Tuesday, March 3, 2009

Nasib Baik Saya Tidak Jadi Sultan Perak

PASTINYA Tuhan telah mengukur kain dibaju saya sebelum Dia menjahit baju untuk dijadikan pakaian saya. Kalaulah saya menjadi Sultan Perak yang dijunjung dengan panggilan hebat Paduka Sultan itu alangkah malu besarnya saya hari ini. Sebab di negeri Perak kini ada dua kerajaan yang keduanya berstatus tidak sah!Naiflah saya sebagai sultan memiliki dua kerajaan tetapi keduanya tidak sah. Apa lagi sultan itu pula dikenali sebagai sangat bijak, adil dan profesional dan seorang pakar.

Satu kerajaan yang juga dilantik oleh Sultan bersama barisan Exconya masih mengaku merekalah kerajaan sah di Perak. Manakala satu lagi kerajaan yang baru dibentuk selepas rampasan kuasa juga mengakui merekalah kerajaan yang sah.Perebutan kuasa (kerajaan) kini sedang berlaku dan berlarutan sejak sebulan lalu. Masing-masing berkeras untuk tidak mengalah dan meletakkan keadaan di Perak dalam kucar kacir, celaru, haru biru, dan rakyat menjadi bingung memikirkan apa yang berlaku.

Malu sungguh! Hari ini sebuah kerajaan telah mengadakan persiangan Dewan Undangan Negeri di bawah pokok. Kejadian ini adalah sejarah kerana inilah kerajaan pertama mengadakan sidang di luar Dewan Undangan Negeri.

Betapa aiblah saya kalau saya menjadi Sultan dengan kejadian itu. Sekalian burung, awan, pokok kayu, kereta, lori dan bas melihat kejadian itu seolah kerajaan saya sangat miskin sehinggakan Menteri Besar dan anggota exconya terpaksa bermesyurat di bawah pohon kayu. Ia juga kelakar dan semacam cerita kartun saja.

Manakala di tempat lain, sebuah lagi kerajaan berhimpun di mahkamah menanti keputusan mahkamah terhadap injuksi mereka menghalang kerajaan satu lagi itu daripada mengadakan sidangnya. Sebelum itu DUN yang indah dan dibina dengan harga jutaan ringgit diarahkan ditutup bagi mengelakkan persidangan oleh kerajaan satu lagi mengadakan persidangan.

Sekalian polis dan pasukan pertahan lain juga dipanggil untuk menghalang anggota kerajaan itu dari memasuki ke DUN. Khabarnya sebuah trak FRU siap dengan penyembur menghalang ke pintu masuk ke DUN berkenaan.

Gara-gara dihalang itulah maka kerajaan itu bersidang di bawah pokok. Bayangkan betapa rimas dan meleketnya anggota badan kerajaan itu yang berkot dan bertali leher berada di bawah pokok.

Apa yang saya gambarkan sebelum ini mengenai kedudukan politik di Perak sudah menjadi kenyataan, cuma bezanya raja bukan bersemayam di bawah pokok kayu seperti raja negeri Pasir Dua Butir itu. Tetapi kerajaan Tuanku bersidang di bawah pokok.

Nasib baiklah saya tidak menjadi Sultan Perak maka terelaklah saya daripada menerima padah keaiban dan kemaluan dengan segala kejadian itu. Terelak memikul sejarah baru bagi mana sebuah negeri yang mempunyai seorang raja yang bijak bistari tetapi menjadi kucar kacir tidak tahu mana hujung dan mana pangkal lagi. Negeri hanya sekangkang kera tetapi ada dua buah kerajaan yang hebat dan gah.

Sekiranya saya menjadi Sultan tidak mahu saya apa yang berlaku terjadi kerana ia memalukan dan sekaligus menggambarkan kelemahan serta kerendahan hati dan budibicara saya selaku sultan. Kalau saya jadi sultan saya tidak akan membiarkannya dan menyelesaikan masalah itu kurang daripada tujuh hari tujuh malam saja.Semisalnya saya tidak akan membenarkan kerajaan baru dibentuk ketika kerajaan lama masih wujud dan tidak diendorse dalam dewan undangan negeri. Sebaik-baik akal dan pilihan saya ialah saya akan menitahkan kepada memanda menteri supaya bubar Dewan dan pilihan raya baru hendaklah diadakan. Biarlah dalam pilihan raya itu rakyat menentukan siapa yang mereka kehendaki dan menolak siapa mereka benci dan baru saya lantik Menteri Besar.

Adalah tidak molek saya sebagai raja kalau berpihak kepada mana-mana puak kerana semua yang bernaung di bawah negeri saya adalah rakyat saya belaka. Saya benar-benar akan menjaga fungsi saya sebagai payung meneduhkan rakyat dari hujan dan ribut.Tetapi disebabkan kerana bukan saya menjadi sultan saya tidak dapat berbuat apa-apa ke atas apa yang menimpa negeri Perak hari ini melainkan hanya boleh menulis dan merakam segala peristiwa itu dengan perasaan yang cukup mual sekali. Mual!

[wm.kl. 4:50 pm 03/03/09]
di ambil daripada http://msomelayu.blogspot.com/

1 comment:

cbazmi said...

Bukan nasib baik dia tak jadi sultan, memang tuhan takdirkan dia tak jadi sultan. Dia memang tak layak jadi sultan pun.