1Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur?

Sudah lupa yang sejahtera, aman dan makmur itu adalah cogan kata manifesto BN tahun lalu?

Dan apakah sudah dikaji dan difahami implikasi sistem biasiswa dua tingkat (two-tier) kepada nisbah kemasukan dan prestasi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera ke IPT?

No comments: