Antara Karya hebat AL Ghazali Tahafut al-Falasifah (Kekeliruan Ahli Falsafah)
Buku ini antara buku terkenal yang ditulis pada tahun 1095 . Karya ini salah satu teks kritikal dalam sejarah falsafah Islam dan memainkan peranan besar dalam mengubah arus perdebatan antara falsafah teologi dalam dunia Islam.
Latar Belakang Penulisan
Al Ghazali menulis Tahafut al-Falasifah dalam konteks karya Aristotle dan Plato telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan mempengaruhi banyak pemikir Islam seperti Al Farabi dan Ibn Sina (Avicenna). Ahli falsafah ini cuba menyelaraskan ajaran Islam dengan falsafah Greek dan ramai yang berpendapat falsafah dapat memberikan kebenaran tentang alam semesta dan kewujudan Tuhan.
Al Ghazali melihat pendekatan yang diambil itu bahaya dan beliau rasakan bahawa falsafah boleh membawa kepada penyimpangan dari ajaran Islam yag murni. Oleh itu Tahafut al-Falsafah adalah serangan yang AL Ghazali lakukan terhadap ahli falsafah yang cuba menggabungkan falsafah Greek dengan Islam.
Struktur Karya
Al Ghazali mengemukan 20 permasalahan atau isu utama sebagai kesalahan yang serius dalam falsafah yang dipelopori oleh para ahli falsafah Islam seperti Al-Farabi dan Ibnu Sina. Isu-isu itu berkaitan dengan pelbagai bidang seperti metafizik, teologi, kosmologi dan epistemology.
Al Gahzali membahagikan isu-isu ini kepada tiga kategori utama:
1. Isu yang dianggap sebagai kekufuran:
Al Ghazali menuduh ahli falsafah melakukan kesalahan dalam tiga perkara utama :
1. Kepercayaan bahawa alam semsta tidak diciptakan dari ketiadaan (qidam al-alam atau keazalian alam semesta )
2. Kepercayaan bahawa Tuhan hanya mengetahui perkara-perkara umum dan tidak mengetahui perkara khusus.
3. Kepercayaan bahawa kebangkitan jasmani selepas kematian tidak berlaku dan hanya jiwa yang akan terus wujud.
2. Isu yang dianggap bidaah.
Dalam beberapa permasalahan, ahli falsafah Islam dituduh menyimpang dari ajaran Islam yang diterima. Ini termasuk perbahasan mengenai hubungan sebab akibat, kewujudan malaikat dan pengaruh-pengaruh bintang terhadap manusia.
3. Isu yang dianggap sebagai salah faham dalam logik dan metafizik.
Dalam bahagian ini AL Ghazali mengkritik pelbagai konsep metafizik seperti definasi kewujudan, konsep kewajiban dan kemungkinan, serta pemahaman mereka terhadap hukum sebab dan akibat.
Kritikan AL Ghazali Terhadap Falsafah
1. Keazalian Alam Semesta: Al Ghazali menentang pandangan bahawa alam semesta tidak dicipta oleh Tuhan dan wujud secara kekal. Beliau berpendapat bahawa alam semesta diciptakan oleh Tuhan pada waktu tertentu dan hanya Tuhan yang kekal. Ini adalah pandanan yang selaras dengan ajaran agama Islam.
2. Pengetahuan Tuhan : Al Ghazali menolak pandangan ahli falsafah bahawa Tuhan hanya mengetahui perkara-perkara umum dan tidak terlibat dalam perincian spesifik setiap makhluk. Beliau menegaskan bahawa Tuhan mengetahui segala-galanya, baik yang umum mahupun yang khusus dan ini adalah sebahagian daripada keesaan dan kekuasaan Tuhan.
3. Kebangkitan Badan :
AL Ghazali juga mengkritik pandangan bahawa kebangkitan selepas mati hanya melibatkan jiwa. Beliau menekankan bahawa kebangkitan adalah fizikal dan melibatkan badan dan jiwa seperti yang diajarkan dalam Al Quran dan Hadis.
4. Hukum Sebab Akibat
Ghazali menolak konsep sebab dan akibat yang dipegang oleh ahli falsafah, di mana mereka percaya bahawa sebab-sebab semula jadi berlaku secara automatik kerana campur tangan Tuhan. Al Ghazali berpendapat bahawa Tuhan adalah sumber utama setiap peristiwa dan tiada yang berlaku tanpa kehendak-Nya. Dalam pandangan ini, sebab dan akibat hanyalah kebiasaan yang ditetapkan oleh Tuhan, bukan suatu hukum yang bersifat mutlak.
Kesan dan Pengaruh
Tahafut al-Falasifah menjadi karya yang sangat berpengaruh dalam sejarah pemikiran Islam. Kritik Al Ghazali terhadap ahli falsafah Greek dan penerus mereka dalam dunia Islam menimbulkan perdebatan yang besar dalam kalangan ulama dan ahli falsafah. Sebagai tindak balas kepada karya ini, ahli falsafah terkenal Ibn Rushd (Averroes) menulis karya Tahafut al Tahafut ( Kekeliruan dalam kekeliruan) di mana beliau mempertahankan falsafah dan menjawab kritikan AL Ghazali. Namun begitu, karya Al Ghazali berjaya menempatkan teologi Islam (kalam) sebagai rujukan utama dalam dunia intelektual Islam, menggantikan falsafah sebagai bidang yang paling dihormati. Beliau juga dianggap sebagai salah seorang tokoh utama yang menggabungkan syariat (undang-undang Islam) dengan tasawuf, menjadikan ilmu agama lebih komprehensif.
Penilaian.
Buku Al Ghazali ini bukan sahaja menyerang falsafah Greek tetapi juga menunjukkan kebolehannya dalam memahami dan menguasai pelbagai bidang ilmu. Karya ini bukan sekadar kritikan tanpa asas tetapi ia ditulis berdasarkan pemahaman mendalam terhadap falsafah itu sendiri. Walaupun Al Ghazali mengkritik ahli falsafah, beliau tetap mengakui pentingnya logik dan falsafah dalam beberapa konteks, seperti dalam memahami konsep ketuhanan, tetapi beliau menekankan bahawa falsafah tidak dapat memberikan kebenaran sepenuhnya tentang hakikat kewujudan Tuhan dan alam semesta.
Secara umumnya Tahafut al-Falasifah adalah karya monumental yang menandakan titik penting dalam perdebatan antara falsafah dan agama dalam sejarah pemikiran Islam
No comments:
Post a Comment